MAJLIS PELANCARAN PERBANDARAN MAMPU MILIK DARULAMAN SAUJANA & PELAN INDUK BANDAR DARULAMAN 3.0 DAERAH KUBANG PASU, KEDAH DARUL AMAN

MAJLIS PELANCARAN PERBANDARAN MAMPU MILIK DARULAMAN SAUJANA & PELAN INDUK BANDAR DARULAMAN 3.0 DAERAH KUBANG PASU, KEDAH DARUL AMAN

Majlis Pelancaran Perbandaran Mampu Milik Darulaman Saujana dan Pelan Induk Bandar Darulaman 3.0 telah berlangsung dengan jayanya di The Tent, Darulaman Park, Bandar Darulaman, Jitra, Kedah.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah Darul Aman, Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Haji Norizan Khazali, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Negeri, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman, Pegawai Daerah Kubang Pasu, Tuan Muhamad Mahazi Haji Ibrahim, Pengerusi Bina Darulaman Berhad (BDB), Sr. Haji Che Had Dhali, Pengarah Eksekutif BDB, YM Raja Shahreen Raja Othman, Ketua Anak Syarikat Divisyen Hartanah, Zawawi Wahab.
Hadir sama Ahli-Ahli Lembaga Pengarah BDB, Pengurusan Kanan BDB serta Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Kedah, Ketua-Ketua Pengarah dan Wakil-Wakil Agensi Kerajaan Negeri, Persekutuan dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan negeri sentiasa komited dalam membangunkan rumah mampu milik kepada rakyat seiring dengan hasrat untuk memastikan pembangunan sektor perumahan yang berdaya huni serta teratur dapat dinikmati oleh mereka yang kurang berkemampuan terutamanya golongan B40 dan juga M40.
Ujar beliau, usaha pembangunan Perbandaran Mampu Milik Darulaman Saujana amat dihargai kerana ia sekaligus dapat membantu Kerajaan Negeri Kedah untuk mencapai sasaran yang telah dirancang iaitu 15,000 rumah mampu milik dibina dalam tempoh 15 tahun akan datang.
Tegas beliau, Pelan Induk Bandar Darulaman 3.0 merupakan pelengkap kepada pembangunan Perbandaran Bandar Darulaman serta bakal menyaksikan transformasi keseluruhan Darulaman Park di mana ia akan menjadi sebuah hub pembangunan bercampur di Bandar Darulaman.
“Dengan perancangan untuk membina Pusat Membeli Belah, Pangsapuri Perkhidmatan, Rumah Bandar 3 tingkat dan Hospital Pakar akan memberikan nafas baru kepada Bandar Darulaman dan secara tidak langsung akan merancakkan lagi ekonomi Negeri Kedah untuk tempoh lapan tahun yang akan datang, “ kata beliau.
Sementara itu, Pengerusi BDB, Sr Haji Che Had Dhali, dalam ucapannya menjelaskan bahawa Perbandaran Darulaman Saujana bakal dibina di atas tanah seluas 206.32 ekar dan akan memfokuskan kepada pembangunan perumahan mampu milik dan perumahan Dasar Kerajaan Negeri Kedah di daerah Kubang Pasu serta dijangka akan dimulakan pada suku ketiga 2023.
“Dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM 667.5 juta, hampir 3,000 unit rumah pelbagai jenis bakal dibina di Perbandaran Darulaman Saujana dan apabila siap kelak, ia dijangka akan mempunyai lebih dari 14,000 orang penduduk.
“Antara komponen utama pembangunan adalah pembinaan 1,438 unit rumah teres satu tingkat dan 192 unit rumah kluster berkembar satu tingkat yang akan dibina secara berfasa. Selain itu, Dasar Perumahan Negeri Kedah juga menjadi keutamaan dimana Kumpulan BDB berhasrat untuk membina 582 unit Rumah Kasih Rakyat dan 234 unit Rumah Aman Kedah dan 512 unit Rumah Makmur Kedah.
“Di samping itu, terdapat lot perniagaan yang terdiri daripada 21 unit kedai pejabat satu tingkat dan 30 unit kedai pejabat dua tingkat, serta dua lot tapak stesen minyak serta kemudahan awam dan infrastruktur seperti tapak masjid, tapak sekolah, tapak dewan serbaguna, tapak tabika, padang permainan dan kemudahan lanskap serta lokasi tumpuan riadah turut akan disediakan,” katanya.
Tambahan beliau, Bandar Darulaman iaitu perbandaran pertama yang telah dibangunkan oleh Kumpulan BDB sejak tahun 1984 di atas tanah seluas 2,220 ekar akan menerima sebuah lagi rancangan pembangunan 8 tahun iaitu Bandar Darulaman 3.0.
“ Anggaran nilai GDV keseluruhan berjumlah RM 740 juta, antara rancangan pembangunan Bandar Darulaman 3.0 adalah Dataran Darulaman, Darulaman Park, dan Darulaman Hills. Tonggak utama pembangunan Bandar Darulaman 3.0 adalah berkonsepkan Kelestarian alam sekitar mengutamakan penggunaan tenaga boleh diperbaharui secara optimum serta penggabungan bahan rendah karbon ke dalam semua aspek pembangunan,” katanya.
Adalah diharapkan dengan usaha kumpulan BDB ini akan membantu rakyat di negeri kedah terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) untuk memiliki rumah sendiri serta membuka jalan kepada syarikat-syarikat pemaju hartanah lain untuk melihat potensi yang wujud dengan konsep perbandaran ini.
Sehubungan dengan itu, diharapkan kerajaan negeri Kedah akan terus menaruh kepercayaan yang tinggi kepada kumpulan BDB dalam usaha menjayakan projek-projek pembangunan ini serta membangunkan negeri Kedah menuju sebuah negeri maju pada masa akan datang.

