SEDEKAD BDB MASTERS: TERUS MENDOMINASI KEJOHANAN GOLF AMATUR DI WILAYAH UTARA
SIARAN MEDIA
Ahad, 7 Disember 2025
JITRA – Kejohanan BDB Masters 2025, kini memasuki edisi ke-10, terus mengukuhkan statusnya sebagai kejohanan golf pilihan utama di Wilayah Utara apabila menarik penyertaan lebih 150 peserta sepanjang tiga hari penganjuran di Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Kedah.
BDB Masters 2025 merupakan kejohanan golf amatur yang cukup dinanti-dinantikan oleh peminat sukan berkenaan di Wilayah Utara tanah air. Acara ini mempunyai sejarah panjang sebagai kesinambungan daripada Darulaman Masters yang mula dianjurkan lebih 20 tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Che Abdul Khalid Md Din, berkata selepas sedekad penganjuran, BDB Masters kini berkembang menjadi satu jenama yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh imej korporat Kumpulan BDB.
Menurut beliau, kejohanan itu bukan sahaja mengukuhkan identiti sukan di bawah jenama BDB, malah menyerlah sebagai simbol kecemerlangan, prestij dan penyatuan komuniti melalui sukan golf.
“Sepuluh tahun lalu, penyertaan hanya sekitar 80 pemain, kebanyakannya dari Kedah dan negeri-negeri berhampiran. Alhamdulillah, jumlah itu kini melonjak melebihi 150 peserta, dengan lebih 80 peratus hadir dari luar Kedah. Perkembangan ini menunjukkan jenama BDB Masters berada pada kelas tersendiri.
“Kumpulan BDB komited untuk terus menawarkan kejohanan golf terbaik di Wilayah Utara, bukan saja melalui hadiah yang menarik, tetapi juga cabaran permainan yang mampu menarik minat peserta dari dalam dan luar negara pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, BDB Masters dipertandingkan dalam lima kategori iaitu Gross Open, Nett Open, Nett Intermediate, Senior Gross dan Senior Nett.
Selain daripada hadiah keseluruhan, tarikan utama kejohanan ini juga ialah hadiah untuk pukulan “Hole in One” iaitu dua buah kereta iaitu Proton X70 dan Perodua Myvi di mana para pemain mempunyai dua peluang memenanginya pada hari kedua dan ketiga kejohanan.
Kejohanan tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi BDB, Pmgr. Sr. Che Had Dhali dan Pengerusi BDB Darulaman Golf Resort Berhad, Dato’ Haji Abdul Rahman Abdullah.
Dalam kejohanan tersebut, Kall Danish, 23 dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas merekodkan 220 pukulan sepanjang tiga hari kejohanan itu berlangsung.
Kall Danish mengatasi pencabar terdekat, Muhammad Azren Noor Azam dan Sharul Nizam Mohamed yang masing-masing merekodkan 224 dan 225 pukulan.
Kejayaan itu melayakkan Kall Danish membawa pulang hadiah keseluruhan iaitu wang tunai serta trofi kejuaraan yang disampaikan oleh Pmgr. Sr. Che Had Dhali.
SIARAN MEDIA – SEDEKAD BDB MASTERS TERUSKAN DOMINASI KEJOHANAN GOLF AMATUR DI WILAYAH UTARA



