ALOR SETAR: Bina Darulaman Bhd (BDB) merancang membangunkan Aman Seterra Sanctuary, perkampungan persaraan antarabangsa berinspirasikan Islam yang pertama di dunia.
Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman, berkata statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan negara ini melepasi ambang masyarakat menua pada tahun lalu.
Katanya, ini akan menyebabkan permintaan bagi perkhidmatan khusus bagi warga emas akan meningkat dan pihaknya bersedia menjadi model kepada penyediaan komuniti persaraan mampan.
“Aman Seterra Sanctuary akan dibangunkan di kawasan seluas lima hektar di Kuala Temoyong, Langkawi yang menjadi penempatan persaraan pertama seumpamanya di Malaysia dan memenuhi keperluan dari seluruh dunia.
“Ia akan menyediakan perkhidmatan kepada pesara dan juga warga emas tempatan dengan mengintegrasikan konsep kediaman bebas, bantuan penjagaan, dan penjagaan jangka panjang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, BDB melalui anak syarikat milik penuhnya, Aman Lagenda Sdn Bhd menandatangani perjanjian usaha sama dan perjanjian pemegang saham bersama Seterra Holdings bagi pembangunan projek berkenaan.
Turut hadir, Pengerusi BDB, Che Had Dhali; Pengerusi Eksekutif Seterra Group of Companies, M Yusof Ahamad dan Ketua Pegawai Eksekutif, Seterra Group of Companies, Rashidi Yahaya.
Raja Shahreen berkata, Aman Seterra Sanctuary dibangunkan di lokasi strategik yang akan memanfaatkan keindahan alam semula jadi setempat bagi menarik kedatangan pesara dari luar negara.
“Kita menjangkakan Aman Seterra Sanctuary dapat meningkatkan potensi pelancongan perubatan dengan menarik minat pesara dari negara seperti Jepun, Australia, Singapura, United Kingdom (UK) dan Eropah.
“Ini akan meletakkan Malaysia sebagai hab persaraan di rantau ini, sekali gus menjadi pencetus bagi memanfaatkan potensi ‘ekonomi perak’ yang bernilai trilion dolar Amerika Syarikat (AS),” katanya.