KUNJUNGAN HORMAT UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SULTAN ABDUL HALIM MU’ADZAM SHAH (UNISHAMS) KE BINA DARULAMAN BERHAD (BDB)

Bina Darulaman Berhad (BDB) menerima kunjungan hormat daripada Yang Berusaha Prof. Dr. Amy Azhar bin Dato’ Haji Mohd. Harif, Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), pada 4 September 2025 bertempat di Menara BDB, Alor Setar.

Turut hadir, Pengerusi BDB; PMgr Sr Haji Che Had bin Dhali, Ketua Pegawai Eksekutif Aman Seterra Sdn. Bhd.; Encik Rashidi Yahaya serta Pengurus Besar Incubator Project BDB; Ts. Zawawi Wahab.

Pertemuan ini membuka ruang kerjasama dalam bidang ekonomi perak (silver economy), seiring usaha BDB membangunkan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat. Kehadiran UniSHAMS amat signifikan kerana kepakaran akademik dan penyelidikan mereka mampu menyokong pembangunan idea serta solusi baharu.

Lebih bermakna, kerjasama ini menghubungkan dua institusi di Kedah dalam bersama-sama membina nilai untuk komuniti dan generasi akan datang.

BDB ENERGY DAN KESTER SDN. BHD. JALIN KERJASAMA PROJEK SOLAR DI KEDAH

BDB Energy Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kester Sdn. Bhd. untuk menjalinkan usaha sama projek tenaga boleh diperbaharui di Negeri Kedah.

Kerjasama strategik ini meliputi pembangunan Solar Berbumbung di bawah Program CREAM serta pembangunan Ladang Solar yang bakal membuka peluang baharu dalam mempromosikan sumber tenaga boleh diperbaharui serta mengurangkan jejak karbon di Kedah.

Majlis menandatangani MoU ini telah berlangsung di Bertam Resort dan Water Park, Pulau Pinang dengan kehadiran YB Dr. Haim Hilman Abdullah, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi & Inovasi Negeri Kedah, Pengarah Kester Sdn. Bhd., Encik Noor Ikhsan Abd. Aziz dan Ketua Pegawai Kewangan BDB, Encik Mohd. Nasir Ismail dan Pengarah BDB Energy, Encik Mohd. Hudzaifah Mohd. Sam.

Projek ini seiring dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 40% menjelang 2035 dan 70% menjelang 2050, sekali gus menyokong pelan pembangunan The Greater Kedah yang menekankan Ekonomi Hijau.

Diharapkan dengan kerjasama tersebut dapat memacu perkembangan projek tenaga boleh diperbaharui di Negeri Kedah pada masa akan datang.

BDB LEISURE SERTAI KARNIVAL HARI PELADANG, PENTERNAK & NELAYAN

Pasukan BDB Leisure Sdn. Bhd. (BDB Leisure) telah menyertai Karnival Hari Peladang, Penternak & Nelayan (HPPNK) yang diadakan pada 28 hingga 31 Ogos di Taman Jubli Emas, Alor Setar.

Bersempena HPPNK, BDB Leisure telah mengadakan pelbagai promosi menarik yang ditawarkan kepada para pengunjung melibatkan aktiviti-aktiviti riadah di Darulaman Park serta pakej ruang acara seperti BDB Glass Hall dan juga The Tent sepanjang empat hari penganjuran.

Sambutan yang diberikan oleh para pengunjung amat menggalakkan di mana pasukan BDB Leisure mendapat banyak pertanyaan untuk tempahan sekaligus dapat merancakkan lagi program dan aktiviti terutamanya di Darulaman Park pada masa hadapan.

PELANCARAN ORGANISATIONAL ANTI-CORRUPTION PLAN (OACP) BINA DARULAMAN BERHAD

Bina Darulaman Berhad (BDB) melancarkan Organisational Anti-Corruption Plan (OACP) sebagai langkah proaktif memperkukuh sistem pencegahan rasuah dalam organisasi.

Pelancaran ini disempurnakan melalui gimik penyerahan dokumen kepada wakil SPRM sempena Majlis Ikrar Bebas Rasuah BDB pada 28 Ogos 2025, bertempat di Darulaman Golf & Country Club.

OACP yang dibangunkan khusus untuk BDB Infra dan BDB Synergy ini menjadi panduan utama dalam menghindari sebarang bentuk rasuah dan salah laku, sejajar dengan usaha berterusan syarikat memperkukuh nilai integriti dan tadbir urus terbaik.

Dengan pelaksanaan OACP, BDB menegaskan komitmen untuk menjadi contoh teladan dalam sektor korporat.

 

MAJLIS IKRAR BEBAS RASUAH BINA DARULAMAN BERHAD

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menganjurkan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Dewan Gemilang, Darulaman Golf & Country Club, Jitra pada 28 Ogos 2025.

Majlis ini dihadiri oleh Pengerusi BDB, PMgr. Sr. Haji Che Had Dhali, Pengarah Eksekutif BDB, YM Raja Shahreen Raja Othman, Pengarah Jabatan Integriti & Tadbir Urus Negeri Kedah, Encik Muhamad Mizar Morat serta Timbalan Pengarah Pencegahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah, Penolong Pesuruhjaya Tuan Syed Aswadi Syed Soffian.

Turut hadir Ahli-ahli Lembaga Pengarah BDB, pengurusan kanan BDB, warga kerja BDB serta vendor-vendor jemputan.

Program ini dimulakan dengan sesi taklimat oleh wakil Pegawai SPRM yang bertajuk “Kesalahan-Kesalahan Rasuah Dalam Sektor Swasta”, diikuti dengan sesi lafaz ikrar bebas rasuah serta menandatangan dokumen ikrar oleh semua yang hadir.