PENYERAHAN BUKU NOTA 2023 BDB KEPADA PENGAWAL KESELAMATAN LAPANGAN TERBANG SULTAN ABDUL HALIM, ALOR SETAR

PENYERAHAN BUKU NOTA 2023 BDB KEPADA PENGAWAL KESELAMATAN LAPANGAN TERBANG SULTAN ABDUL HALIM, ALOR SETAR

Sempena tahun baru, Bina Darulaman Berhad (BDB) mengambil inisiatif dengan menyerahkan 27 buah buku nota kepada anggota-anggota Pengawal Keselamatan Penerbangan (Bahagian AVSEC) yang bertugas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada hari ini.
Ini adalah sebahagian daripada penghargaan BDB kepada anggota-anggota yang bertugas menguruskan penyelarasan latihan dalam bidang keselamatan penerbangan khususnya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.
Sesi penyerahan buku nota telah disempurnakan oleh Eksekutif Komunikasi Korporat Kumpulan, Muhammad Syaheer Luqman M. Zahir kepada Polis Bantuan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Sarjan Ariff Ahmad.
Pemberian buku nota 2023 BDB ini merupakan sebahagian daripada inisiatif BDB dalam memperkukuhkan lagi hubungan akrab bersama anggota-anggota keselamatan yang bertugas di lapangan terbang tersebut.

 

JASAMU DIKENANG

JASAMU DIKENANG

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah meraikan 17 Pengawal Keselamatan daripada BDB HQ, BDB Infra, BDB Land dan BDB Leisure yang akan menamatkan perkhidmatan pada 31 Disember 2022 ini.
Turut hadir ialah Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan, Sajahan Abdul Waheed dan Ketua Bahagian Sumber Manusia BDB Land, Rosmin Said.
Dalam ucapan penghargaan dari Sajahan, beliau menyatakan bahawa kesemua pengawal memiliki sifat tanggungjawab, amanah serta mempunyai kesungguhan yang tinggi dalam melaksanakan tugas sehingga ke hari terakhir perkhidmatan.
Sajahan juga telah menyampaikan saguhati daripada BDB kepada semua pengawal sebagai tanda penghargaan di atas kesungguhan mereka menjalankan tugas di sini.
Seluruh warga BDB merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada para pengawal keselamatan di atas sumbangan dan komitmen yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan.
Semoga anda semua sentiasa berada dalam keadaan yang sihat bagi terus berkhidmat dan berbakti kepada bangsa, agama, dan negara.

SELAMAT MAJU JAYA KEPADA NUR ALHANA BASHIR

SELAMAT MAJU JAYA KEPADA NUR ALHANA BASHIR

Seluruh warga kerja Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Nur Alhana Bashir di atas khidmat bakti serta sokongan padu sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ketua Sumber Manusia Sektor Perniagaan di BDB. Nur Alhana mula bertugas di BDB pada 15 Julai 2014 dan menamatkan tugas pada 16 Disember 2022.

Satu majlis ringkas diadakan bagi meraikan jasa serta pengorbanan Nur Alhana sepanjang menjalankan tugas di sini. Turut hadir ke majlis ringkas ini adalah Khairulmuna Abd Ghani, Ketua Jabatan Setiausaha Kumpulan dan Sajahan Abdul Waheed, Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan.
Semoga Nur Alhana sentiasa diberi anugerah kesihatan, kebahagiaan dan kejayaan yang berpanjangan.

