BERNAMA: BDB LAND BANGUNKAN PERUMAHAN MAMPU MILIK DI LANGKAWI

LANGKAWI, 22 Mei (Bernama) — Kumpulan Bina Darulaman Bhd (BDB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, BDB Land Sdn Bhd (BDB Land) buat julung kalinya akan membangunkan perumahan mampu milik di atas tanah seluas 6.83 hektar di Kuah di sini.

Pengerusi BDB Che Had Dhali berkata projek yang dinamakan Perumahan Mampu Milik Aman Nusa itu dijangka akan dimulakan pada akhir tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 2025 dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM60.7 juta.

“Pembangunan Aman Nusa bakal menyaksikan perancangan untuk membina 120 unit rumah teres satu tingkat dan 27 unit kedai pejabat dua tingkat yang terbuka kepada orang ramai untuk memilikinya.

“Selain itu, Kumpulan BDB juga akan membangunkan sebanyak 35 unit Rumah Kasih Rakyat, 12 Unit Rumah Makmur Kedah dan sembilan unit Rumah Aman Kedah dalam perancangan projek Aman Nusa ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Kumpulan BDB sememangnya memahami permintaan dan keperluan rakyat di Kedah yang memerlukan perumahan mampu milik dan berharap projek tersebut sedikit sebanyak dapat membantu golongan B40 dan M40 di Langkawi khususnya, untuk memiliki rumah.

Terdahulu, pelancaran projek perumahan mampu milik itu disempurnakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di sebuah hotel di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB Raja Shahreen Raja Othman dan Ketua Divisyen Hartanah Kumpulan BDB Zawawi Wahab.

Sementara itu, Che Had turut menjelaskan bahawa projek Aman Nusa itu merupakan pembangunan terbaharu Kumpulan BDB di Langkawi dalam usaha syarikat itu mengembangkan portfolio pelaburan dan pembangunan di pulau berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata Kumpulan BDB menerusi satu lagi anak syarikatnya, BDB Infra Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian jualan saham dengan Gemi Puncak Sdn Bhd dan Gemi Puncak Quarry Sdn Bhd pada 29 Mac lalu, menyaksikan Kumpulan BDB menjadi pemilik kuari granit terbesar di Langkawi yang berkeluasan 25.89 hektar.

Selain itu, Kumpulan BDB telahpun memiliki Darulaman Sanctuary iaitu kawasan ekopelancongan di Lubuk Semilang seluas 91.45 hektar, Langkawi Art Box, The Langkawi Cultural Village iaitu pembangunan komersial seluas 1.61 hektar yang mempunyai 35 unit perniagaan di Padang Mat Sirat serta bank tanah di Kuala Temoyong seluas 5.01 hektar.

— BERNAMA

https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=2191372&fbclid=IwAR3jDfMzF5jFyWc51cSbI1IxEZDV67FMR4MgvDEVkliMIqvnEOHhz0FU8PQ

Share:

More Posts

Bina Darulaman Berhad © All Rights Reserved 2022