BINA DARULAMAN BERHAD SUMBANG BANTUAN PASCA BANJIR BERNILAI RM20,000

SIARAN MEDIA
Isnin, 16 Disember 2024

ALOR SETAR – Terkesan dengan nasib yang menimpa kepada penduduk di kawasan Jitra, Kubang Pasu, Kedah yang terlibat dalam bencana banjir pada akhir bulan lalu, Bina Darulaman Berhad (BDB) terpanggil untuk menyampaikan bantuan pasca banjir berbentuk pek makanan keperluan harian bernilai lebih RM20,000.

Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, bantuan tersebut terdiri daripada barangan makanan seperti beras, tepung gandum, gula dan lain-lain telah diserahkan kepada 300 orang penerima yang terjejas dalam bencana banjir di sekitar kawasan Jitra dan Kubang Pasu.

“BDB sentiasa bersedia untuk membantu bagi meringankan beban mereka yang terjejas yang sememangnya terkesan bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga mental di atas kehilangan dan kerosakan harta benda yang telah berlaku.

“Untuk itu, sumbangan yang diberikan ini merupakan antara inisiatif BDB dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir yang sememangnya sehingga hari ini sedang bertungkus-lumus untuk kembali menjalani kehidupan normal seperti sebelum bencana banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Pasca Banjir Kumpulan BDB yang berlangsung di Masjid Sharifah Fatimah, Jitra Kedah.

Turut hadir Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah, Ketua Pegawai Operasi BDB, Mohd Sobri Hussein dan juga Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapt. (PA) Mohd Adenin Suhaimi.

Untuk rekod, majlis tersebut turut melibatkan kerjasama di antara BDB dan juga Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Jitra dan juga Masjid Sharifah Fatimah.

Tambah Raja Shahreen lagi, sebagai syarikat berkaitan kerajaan, BDB akan terus bersama-sama dalam membantu kerajaan negeri dan juga masyarakat setempat yang memerlukan bantuan terutamanya melibatkan bencana alam seperti banjir yang berlaku tempoh hari.

“Oleh itu, ia mewujudkan situasi menang-menang di mana BDB bukan sahaja memberikan bantuan kepada masyarakat setempat tetapi turut menyahut seruan Dr Haim Hilman Abdullah untuk bersama-sama dengan Kerajaan Negeri Kedah menyantuni rakyat di bawah.

“Inisiatif seperti ini tidak akan terhenti di sini sahaja di mana syarikat akan terus membantu dengan merangka pelbagai program tanggungjawab sosial korporat di mana BDB komited dalam usaha untuk memastikan prinsip Matlamat Pembangunan Mampan serta Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus terus dipacu pada masa hadapan,” ujar beliau.

Siaran Media – Bina Darulaman Berhad Sumbang Bantuan Pasca Banjir Bernilai RM20,000.00

Share:

More Posts

Bina Darulaman Berhad © All Rights Reserved 2022