BDB Land Bangunkan Pusat Komersial RM41.5 Juta Di Jitra
ALOR SETAR: BDB Land Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Bina Darulaman Bhd (BDB), akan membangunkan pusat komersial baharu dikenali sebagai Darulaman Commercial District (DCD) di Bandar Darulaman, Jitra dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM41.5 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Che Abdul Khalid Md Din berkata projek di tanah seluas 5.01 ekar itu melibatkan 45 unit bangunan kedai pejabat dua dan tiga tingkat serta sebuah bangunan pejabat korporat baharu BDB Land.
“Selain itu, ia juga berperanan menjadi pusat perniagaan dan tumpuan gaya hidup yang melengkapkan komuniti sedia ada. Lokasi projek itu juga terletak bersebelahan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan berhampiran Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Tasik Darulaman Park serta Taman Tema Air Fantasia Aquapark yang memberi kelebihan dari segi ketercapaian serta potensi limpahan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata lokasi strategik itu akan mengukuhkan keterhubungan ekonomi dengan menghubungkan perumahan, komersial, rekreasi dan pelancongan dalam satu ekosistem yang saling melengkapi, sekali gus menyokong peranan Bandar Darulaman sebagai salah satu pusat pertumbuhan utama di wilayah utara.
Menurutnya, pembangunan itu sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan dalam memperkukuh ekosistem pasaran hartanah di Bandar Darulaman seluas 2,200 ekar yang kini merangkumi lebih 5,000 unit kediaman serta komponen pembangunan bercampur.
“Inisiatif ini turut menyokong strategi jangka panjang BDB dalam menambah nilai keseluruhan perbandaran berkenaan. DCD direka dengan ruang perniagaan lebih tersusun dan moden bagi menyokong keperluan semasa serta jangka panjang komuniti perniagaan, seterusnya merancakkan aktiviti ekonomi menerusi sektor peruncitan, perkhidmatan dan keusahawanan,” katanya
Beliau berkata selaras dengan permintaan pasaran, kerja-kerja awal projek telah bermula melibatkan pembersihan tapak dan penyediaan tanah sebagai persediaan untuk fasa pembinaan seterusnya.
Che Abdul Khalid turut menegaskan komitmen BDB Land untuk memastikan setiap pembangunan memberi impak jangka panjang kepada nilai hartanah dan kesejahteraan komuniti di Bandar Darulaman, selaras dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang menjadi teras amalan kumpulan.
“Setiap pembangunan bukan sahaja tertumpu kepada aspek fizikal, tetapi turut menitikberatkan aspek sosial dan tadbir urus melalui perancangan bandar yang lebih berdaya huni serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2026/06/1573988/bdb-land-bangunkan-pusat-komersial-rm415-juta-di-jitra



