PELANCARAN ORGANISATIONAL ANTI-CORRUPTION PLAN (OACP) BINA DARULAMAN BERHAD

Bina Darulaman Berhad (BDB) melancarkan Organisational Anti-Corruption Plan (OACP) sebagai langkah proaktif memperkukuh sistem pencegahan rasuah dalam organisasi.

Pelancaran ini disempurnakan melalui gimik penyerahan dokumen kepada wakil SPRM sempena Majlis Ikrar Bebas Rasuah BDB pada 28 Ogos 2025, bertempat di Darulaman Golf & Country Club.

OACP yang dibangunkan khusus untuk BDB Infra dan BDB Synergy ini menjadi panduan utama dalam menghindari sebarang bentuk rasuah dan salah laku, sejajar dengan usaha berterusan syarikat memperkukuh nilai integriti dan tadbir urus terbaik.

Dengan pelaksanaan OACP, BDB menegaskan komitmen untuk menjadi contoh teladan dalam sektor korporat.

 

MAJLIS IKRAR BEBAS RASUAH BINA DARULAMAN BERHAD

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menganjurkan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Dewan Gemilang, Darulaman Golf & Country Club, Jitra pada 28 Ogos 2025.

Majlis ini dihadiri oleh Pengerusi BDB, PMgr. Sr. Haji Che Had Dhali, Pengarah Eksekutif BDB, YM Raja Shahreen Raja Othman, Pengarah Jabatan Integriti & Tadbir Urus Negeri Kedah, Encik Muhamad Mizar Morat serta Timbalan Pengarah Pencegahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah, Penolong Pesuruhjaya Tuan Syed Aswadi Syed Soffian.

Turut hadir Ahli-ahli Lembaga Pengarah BDB, pengurusan kanan BDB, warga kerja BDB serta vendor-vendor jemputan.

Program ini dimulakan dengan sesi taklimat oleh wakil Pegawai SPRM yang bertajuk “Kesalahan-Kesalahan Rasuah Dalam Sektor Swasta”, diikuti dengan sesi lafaz ikrar bebas rasuah serta menandatangan dokumen ikrar oleh semua yang hadir.

BDB terus komited untuk menjalankan operasi secara telus, bertanggungjawab dan berintegriti tinggi bagi memastikan amanah yang diberikan dilaksanakan dengan sempurna.

DGCC MERDEKA GOLF CHALLENGE 2025

Bersempena Hari Kebangsaan 2025, Darulaman Golf & Country Club (DGCC) telah menganjurkan DGCC Merdeka Golf Challenge 2025 yang berlangsung pada 23 Ogos 2025.

Seramai 79 orang peserta telah mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut di mana Basyiron Mahmud muncul sebagai juara keseluruhan manakala Faridzuan Che Hamid dan Ammar Sazali pula memenangi Kategori Medal A dan Medal B.

Para pemenang turut membawa pulang trofi dan juga hadiah kemenangan masing-masing di mana hadiah keseluruhan berjumlah RM4,450.00.

Tahniah diucapkan kepada semua pemain, penaja dan warga kerja DGCC yang memastikan kejohanan berjalan lancar, penuh semangat dengan aksi penuh bergaya di padang. Di samping itu juga kejohanan tersebut turut dapat mengukuhkan ukhwah yang terjalin di antara para peserta sekaligus menjadikan kejohanan kali ini cukup bermakna.

 

MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PEMBANGUNAN PETTING ZOO DIANTARA BDB LEISURE SDN BHD DAN DARULAMAN ANIMAL GARDEN

BDB Leisure Sdn Bhd (BDB Leisure) telah menandatangani perjanjian dengan Darulaman Animal Garden bagi pembangunan Petting Zoo pada 20 Ogos 2025 bertempat di BDB Glass Hall, Darulaman Park, Jitra.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi BDB, Encik Mohd Sobri Hussein, Pengerusi Eksekutif Darulaman Animal Garden, Dato’ Sri Hisyammasri Badrol dan Caretaker Leisure Division, Encik Nuramali Ahmad Zainy.

Petting zoo ini bakal menempatkan lebih 60 spesies haiwan, reptilia dan serangga yang pasti menarik perhatian pengunjung.

Tarikan baharu ini akan melengkapi aktiviti yang sedia ada di Darulaman Park seperti kayak, cabana dan buggy, sekali gus menawarkan pengalaman pembelajaran dan interaktif untuk semua peringkat umur serta memperkukuh kedudukan BDB Leisure dalam sektor pelancongan dan rekreasi.

MILO® BREAKFAST DAY @ DARULAMAN PARK

Darulaman Park, Jitra, Kedah bertuah apabila dipilih sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran MILO® Breakfast Day yang berlangsung pada 23 Ogos 2025.

Dianggarkan seramai 5,000 peserta telah membanjiri kawasan Darulaman Park seawal jam 6.30 pagi bagi menyertai acara larian ‘Fun Run’ yang mengelilingi kawasan Perbandaran Darulaman Park sejauh tiga kilometer.

Di samping itu juga, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan kepada para pengunjung seperti permainan interaktif dan zumba manakala para peserta turut mendapat cenderahati istimewa daripada Nestle Malaysia.