KUMPULAN BDB SUMBANG WANG TUNAI KEPADA MASJID AT-TAQWA UNTUK MEMBAIKPULIH MASJID

KUMPULAN BDB SUMBANG WANG TUNAI KEPADA MASJID AT-TAQWA UNTUK MEMBAIKPULIH MASJID

Prihatin dengan keadaan semasa Masjid At-Taqwa, Taman PKNK Alor Setar, Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) tampil menghulurkan sumbangan untuk menampung kos baik pulih dan penambahbaikan masjid berkenaan.

Sumbangan berbentuk wang tunai berjumlah RM 2,500 telah disumbangkan oleh Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan BDB, Sajahan Abdul Waheed kepada wakil Badan Kebajikan Islam Taman PKNK (BAKIS), Tuan Haji Ahmad Haji Awang.

Penyerahan sumbangan tersebut turut dihadiri oleh ahli jawatankuasa BAKIS dan Eksekutif Komunikasi Korporat Kumpulan, Danial Harith Ahmad Shariffudin dan Hanan ‘Izzati Mansor.

Sajahan berkata, Kumpulan BDB berharap dengan pemberian sumbangan ini sedikit-sebanyak dapat membantu BAKIS dalam menaiktaraf dan memperbaiki keadaan semasa masjid terutamanya masalah serangga perosak.

“Insya Allah sebagai anak syarikat kerajaan negeri Kedah, Kumpulan BDB sentiasa komited dan akan sedaya upaya membantu umat Islam di negeri ini untuk beribadat dengan selesa.

“Diharapkan kerja-kerja baik pulih ini dapat disegerakan dan sekaligus akan memberi keselesaan kepada ahli kariah di seluruh kawasan perumahan di sini untuk beribadat,” ujar beliau.

LAWATAN DARI POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MU’ADZAM SHAH JITRA KE BDB

LAWATAN DARI POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MU’ADZAM SHAH JITRA KE BDB

Seramai 33 pelajar termasuk pensyarah dari Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) telah mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Bina Darulaman Berhad (BDB) pada 4 Disember 2022.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, YM Raja Shahreen Raja Othman, Ketua Jabatan Setiausaha Kumpulan, Khairulmuna Abd Ghani dan Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan, Sajahan Abdul Waheed.
Dalam sesi lawatan tersebut, kesemua tetamu telah diberi penerangan mengenai latar belakang syarikat. Dalam masa yang sama, Khairulmuna memberi pendedahan dan kefahaman kepada para pelajar berhubung peranan ahli lembaga pengarah, modal dan ekuiti, pelantikan setiausaha syarikat dan tadbir urus korporat syarikat.
Pada akhir majlis, turut berlangsung sesi bertukar cenderahati antara kedua-dua pihak.

WARGA KERJA BINA DARULAMAN BERHAD (BDB) BERQIAMULLAIL

WARGA KERJA BINA DARULAMAN BERHAD (BDB) BERQIAMULLAIL

Bina Darulaman Berhad (BDB) sememangnya menitikberatkan aspek kerohanian dalam diri setiap warga kerjanya kerana ia memainkan peranan penting dalam organisasi serta dalam setiap diri umat Islam.

Untuk itu, Sumber Manusia Kumpulan BDB mengambil inisiatif di mana buat julung kalinya menganjurkan program Qiamullail yang dihadiri oleh seluruh warga kerja Ibu Pejabat BDB yang beragama Islam bertempat di Hotel Raia, Alor Setar, Kedah pada 10 dan 11 November lalu.
Program tersebut bermula daripada pukul 4 petang 10 November sehinggalah 8 pagi 11 November dan turut disertai oleh Pengerusi BDB, Sr. Haji Che Had Dhali, Pengarah Eksekutif BDB, Yang Mulia Raja Shahreen Raja Othman, Ketua Pegawai Korporat, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli, Ketua Pegawai Operasi, Mohd Sobri Hussein.
Program pada hari pertama dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan kemudiannya dituruti dengan tazkirah bertajuk Akhlak Rasulullah S.A.W Sebagai Ikutan yang disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Izab Hambali. Seterusnya, Ustaz Izab memimpin solat Isyak secara berjemaah serta bacaan Surah Yasin beramai-ramai.
Seterusnya, bermula jam 4.30 pagi program Qiamullail dimulakan dengan ibadat-ibadat seperti Solat Taubat, Tahajud dan Witir. Kemudiannya program diteruskan dengan zikir taubat dan munajat dan solat Subuh berjemaah. Mengakhiri program, Ustaz Izab menyampaikan tazkirah yang bertajuk Kerja Sebagai Ibadah yang seterusnya menutup program qiamullail berkenaan.
Penganjuran program ini diharapkan dapat menaikkan semangat warga kerja BDB supaya menjadiseorang insan yang bersahsiah tinggi dan terpuji. Selain itu, program ini juga dapat mewujudkan suasana keakraban dan kemesraan di antara warga kerja ibu pejabat kumpulan BDB.
Sehubungan dengan itu, pihak pengurusan mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama warga kerja BDB yang bertungkus-lumus menjayakan program Qiamullail ini.

