MAJLIS PECAH TANAH PROJEK PERBANDARAN MAMPU MILIK BDB LAGENDA SDN BHD
Majlis Pecah Tanah Projek Perbandaran Mampu Milik BDB Lagenda Sdn Bhd (BDB Lagenda) telah diadakan di Tapak Projek Darulaman Lagenda, Bandar Amanjaya, Sungai Petani, Kedah.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah Darul Aman, Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor. Turut hadir Pengerusi Eksekutif Bina Darulaman Berhad (BDB), Sr. Haji Che Had Dhali, Pemangku Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli, Pengerusi Lagenda Properties Berhad (LPB), Laksamana Tan Sri Dato’ Seri Panglima (B) Dr. Ahmad Kamarulzaman Haji Badaruddin, Pengarah Urusan LPB, Dato’ Doh Jee Ming.
Hadir sama Ahli-Ahli Lembaga Pengarah BDB, Pengurusan Kanan BDB dan LPB serta Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Kedah, Ketua-Ketua Pengarah dan Wakil-Wakil Agensi Kerajaan Negeri, Persekutuan dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan negeri sentiasa komited dalam melaksana dan menyelaras pembangunan perumahan mampu milik kepada golongan sasaran seiring dengan hasrat untuk memastikan pembangunan sektor perumahan yang berdaya huni, teratur yang dapat dinikmati oleh mereka yang kurang berkemampuan terutamanya golongan sasaran B40 dan juga M40 bersesuaian dengan slogan ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’.
Tambah beliau, Lebih 2,500 unit rumah akan dibina di perbandaran ini kelak dan sudah pastilah produk perumahan yang bakal ditawarkan cukup berpatutan iaitu di bawah RM250,000 yang mana mampu dimiliki oleh golongan B40 dan M40.
“Selain itu, sejumlah 282 unit rumah teres satu tingkat akan dibina dalam Pembangunan Fasa 1 akan dijual di bawah harga RM250,000 dan ia bermakna golongan B40 dan M40 akan berpeluang untuk memiliki rumah yang akan ditawarkan kelak dan sedikit-sebanyak dapat membantu mereka memiliki rumah yang diidam-idamkan selama ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif BDB, Sr. Haji Che Had Dhali dalam ucapannya berkata, bagi perbandaran mampu milik ini, ia akan dibangunkan di kawasan seluas lebih 233.43 ekar di Bandar Amanjaya, Sungai Petani, Kedah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM593 juta.
Adalah diharapkan dengan usaha kumpulan BDB ini akan membantu rakyat di negeri kedah untuk memiliki rumah sendiri serta membuka jalan kepada syarikat-syarikat pemaju hartanah lain untuk melihat potensi yang wujud dengan konsep perbandaran mampu milik ini.
Sehubungan dengan itu, diharapkan kerajaan negeri Kedah akan terus menaruh kepercayaan kepada kumpulan BDB dalam usaha untuk bersama-sama dalam membangunkan negeri kedah ini menuju sebuah negeri maju pada masa akan datang.

Share:

More Posts

Bina Darulaman Berhad © All Rights Reserved 2022