BDB Dianugerahkan Kontrak Penyelenggaraan Jalan-Jalan Negeri Bernilai RM251.65 Juta

Bina Darulaman Berhad (BDB) hari ini mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, BDB Infra Sdn Bhd (BDB Infra), telah memperoleh kontrak penyelenggaraan jalan-jalan negeri bernilai RM251.65 juta daripada Kerajaan Negeri Kedah.

Kontrak bagi tempoh 60 bulan (lima tahun) itu melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Zon 1 yang merangkumi daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap dan Pokok Sena.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Che Abdul Khalid Md Din berkata, penganugerahan kontrak tersebut mencerminkan keyakinan berterusan Kerajaan Negeri Kedah terhadap keupayaan dan kredibiliti BDB Infra dalam melaksanakan projek penyelenggaraan infrastruktur secara cekap, berkualiti dan konsisten.

“Penganugerahan ini merupakan satu pengiktirafan bermakna kepada Kumpulan BDB dan BDB Infra atas pengalaman serta rekod prestasi kami dalam sektor penyelenggaraan dan pembinaan jalan raya.

“BDB komited memastikan projek ini dilaksanakan mengikut spesifikasi dan standard ditetapkan demi menjamin keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya di negeri Kedah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan prestasi kewangan Kumpulan BDB bagi tempoh kewangan 2026 hingga 2031, sekali gus memperkukuh keyakinan pemegang taruh dan pelabur terhadap prospek pertumbuhan syarikat.

Menurut beliau lagi, projek itu turut dijangka memberi impak positif kepada pembangunan infrastruktur negeri serta merangsang aktiviti  ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan dan penglibatan rantaian bekalan tempatan.

BDB Infra merupakan kontraktor Gred G7 yang mempunyai pengalaman dan rekod kerja yang cemerlang lebih 50 tahun dalam pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan jalan raya serta operasi kuari di utara tanah air.

Untuk rekod, bagi tempoh 10 tahun sejak 2015, BDB Infra telah menerima kontrak penyelenggaraan jalan daripada Kerajaan Negeri Kedah secara berterusan merangkumi beberapa daerah di negeri ini. – SM

https://suaramerdeka.com.my/bdb-dianugerahkan-kontrak-penyelenggaraan-jalan-jalan-negeri-bernilai-rm251-65-juta/

Share:

More Posts

Bina Darulaman Berhad © All Rights Reserved 2022