[INSIDE VIEW] SESI TOWNHALL BERSAMA KAKITANGAN BAHAGIAN KEJURUTERAAN, PEMBINAAN DAN KUARI (ECQ) BINA DARULAMAN BERHAD (BDB)

[INSIDE VIEW] SESI TOWNHALL BERSAMA KAKITANGAN BAHAGIAN KEJURUTERAAN, PEMBINAAN DAN KUARI (ECQ) BINA DARULAMAN BERHAD (BDB)

Sesi Townhall bersama warga kerja Divisyen Kejuruteraan, Pembinaan, dan Kuari (ECQ) telah berlangsung pada 7 November di Kuari Bukit Perak, Pendang. Townhall pada kali ini merupakan pertemuan pertama Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB yang baharu, Yang Mulia (YM) Raja Shahreen Raja Othman dengan seluruh warga kerja ECQ.

Warga kerja turut berpeluang untuk bersoal jawab dengan YM Raja Shahreen bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu-isu yang berbangkit.

SESI TOWNHALL BERSAMA KAKITANGAN BAHAGIAN KEJURUTERAAN, PEMBINAAN DAN KUARI (ECQ) BINA DARULAMAN BERHAD (BDB)

SESI TOWNHALL BERSAMA KAKITANGAN BAHAGIAN KEJURUTERAAN, PEMBINAAN DAN KUARI (ECQ) BINA DARULAMAN BERHAD (BDB)

Sesi Townhall bersama warga kerja Divisyen Kejuruteraan, Pembinaan, dan Kuari (ECQ) telah berlangsung pada 7 November di Kuari Bukit Perak, Pendang. Townhall pada kali ini merupakan pertemuan pertama Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB yang baharu, Yang Mulia (YM) Raja Shahreen Raja Othman dengan seluruh warga kerja ECQ.
Sesi Townhall pada kali ini merupakan satu peluang istimewa bagi seluruh warga kerja untuk berinteraksi secara langsung dengan YM Raja Shahreen di samping mendengar ucapan serta nasihat beliau.
YM Raja Shahreen menegaskan bahawa semangat kerja sepasukan memainkan peranan penting dalam meningkatkan hasil kerja yang bermutu tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana ECQ merupakan tunjang utama dalam menjana keuntungan Kumpulan BDB.
Ujar beliau, tanpa kerja sepasukan yang kukuh, kumpulan BDB tidak mungkin dapat mencapai kejayaan yang dirasai sekarang dan dengan itu seluruh warga kerja ECQ diseru agar mengekalkan hubungan yang baik antara satu sama lain demi meningkatkan jenama Kumpulan BDB di seluruh negara.
Di samping itu juga, warga kerja turut berpeluang untuk bersoal jawab dengan YM Raja Shahreen bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu-isu yang berbangkit.

SESI TOWNHALL BERSAMA SELURUH KAKITANGAN IBU PEJABAT BDB DAN DIVISYEN BAHAGIAN HARTANAH & LEISURE

SESI TOWNHALL BERSAMA SELURUH KAKITANGAN IBU PEJABAT BDB DAN DIVISYEN BAHAGIAN HARTANAH & LEISURE

Sesi Townhall bersama warga kerja Ibu Pejabat Bina Darulaman Berhad (BDB) dan Divisyen Hartanah dan Leisure telah berlangsung pada 2 November di Centre of Learning, Menara BDB, Alor Setar dan juga Dewan Damai, Darulaman Golf & Country Club, Jitra.

Townhall pada kali ini juga cukup istimewa di mana Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB yang baharu, Yang Mulia (YM) Raja Shahreen Raja Othman yang baru memulakan tugas beliau semalam bertemu buat kali pertama dengan seluruh warga kerja Ibu Pejabat BDB serta Divisyen Hartanah dan Leisure.

Sesi Townhall pada kali ini merupakan peluang bagi warga kerja untuk mengenali dengan lebih dekat serta berinteraksi buat kali pertama dengan YM Raja Shahreen di samping mendengar ucapan serta amanat daripada beliau.

YM Raja Shahreen juga turut berkongsi visi dan misi yang akan dilakukan oleh beliau dalam usaha untuk memacu bukan sahaja Kumpulan BDB tetapi negeri Kedah secara amnya ke tahap yang lebih tinggi dan menjadikan jenama Kumpulan BDB semakin disegani di seluruh negara.

Di samping itu juga, warga kerja turut berpeluang untuk bersoal jawab dengan YM Raja Shahreen bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu-isu yang berbangkit serta sedikit-sebanyak mendengar nasihat daripada beliau untuk bersama-sama bekerja sebagai satu pasukan.