BDB ENERGY SDN. BHD. DAN KESTER SDN. BHD. JALIN KERJASAMA PROJEK SOLAR DI KEDAH

SIARAN MEDIA
Jumaat, 5 September 2025

ALOR SETAR – BDB Energy Sdn. Bhd. (BDB Energy), syarikat tenaga boleh diperbaharui dimiliki sepenuhnya oleh Bina Darulaman Berhad (BDB) mengumumkan kerjasama dengan Kester Sdn. Bhd. (Kester) dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menjalinkan usahama bersama Kerajaan Negeri Kedah melalui pelaksanaan projek tenaga boleh diperbaharui yang meliputi pembangunan Solar Berbumbung di bawah Program CREAM serta pembangunan Ladang Solar di Negeri Kedah.

Pengarah BDB Energy, Mohd Hudzaifah Mohd Sam berkata kerjasama di antara BDB Energy dan Kester Sdn. Bhd. yang juga merupakan anak syarikat milik penuh Invest Kedah Berhad itu bakal membuka peluang baharu bagi syarikat berkenaan untuk merealisasikan komitmen dalam mempromosikan sumber tenaga boleh diperbaharui serta mengurangkan jejak karbon di negeri Kedah.

Menurut beliau, kerjasama strategik tersebut diperkukuhkan lagi apabila Kester Sdn. Bhd. telah mendapat mandat daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah untuk bertindak sebagai Pusat Setempat bagi pelaburan Tenaga Boleh Diperbaharui di negeri berkenaan.

“Sehubungan itu, kerjasama di antara BDB Energy dan juga Kester Sdn. Bhd. ini akan membuka peluang untuk meneroka projek tenaga boleh diperbaharui lain pada masa hadapan, termasuk hidrokarbon dan unsur nadir bumi”.

“Di samping itu juga, kerjasama ini turut menunjukkan komitmen kukuh kedua-dua pihak untuk memanfaatkan tenaga solar sekaligus selari dengan pelan pembangunan The Greater Kedah yang memberi penekanan kepada Ekonomi Hijau dengan memfokuskan kepada kelestarian alam, mempromosikan penggunaan RE serta mengurangkan kesan kepada alam sekitar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menandatangai MoU antara BDB Energy dan Kester Sdn. Bhd. yang diadakan di Bertam Resort dan Water Park, Pulau Pinang.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi & Inovasi Negeri Kedah, YB Dr Haim Hilman Abdullah, Pengarah Kester Sdn. Bhd., Noor Ikhsan Abd. Aziz dan Ketua Pegawai Kewangan Bina Darulaman Berhad (BDB), Mohd. Nasir Ismail.

Tambah Mohd. Hudzaifah lagi, kerjasama di dalam pelaksaaan projek tenaga boleh diperbaharui yang yang meliputi pembangunan Solar Berbumbung di bawah Program CREAM serta pembangunan Ladang Solar di Negeri Kedah itu dijangka dapat memperkukuhkan lagi ekosistem tenaga hijau di Negeri Kedah di samping menyumbang secara langsung kepada agenda kelestarian negeri dan negara.

“Dalam masa yang sama, projek tenaga boleh diperbaharui ini bukan sahaja menyokong agenda negeri, malah seiring dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menetapkan sasaran tenaga boleh diperbaharui sebanyak 40% menjelang 2035 dan seterusnya 70% menjelang 2050.

“Oleh itu, BDB melalui BDB Energy komited untuk memainkan peranan utama dalam mempercepatkan pertumbuhan sektor tenaga boleh diperbaharui di Kedah. Ini sekaligus menyumbang kepada kelestarian negeri serta menyokong aspirasi Malaysia ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan,” ujarnya.

Siaran Media – BDB Energy Sdn Bhd dan Kester Sdn Bhd Jalin Kerjasama Projek Solar di Kedah

Share:

More Posts

Bina Darulaman Berhad © All Rights Reserved 2022