MENARA BDB TERIMA PEMERIKSAAN JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA (JBPM) KEDAH

Pada 8 Julai 2025, pemeriksaan bangunan Menara BDB telah dijalankan oleh Bahagian Keselamatan Kebakaran (BKK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah.

Dalam pemeriksaan tersebut, dua wakil BKK JBPM Negeri Kedah diiringi oleh wakil daripada BDB serta kontraktor penyelenggaraan telah mengadakan pemeriksaan pada jam 2 petang terhadap sistem pencegahan kebakaran keseluruhan bangunan Menara BDB.

Pemeriksaan tersebut berjalan dengan lancar dan berakhir sekitar jam 4.00 petang dan mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak yang terlibat termasuklah para penyewa yang berada di Menara BDB.

Pemeriksaan ini juga adalah membuktikan bahawa BDB sentiasa komited bagi memastikan keselamatan penghuni termasuklah wargakerja dan juga penyewa di setiap premis Menara BDB sentiasa terjaga pada setiap masa.

BDB INFRA TERIMA KUNJUNGAN AUDIT DARIPADA SIRIM QAS INTERNATIONAL SDN BHD

 

Pada 28 hingga 30 Julai 2025 telah berlangsung Audit Surveilan Kedua Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ISO 45001:2018), Sistem Pengurusan Alam Sekitar (ISO 14001:2015) dan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO 9001:2015) di BDB Infra Sdn Bhd bagi tahun 2025.

Untuk rekod, BDB Infra Sdn. Bhd. (BDB Infra) telah menerima pengiktirafan dan pensijilan ISO 45001, ISO 14001 dan ISO 9001 daripada badan pensijilan berdaftar dengan Jabatan Standard Malaysia iaitu SIRIM Malaysia Berhad.

Audit Surveilan Kedua ini bertujuan untuk menilai semula tahap pematuhan terhadap Sistem Pengurusan bagi ketiga-tiga standard ISO yang telah dilaksanakan di BDB Infra dalam memastikan perlaksanaan proses kerja mematuhi prosedur yang telah ditetapkan, disamping mengenalpasti ruang penambahbaikan berterusan demi meningkatkan keberkesanan terhadap pematuhan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaaan, alam sekitar serta kualiti penyampaian perkhidmatan oleh syarikat.

Proses audit dimulakan dengan sesi pembukaan oleh Pengurus Besar BDB Infra, Encik Zakba  Shafie, disusuli dengan proses audit mengikut skop yang telah ditetapkan melibatkan semakan dokumen dan lawatan pemeriksaan di tapak operasi dan tapak projek secara fizikal, dan diakhiri dengan sesi pembentangan penemuan audit serta penutup.

Pasukan juruaudit telah mengesyorkan untuk meneruskan pengiktirafan pensijilan ISO 45001, ISO 14001 dan ISO 9001 untuk BDB Infra Sdn Bhd bagi tahun 2025 sehingga tarikh baru audit pensijilan semula yang akan dijalankan pada tahun 2026.

Ucapan penghargaan dan terima kasih turut dirakamkan kepada barisan juruaudit SIRIM QAS International Sdn. Bhd., semua pengurusan atasan serta warga kerja BDB Infra atas komitmen yang tinggi dan kerjasama sepanjang persediaan proses audit ini berlangsung.

 

 

LATIHAN KECEMASAN BDB INFRA SEMPENA MINGGU KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN 2025

Bersempena Minggu Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 2025, Jabatan Keselamatan, Kesihatan & Persekitaran (ESH) dengan kerjasama Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) BDB Infra Sdn. Bhd. (BDB Infra) telah mengadakan program Latihan Kecemasan (Emergency Drill) bertempat di tapak operasi Kulim Kedah Premix Plant pada 23 Julai 2025.

Latihan Kecemasan ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pekerja berkaitan tindakan yang perlu dilakukan sekiranya berlaku situasi serta insiden kecemasan di tempat kerja. Selain itu, meningkatkan tahap kesiapsiagaan anggota ERT di tapak operasi dalam menangani insiden bencana pekerjaan.

Pasukan ERT dan pekerja telah didedahkan dengan situasi serta demonstrasi pengungsian bangunan, mencari dan menyelamat, pertolongan cemas dan kawalan tumpahan kimia di tapak operasi. Semua pekerja telah menunjukkan komitmen terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam usaha memupuk budaya kerja selamat dan sihat di dalam organisasi tempat kerja.

 

BDB LAND SERTAI PAMERAN PERUMAHAAN BERSEMPENA KEDAH INTERNATIONAL HEALTH CONFERENCE

Buat julung kalinya, BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land) telah mengambil peluang serta dengan mengadakan Pameran Perumahaan bersempena Kedah International Health Conference yang berlangsung pada 30 dan 31 Julai di Raia Hotel & Convention Centre, Alor Setar, Kedah.

Pameran tersebut merupakan platform terbaik bagi BDB Land untuk mendekati pengunjung tempatan dan juga antarabangsa sambil memperkenalkan pelbagai pilihan produk perumahan berkualiti di bawah jenama BDB Land.

Antara produk perumahan yang ditawarkan kepada pengunjung ialah Nada, Lyra, Aluna dan Carissa di Bandar Darulaman, Jitra serta Lily dan Rafflesia di Darulaman Saujana, Hosba serta Taman Azalea, Pendang dan Aman Perdana di Serdang.

