Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menganjurkan Kejohanan BDB Masters & Charity Golf 2024 yang berlangsung selama tiga hari di Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Kedah. Kejohanan ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 160 pemain golf amatur dari seluruh tanah air dengan 90 peratus peserta adalah dari luar Kedah.

Pada asalnya, kejohanan ini dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 8 Disember 2024 namun telah ditangguhkan ke 3 hingga 5 Januari 2025 berikutan bencana banjir yang melanda kawasan Jitra dan sekitarnya.

Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, YM Raja Shahreen Raja Othman. Turut hadir adalah Pengerusi BDB Darulaman Golf Resort Berhad, YBhg. Dato’ Haji Abdul Rahman Abdullah serta barisan pengurusan kanan Kumpulan BDB.

Muhammad Farez Mohd Azihan telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan catatan 214 pukulan, menewaskan Nor Haqeim Nor Hadi dan Shakiran Johari yang mencatatkan 217 pukulan. Kejohanan ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000 dan hadiah istimewa “Hole In One” berupa dua buah kereta Proton (X50 dan S70) bernilai lebih RM180,000.

Turut berlangsung merupakan perlawanan amal “Charity Golf 2024”, menyaksikan kutipan sumbangan bernilai RM10,000 diberikan kepada 10 buah sekolah terpilih di Kedah.

Share:

More Posts

Bina Darulaman Berhad © All Rights Reserved 2022