CHE ABDUL KHALID MD DIN DILANTIK KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF KUMPULAN BINA DARULAMAN BERHAD
SIARAN MEDIA
Ahad, 2 November 2025
ALOR SETAR: Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) mengumumkan pelantikan Che Abdul Khalid Md Din sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat, berkuat kuasa mulai 1 November 2025.
Che Abdul Khalid membawa bersama pengalaman luas melebihi tiga dekad dalam sektor pembinaan dan pembangunan hartanah, dengan rekod prestasi yang cemerlang dalam kepimpinan strategik dan pengurusan operasi. Sebelum menyertai Kumpulan BDB, beliau merupakan Ketua Pegawai Operasi (COO) di Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. (KTPC) dari 1 November 2021 hingga 31 Oktober 2025.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya di KTPC, beliau memainkan peranan penting dalam merancang dan melaksanakan strategi korporat, selain menyelia fungsi utama seperti Jualan & Perancangan Strategik, Pembangunan Tanah, serta Pengurusan Hartanah. Beliau turut terlibat secara aktif dalam menarik pelaburan langsung asing dan domestik bagi Taman Teknologi Tinggi Kulim.
Di bawah kepimpinannya, KTPC mencatat prestasi pelaburan yang memberangsangkan, dengan nilai pelaburan mencecah RM10.7 bilion (2022), RM20.1 bilion (2023) dan RM32.4 bilion (2024).
Selain itu, Che Abdul Khalid mengetuai pelaksanaan projek-projek Build & Lease, mengurus keseluruhan proses daripada reka bentuk dan pelaksanaan perjanjian sehingga penyerahan projek akhir kepada pelanggan. Beliau juga memimpin perkhidmatan pengurusan projek untuk pelabur, menyelia pembangunan kawasan perindustrian baharu, serta mengetuai misi perdagangan dan pelaburan antarabangsa bagi KTPC.
Sebelum dilantik sebagai COO, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengurus Besar KTPC dari April 2019 hingga November 2021 dan telah menjadi Pengarah Eksekutif KTPC Resort Development Berhad sejak 2010.
Latar belakang profesional beliau turut meliputi jawatan Pengurus Besar Pertabina Technical Services Sdn. Bhd. (2008–2018), Darulaman Realty Sdn. Bhd. (DRSB) kini BDB Land Sdn. Bhd., dan Kedah Holdings Sdn. Bhd. (2006–2008), di mana beliau bertanggungjawab terhadap operasi dan prestasi kewangan syarikat.
Kerjaya awal beliau bermula dengan memegang pelbagai peranan kejuruteraan dan pengurusan projek dengan Syarikat Jaya Utara Sdn. Bhd., Perunding Timur Sdn. Bhd. dan DRSB dari tahun 1991 hingga 2002.
Pelantikan ini dilihat akan memperkukuh kepimpinan Kumpulan BDB dan seterusnya memacu pelaksanaan strategi pertumbuhan syarikat dalam sektor-sektor utama di negeri Kedah, selaras dengan aspirasi Kumpulan BDB untuk terus menjadi peneraju dalam pembangunan mampan dan berimpak tinggi.
Siaran Media – Che Abdul Khalid Md Din Dilantik Ketua Pegawai Kumpulan BDB


