Sinar Harian: BDB bina rumah mampu milik di Langkawi

LANGKAWI – Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi anak syarikat penuh miliknya BDB Land Sdn Bhd (BDB Land) membangunkan Perumahan Mampu Milik Aman Nusa di Mukim Bandar Kuah, dekat sini.

Pengerusi BDB, Che Had Dhali berkata projek pembangunan berkenaan bakal dibangunkan di atas tanah seluas 16.9 ekar dengan anggaran nilai pembangunan kasar bernilai RM60.7 juta.

Menurutnya, pembangunan projek berkenaan memfokuskan perumahan mampu milik dan perumahan Dasar Kerajaan Negeri Kedah (DPrNK) yang dijangka pembinaan bermula hujung tahun 2023 dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.

“Pembangunan Aman Nusa bakal menyaksikan pembinaan perancangan untuk membina 120 unit rumah teres 1 tingkat dan 27 unit kedai pejabat 2 tingkat yang terbuka kepada orang ramai untuk memilikinya.

“Dalam pada itu, bagi pembinaan DPrNK pula, Kumpulan BDB akan membangunkan sebanyak 35 Unit Rumah Kasih Rakyat, 12 Unit Rumah Makmur Kedah Dan sembilan Unit Rumah Aman Kedah di dalam perancangan projek Aman Nusa ini.

“Kumpulan BDB sememangnya memahami kepada permintaan dan keperluan rakyat di negeri Kedah yang sememangnya memerlukan perumahan mampu milik dan diharapkan dengan adanya Aman Nusa ini kelak, sedikit-sebanyak dapat membantu golongan B40 dan M40 di Langkawi khususnya untuk memiliki rumah mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir Majlis Pelancaran Perumahan Mampu Milik Aman Nusa yang disempurnakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Hotel Adya, Kuah pada Isnin.

Hadir sama Exco Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Mohd Firdaus Ahmad, Pegawai Daerah Langkawi, Datuk Abdul Gafar Yahya, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah, Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman dan Ketua Divisyen Hartanah Kumpulan BDB, Zawawi Wahab.

Che Had menjelaskan, Aman Nusa merupakan projek terbaharu di Langkawi dalam mengembangkan portfolio pelaburan dan pembangunan Kumpulan BDB di pulau berkenaan.

Ujarnya, pada 29 Mac lalu Kumpulan BDB menerusi BDB Infra Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian jualan saham di antara Gemi Puncak Sdn Bhd dan juga Gemi Puncak Quarry Sdn Bhd, sekaligus menjadikan Kumpulan BDB sebagai pemilik kuari granit yang terbesar di Langkawi berkeluasan 64 ekar.

Katanya lagi, Kumpulan BDB telah pun memiliki Darulaman Sanctuary iaitu kawasan ekopelancongan di Lubuk Semilang seluas 226 ekar, Langkawi Art Box, The Langkawi Cultural Village iaitu pembangunan komersial seluas 4 ekar yang mempunyai 35 unit perniagaan di Padang Mat Sirat serta mempunyai bank tanah di Kuala Temoyong seluas 12.4 ekar.

“Bersempena dengan penganjuran Langkawi International Maritime and Aerospace 2023 (LIMA’23), Kumpulan BDB turut menawarkan platform BDB@Langkawi dengan dua tarikan utama iaitu The Airventure dan The LAB di mana The Airventure ini sangat unik.

“Ia menyediakan ruang dan kemudahan untuk orang ramai menyaksikan pertunjukan udara dari jarak dekat dan jelas kerana lokasinya berhampiran dengan ‘air strip’ serta dilengkapi dengan ruang tinjau dengan kemudahan seperti calet dua tingkat, cabana, green box dan kawasan cocktail untuk orang awam,” jelas beliau.

Tambahnya, The LAB pula akan memperkenalkan Food & Fun Garden yang mana membuka peluang dan ruang untuk peniaga tempatan memperkenalkan dan menjual produk dan perkhidmatan sewaktu LIMA’23.

“Kumpulan BDB menyediakan ruang parkir yang mencukupi serta gerai makanan dan ruang santai yang luas dan kemudahan lain seperti surau, tempat bersantai untuk menonton pameran udara dan tandas dengan dikelilingi kedai kabin kontena yang menarik,”

“Dengan ini, Kumpulan BDB mengharapkan untuk terus dapat terlibat secara langsung dalam pembangunan di Langkawi sekaligus bukan sahaja dapat membangunkan pulau peranginan ini tetapi juga Negeri Kedah secara amnya,” kata Che Had lagi.

https://www.sinarharian.com.my/article/259835/bisnes/bdb-bina-rumah-mampu-milik-di-langkawi?fbclid=IwAR0XhRskWSGyoUVHBv_LcP3xzScIkahUZUIcOtTuuGAdjUFLfiKygmoUgUA

Bina Darulaman Berhad © All Rights Reserved 2022