KUNJUNGAN HORMAT PENGERUSI DAN PENGURUSAN KANAN KUMPULAN BDB KE MENARA SADA ALOR SETAR
Delegasi Bina Darulaman berhad (BDB) yang diketuai oleh Pengerusi BDB, Sr Haji Che Had Dhali telah mengadakan kunjungan hormat di Menara Syarikat Air Darul Aman (SADA), Jalan Sultan Badlishah, Alor Setar.
Kunjungan hormat tersebut telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Radzuan Osman dan Ketua Pegawai Operasi SADA, Haji Zulazni Mohd Noor.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, YM Raja Shahreen Raja Othman dan Ketua Pegawai Korporat Kumpulan BDB, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli.
Dalam sesi lawatan tersebut, Sr Haji Che Had diberikan taklimat mengenai operasi dan strategi pengurusan bekalan air negeri Kedah, visi dan misi serta projek-projek masa depan yang telah disampaikan oleh Radzuan Osman.
Di samping itu, beliau turut diberikan penerangan mengenai perancangan SADA dalam mengekalkan pentadbiran yang berkualiti serta memastikan rakyat negeri Kedah sentiasa mendapat bekalan air bersih yang mencapai piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia serta World Health Organization (WHO).
Dalam pada itu, Sr Haji Che Had sempat meluangkan masa memberi sedikit taklimat mengenai BDB yang juga merupakan sebuah anak syarikat dibawah kerajaan Negeri Kedah yang bertanggungjawab menguruskan bidang kejuruteraan, infrastruktur, pembinaan, pembangunan hartanah dan pelancongan Negeri Kedah.
Dengan kunjungan hormat tersebut, BDB berharap hubungan strategik yang dijalin akan terus berkembang serta membuka peluang-peluang positif dalam usahasama projek pada masa hadapan.