BDB terus komited untuk menjalankan operasi secara telus, bertanggungjawab dan berintegriti tinggi bagi memastikan amanah yang diberikan dilaksanakan dengan sempurna.

DGCC MERDEKA GOLF CHALLENGE 2025

Bersempena Hari Kebangsaan 2025, Darulaman Golf & Country Club (DGCC) telah menganjurkan DGCC Merdeka Golf Challenge 2025 yang berlangsung pada 23 Ogos 2025.

Seramai 79 orang peserta telah mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut di mana Basyiron Mahmud muncul sebagai juara keseluruhan manakala Faridzuan Che Hamid dan Ammar Sazali pula memenangi Kategori Medal A dan Medal B.

Para pemenang turut membawa pulang trofi dan juga hadiah kemenangan masing-masing di mana hadiah keseluruhan berjumlah RM4,450.00.

Tahniah diucapkan kepada semua pemain, penaja dan warga kerja DGCC yang memastikan kejohanan berjalan lancar, penuh semangat dengan aksi penuh bergaya di padang. Di samping itu juga kejohanan tersebut turut dapat mengukuhkan ukhwah yang terjalin di antara para peserta sekaligus menjadikan kejohanan kali ini cukup bermakna.

 

MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PEMBANGUNAN PETTING ZOO DIANTARA BDB LEISURE SDN BHD DAN DARULAMAN ANIMAL GARDEN

BDB Leisure Sdn Bhd (BDB Leisure) telah menandatangani perjanjian dengan Darulaman Animal Garden bagi pembangunan Petting Zoo pada 20 Ogos 2025 bertempat di BDB Glass Hall, Darulaman Park, Jitra.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi BDB, Encik Mohd Sobri Hussein, Pengerusi Eksekutif Darulaman Animal Garden, Dato’ Sri Hisyammasri Badrol dan Caretaker Leisure Division, Encik Nuramali Ahmad Zainy.

Petting zoo ini bakal menempatkan lebih 60 spesies haiwan, reptilia dan serangga yang pasti menarik perhatian pengunjung.

Tarikan baharu ini akan melengkapi aktiviti yang sedia ada di Darulaman Park seperti kayak, cabana dan buggy, sekali gus menawarkan pengalaman pembelajaran dan interaktif untuk semua peringkat umur serta memperkukuh kedudukan BDB Leisure dalam sektor pelancongan dan rekreasi.

MILO® BREAKFAST DAY @ DARULAMAN PARK

Darulaman Park, Jitra, Kedah bertuah apabila dipilih sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran MILO® Breakfast Day yang berlangsung pada 23 Ogos 2025.

Dianggarkan seramai 5,000 peserta telah membanjiri kawasan Darulaman Park seawal jam 6.30 pagi bagi menyertai acara larian ‘Fun Run’ yang mengelilingi kawasan Perbandaran Darulaman Park sejauh tiga kilometer.

Di samping itu juga, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan kepada para pengunjung seperti permainan interaktif dan zumba manakala para peserta turut mendapat cenderahati istimewa daripada Nestle Malaysia.

Turut hadir pada kejohanan tersebut ialah Ahli Lembaga Pengarah Nestle Malaysia, Y.T.M. Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abd Halim, Ketua Pengawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, YB Dato’ Wira Dr. Ku Rahman Ku Ismail.

KUNJUNGAN HORMAT KE THE JERAI HILL RESORT

Delegasi daripada Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) telah mengadakan kunjungan hormat dan lawatan tapak ke The Jerai Hill Resort, Gurun, Kedah pada 19 Ogos lalu.

Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi BDB, Encik Mohd. Sobri Hussein serta disertai oleh Caretaker Division Leisure, Encik Nuramali Ahmad Zainy, wakil daripada Jabatan Government Liaison BDB, Pejabat Ketua Operasi BDB serta BDB Leisure.

Dalam kunjungan tersebut, delegasi Kumpulan BDB telah mengadakan pertemuan bersama Pengurus Besar, The Jerai Hotel Group, Encik Mohd Salim Sulaiman dan Pengurus Operasi, The Jerai Hill Resort, Encik Anuar Omar.

Antara objektif utama pertemuan tersebut adalah untuk membincangkan mengenai cadangan projek usahasama antara kedua-dua pihak yang boleh menjadi tarikan pelancong ke Darulaman Park, Jitra.

Dalam masa yang sama, lawatan tapak turut diadakan ke tapak pembinaan glamping, Jerai Jungle Fun Garden, Hijau-Hijau Place, Jerai Hill Strawberry Farm, tapak aktiviti Flying Fox, Sky Bike, Paintball dan Archery.

SESI ‘TOWNHALL’ DIVISYEN LEISURE

Divisyen Leisure Bina Darulaman Berhad (BDB) telah mengadakan Sesi Townhall bersama lebih 60 warga kerja BDB Leisure Sdn. Bhd. dan BDB Darulaman Golf Resort Berhad pada 17 Ogos 2025 di BDB Glass Hall, Darulaman Park, Jitra.

Sesi ini dipimpin oleh Ketua Pegawai Operasi BDB, Encik Mohd Sobri Hussein bersama Caretaker Leisure Division, Encik Nuramali Ahmad Zainy.

Fokus utama adalah meningkatkan produktiviti, kecekapan, serta mengoptimumkan pendapatan Divisyen Leisure bagi menjana keuntungan yang mampan. Ia juga menjadi platform penting untuk warga kerja berinteraksi terus dengan pihak pengurusan, membincangkan isu operasi, dan memperkukuh komunikasi dua hala.