LANGKAWI – BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land) dan Enfiniti Escapes (M) Sdn. Bhd. merancang membangunkan forest chalet atau pembangunan berkonsepkan eko-pelancongan di Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang di Langkawi.

Pengarah Eksekutif BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, projek itu melibatkan kawasan seluas 10 ekar di Darulaman Sanctuary.

Menerusi kerjasama itu, BDB Land yang merupakan anak syarikat penuh Bina Darulaman Berhad (BDB) akan menjalankan kajian pelan ukuran terperinci di atas kawasan yang akan dikenalpasti untuk dibangunkan.

Enfiniti Escapes pula akan memfokuskan dari konsep keseluruhan serta reka bentuk pembangunan berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan oleh pihak BDB Land.

“Bagi memastikan pembangunan tersebut sejajar dengan matlamat pemuliharaan dan kemampanan alam sekitar, BDB Land akan bekerjasama dengan FRIM Incorporated Sdn. Bhd. bagi mendapatkan khidmat nasihat dan kepakaran mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Raja Shahreen lagi, perancangan usahasama ini merupakan satu lagi usaha berterusan yang akan dilaksanakan BDB menerusi BDB Land bagi mewujudkan tarikan baharu di Langkawi yang mana secara tidak langsung ianya akan membantu Kerajaan Negeri Kedah membangunkan pulau peranginan tersebut.

Jelas beliau, pada tahun lalu BDB Land telah mengumumkan pembangunan Perumahan Mampu Milik Aman Nusa, di Bandar Kuah dan BDB Infra Sdn. Bhd., yang juga merupakan anak syarikat BDB menandatangani perjanjian jualan saham di antara Gemi Puncak Sdn. Bhd. dan juga Gemi Puncak Quarry Sdn. Bhd., dan sekaligus menjadikan Kumpulan BDB sebagai pemilik kuari granit yang terbesar di Langkawi yang berkeluasan 60 ekar.

“Dengan adanya usahasama terbaharu ini, saya mengharapkan ianya bakal melonjakkan lagi nama serta memberi nilai tambah baharu kepada Darulaman Sanctuary khasnya dan Langkawi amnya terutamanya melibatkan sektor eko-pelancongan bukan sahaja kepada pelancong
tempatan malahan juga luar negara.

“Dengan ini, BDB sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri Kedah berharap untuk terus terlibat secara langsung dalam pembangunan di Langkawi serta mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak terutamaanya pihak berkuasa tempatan, agensi dan jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan untuk kita bersama-sama membangunkan pulau peranginan ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Bina Darulaman Berhad © All Rights Reserved 2022