 

BDB LAND SERTAI KARNIVAL RUMAH IMPIAN BANK RAKYAT

BDB Land Sdn. Bhd. terus giat dalam mempromosikan produk perumahan terbaru yang dibina dengan menyertai Karnival Rumah Impian Bank Rakyat yang berlangsung pada 11 hingga 12 Julai 2025 bertempat di Aman Central, Alor Setar, Kedah.

Karnival ini memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai projek perumahan BDB Land serta tawaran menarik yang disediakan terutama melibatkan rumah-rumah seperti Nada, Lyra, Aluna dan Carissa di Bandar Darulaman, Jitra  serta Lily dan Rafflesia di Darulaman Saujana, Hosba.

Di samping itu juga, produk perumahan yang dibangunkan oleh Kedah Holdings Sdn. Bhd. iaitu Taman Azalea, Pendang serta Aman Perdana, Serdang juga turut ditawarkan kepada para pengunjung yang hadir pada pameran tersebut.

BDB LAND ADAKAN PAMERAN PERUMAHAN DI WISMA PKNK

Buat julung kalinya, BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land) telah mengadakan Pameran Perumahan di ruang legar Wisma PKNK, Alor Setar, Kedah.

Pasukan Jualan dan Pemasaran BDB Land telah berada di Wisma PKNK pada setiap hari Ahad semalam empat minggu berturut-turut bermula dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang.

Pameran tersebut bertujuan untuk mempromosi produk perumahan terbaru BDB Land melibatkan Perbandaran Bandar Darulaman, Jitra, Darulaman Saujana, Hosba, Taman Azalea, Pendang serta Aman Perdana, Serdang, Kedah kepada kakitangan PKNK serta orang awam yang berada di sekitar Alor Setar.

BDB LAND ADAKAN KUNJUNGAN HORMAT KE KEDAH TOURISM

Pasukan Jualan dan Pemasaran BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengurus Besar Kedah Tourism, Encik Zaidy Omar di Pejabat Kedah Tourism pada 2 Julai 2025.

Dalam kunjungan tersebut, delegasi BDB Land yang diketuai oleh Puan Wan Nur Irnieyza Diana Wan Zahari dan Puan Zukhaireah Kamis telah membentangkan mengenai pelan pembangunan yang sedang dan akan dijalankan oleh syarikat bagi makluman pihak Kedah Tourism.

Di samping itu juga, kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pandangan mengenai kerjasama strategik yang boleh dijalankan bersama terutamanya melibatkan program dan aktiviti pelancongan yang boleh dijalankan di Perbandaran Bandar Darulaman, Jitra, Kedah.

BDB ENERGY TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DATO’ IR GUNTOR TOBENG

BDB Energy Sdn. Bhd. telah menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd. Dato’ Ir Guntor Tobeng pada 15 Jun yang lalu.

Delegasi BDB Energy yang diketuai oleh Chief of Business Strategic Officer, Encik Mohd Hudzaifah Mohamad Sam, Encik Syed Saful Yusri Syed Ahmad Fuzi dan Encik Mohd Ibtisyam Ahmad Zaki serta turut disertai oleh Pengerusi Bina Darulaman Berhad, Tuan Haji Sr. Che Had Dhali menyambut mesra kedatangan pihak Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd.

Terima kasih kerana meluangkan masa untuk berkunjung ke Menara BDB dan berbincang serta berkongsi pandangan mengenai pelbagai potensi kerjasama di masa hadapan yang boleh memberi manfaat kepada kedua dua pihak dalam bidang Tenaga Boleh Baharu ini.

PROMOSI PRODUK PERUMAHAN BDB LAND DI CMART BDI, JITRA

Pada 27 hingga 29 Jun lalu, pasukan Jualan dan Pemasaran BDB Land terus giat menjalankan aktiviti mempromosi produk-produk perumahan terbarunya dengan mengadakan pameran hartanah di Cmart BDI, Jitra, Kedah.

Pameran promosi yang berlangsung selama tiga hari tersebut diadakan bagi memperkenalkan produk terbaru BDB Land iaitu rumah teres setingkat, Lily dan rumah kluster setingkat, Rafflesia di Perbandaran Darulaman Saujana, Hosba yang kini telah mula dijual kepada orang awam.

Di samping itu juga, BDB Land turut menawarkan produk perumahan yang telah siap dan juga dalam pembinaan iaitu rumah teres dua tingkat, Aluna dan rumah banglo setingkat, Nada dan Lyra di Perbandaran Bandar Darulaman, Jitra.

Sambutan yang diterima daripada orang ramai yang hadir pada pameran tersebut menggalakkan dan sedikit-sebanyak membantu dalam usaha BDB Land menawarkan produk perumahan kepada penduduk di Daerah Kubang Pasu.

 

 

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN BDB DARULAMAN GOLF RESORT BERHAD (BDGRB) KE-31

Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BDB Darulaman Golf Resort Berhad (BDGRB) ke-31 telah berlangsung di Bilik Bunga Raya, Darulaman Golf & Country Club, Jitra, Kedah pada 26 Jun 2025.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Dato’ Haji Abdul Rahman Abdullah, Pengerusi BDGRB bersama kehadiran Ahli-ahli Lembaga Pengarah BDGRB, para pemegang saham, tetamu jemputan serta pengurusan kanan Kumpulan Bina Darulaman Berhad.

Antara agenda mesyuarat adalah pembentangan Laporan Tahunan 2024 serta perancangan masa hadapan yang dibentang oleh pengurusan BDGRB. Mesyuarat seterusnya diakhiri dengan sesi soal jawab di antara Ahli Lembaga Pengarah dan para pemegang saham.