WARGA KERJA BINA DARULAMAN BERHAD (BDB) BERQIAMULLAIL
Bina Darulaman Berhad (BDB) sememangnya menitikberatkan aspek kerohanian dalam diri setiap warga kerjanya kerana ia memainkan peranan penting dalam organisasi serta dalam setiap diri umat Islam.
Untuk itu, Sumber Manusia Kumpulan BDB mengambil inisiatif di mana buat julung kalinya menganjurkan program Qiamullail yang dihadiri oleh seluruh warga kerja Ibu Pejabat BDB yang beragama Islam bertempat di Hotel Raia, Alor Setar, Kedah pada 10 dan 11 November lalu.
Program tersebut bermula daripada pukul 4 petang 10 November sehinggalah 8 pagi 11 November dan turut disertai oleh Pengerusi BDB, Sr. Haji Che Had Dhali, Pengarah Eksekutif BDB, Yang Mulia Raja Shahreen Raja Othman, Ketua Pegawai Korporat, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli, Ketua Pegawai Operasi, Mohd Sobri Hussein.
Program pada hari pertama dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan kemudiannya dituruti dengan tazkirah bertajuk Akhlak Rasulullah S.A.W Sebagai Ikutan yang disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Izab Hambali. Seterusnya, Ustaz Izab memimpin solat Isyak secara berjemaah serta bacaan Surah Yasin beramai-ramai.
Seterusnya, bermula jam 4.30 pagi program Qiamullail dimulakan dengan ibadat-ibadat seperti Solat Taubat, Tahajud dan Witir. Kemudiannya program diteruskan dengan zikir taubat dan munajat dan solat Subuh berjemaah. Mengakhiri program, Ustaz Izab menyampaikan tazkirah yang bertajuk Kerja Sebagai Ibadah yang seterusnya menutup program qiamullail berkenaan.
Penganjuran program ini diharapkan dapat menaikkan semangat warga kerja BDB supaya menjadiseorang insan yang bersahsiah tinggi dan terpuji. Selain itu, program ini juga dapat mewujudkan suasana keakraban dan kemesraan di antara warga kerja ibu pejabat kumpulan BDB.
Sehubungan dengan itu, pihak pengurusan mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama warga kerja BDB yang bertungkus-lumus menjayakan program Qiamullail ini.