
Bina Darulaman Berhad (BDB) terus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju utama dalam menjana pertumbuhan mampan di Wilayah Utara melalui pelaksanaan beberapa projek strategik berimpak tinggi dalam sektor infrastruktur, pembangunan hartanah dan ekonomi perak.
Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, BDB akan terus memperkasa perniagaan teras dengan memberi penekanan terhadap kecekapan pengurusan sumber bagi meningkatkan pendapatan dan keuntungan syarikat.
Antara pencapaian utama termasuk pelancaran Fasa 1 Perbandaran Darulaman Saujana di Hosba bernilai RM74.02 juta, kemajuan Loji Rawatan Air Pelubang yang hampir siap, serta prestasi konsisten Darulaman Park dan Darulaman Golf & Country Club.
Projek strategik baharu, Aman Seterra Sanctuary, Langkawi merupakan sanctuary persaraan antarabangsa berinspirasikan Islam pertama di dunia turut diumumkan hasil kerjasama dengan RUKUN Senior Living (Indonesia) dan Well Aging Japan Association (WAJA).
BDB juga memperluaskan peluang perniagaan ke luar Kedah melalui perjanjian persefahaman bersama Mutiara Perlis untuk pembangunan Pelabuhan Sanglang Perlis serta projek pembangunan hartanah di Arau dan kemudahan industri di Pelabuhan Darat Perlis.
Raja Shahreen berkata demikian semasa Mesyuarat Agung Tahunan BDB ke-30 di Hotel Raia, Alor Setar yang turut dihadiri Pengerusi BDB, PMgr. Sr. Haji Che Had Dhali bersama Ahli-Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan Kumpulan BDB.