Turut hadir pada kejohanan tersebut ialah Ahli Lembaga Pengarah Nestle Malaysia, Y.T.M. Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abd Halim, Ketua Pengawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, YB Dato’ Wira Dr. Ku Rahman Ku Ismail.

KUNJUNGAN HORMAT KE THE JERAI HILL RESORT

Delegasi daripada Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) telah mengadakan kunjungan hormat dan lawatan tapak ke The Jerai Hill Resort, Gurun, Kedah pada 19 Ogos lalu.

Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi BDB, Encik Mohd. Sobri Hussein serta disertai oleh Caretaker Division Leisure, Encik Nuramali Ahmad Zainy, wakil daripada Jabatan Government Liaison BDB, Pejabat Ketua Operasi BDB serta BDB Leisure.

Dalam kunjungan tersebut, delegasi Kumpulan BDB telah mengadakan pertemuan bersama Pengurus Besar, The Jerai Hotel Group, Encik Mohd Salim Sulaiman dan Pengurus Operasi, The Jerai Hill Resort, Encik Anuar Omar.

Antara objektif utama pertemuan tersebut adalah untuk membincangkan mengenai cadangan projek usahasama antara kedua-dua pihak yang boleh menjadi tarikan pelancong ke Darulaman Park, Jitra.

Dalam masa yang sama, lawatan tapak turut diadakan ke tapak pembinaan glamping, Jerai Jungle Fun Garden, Hijau-Hijau Place, Jerai Hill Strawberry Farm, tapak aktiviti Flying Fox, Sky Bike, Paintball dan Archery.

SESI ‘TOWNHALL’ DIVISYEN LEISURE

Divisyen Leisure Bina Darulaman Berhad (BDB) telah mengadakan Sesi Townhall bersama lebih 60 warga kerja BDB Leisure Sdn. Bhd. dan BDB Darulaman Golf Resort Berhad pada 17 Ogos 2025 di BDB Glass Hall, Darulaman Park, Jitra.

Sesi ini dipimpin oleh Ketua Pegawai Operasi BDB, Encik Mohd Sobri Hussein bersama Caretaker Leisure Division, Encik Nuramali Ahmad Zainy.

Fokus utama adalah meningkatkan produktiviti, kecekapan, serta mengoptimumkan pendapatan Divisyen Leisure bagi menjana keuntungan yang mampan. Ia juga menjadi platform penting untuk warga kerja berinteraksi terus dengan pihak pengurusan, membincangkan isu operasi, dan memperkukuh komunikasi dua hala.

 

 

BDB MANAGEMENT WORKSHOP 2025

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menganjurkan BDB Management Workshop 2025 pada 16–17 Julai 2025 di BDB Glass Hall, Darulaman Park, Jitra.

Program dua hari ini disertai oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, YM Raja Shahreen Raja Othman, bersama 58 pengurusan kanan dari seluruh Kumpulan BDB.

Bengkel ini bertujuan membincangkan progres tahun 2025, menetapkan hala tuju 2026 dan seterusnya, serta memperkukuh kerjasama bagi memastikan Kumpulan BDB terus mencapai pertumbuhan mampan.

TAKLIMAT CADANGAN USAHASAMA MBI PERLIS DAN BINA DARULAMAN BERHAD

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menghadiri taklimat cadangan usahasama bersama Menteri Besar Incorporation (MBI) Perlis pada 31 Julai 2025 di Bilik Gerakan 3, Aras 3, Kompleks Seri Putra, Persiaran Wawasan, Kangar.

Taklimat ini dihadiri oleh Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Mohd Shukeri Ramli dan Exco Perumahan & Kerajaan Tempatan, Penerangan dan Digital, YB Tuan Asrul Aimran Abd Jalil.

Pihak Kerajaan Negeri Perlis pula diwakili oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pembangunan), Encik Rusdi Yahya, Pegawai Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Hartanah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Puan Hani Suzita Hakimi serta Pegawai MBI Perlis, Encik Ahmad Hishamudin Johari.

Manakala delegasi BDB pula diketuai oleh Pengerusi BDB, Pmgr. Sr. Tuan Haji Che Had Dhali bersama Pengarah Eksekutif BDB, YM Raja Shahreen Raja Othman, Ketua Pegawai Operasi BDB, Encik Mohd Sobri Hussein.

Turut serta adalah Head of Project Perlis BDB, Encik Shuhaimi Ismail, Pengarah BDB Synergy, Encik Tahir Md Zin dan Mohd Fauzi Mustafa.

Taklimat ini bertujuan membincangkan peluang kerjasama dalam projek pembangunan yang akan memberi manfaat kepada Kerajaan Negeri Perlis dan juga BDB yang boleh memberi manfaat dan kelebihan kepada rakyat tersebut.

KEJOHANAN DGCC MONTHLY MEDAL JULY 2025

BDB Darulaman Golf Resort Berhad (BDB DGRB) telah berjaya menganjurkan DGCC Monthly Medal bagi bulan Julai 2025 yang berlangsung di Darulaman Golf & Country Club, Jitra, Kedah.

Dalam kejohanan tersebut, seramai 35 orang peserta telah hadir dan bersaing sesama mereka di mana Jasni Saad telah memenangi Medal A, Jamal Nor Ahmad (Medal B), Md Nor Zimhaishan Md Nor (Medal C) dan Kamil Tumiran (Senior Medal).

Kesemua pemenang telah membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM1,620.00.