
BDB Energy Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kester Sdn. Bhd. untuk menjalinkan usaha sama projek tenaga boleh diperbaharui di Negeri Kedah.
Kerjasama strategik ini meliputi pembangunan Solar Berbumbung di bawah Program CREAM serta pembangunan Ladang Solar yang bakal membuka peluang baharu dalam mempromosikan sumber tenaga boleh diperbaharui serta mengurangkan jejak karbon di Kedah.
Majlis menandatangani MoU ini telah berlangsung di Bertam Resort dan Water Park, Pulau Pinang dengan kehadiran YB Dr. Haim Hilman Abdullah, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi & Inovasi Negeri Kedah, Pengarah Kester Sdn. Bhd., Encik Noor Ikhsan Abd. Aziz dan Ketua Pegawai Kewangan BDB, Encik Mohd. Nasir Ismail dan Pengarah BDB Energy, Encik Mohd. Hudzaifah Mohd. Sam.
Projek ini seiring dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 40% menjelang 2035 dan 70% menjelang 2050, sekali gus menyokong pelan pembangunan The Greater Kedah yang menekankan Ekonomi Hijau.
Diharapkan dengan kerjasama tersebut dapat memacu perkembangan projek tenaga boleh diperbaharui di Negeri Kedah pada masa akan datang.


