LAWATAN PENANDAARASAN INSTITUSI SWASTA (LPIS) OLEH PERSERTA NPQEL INSTITUT AMINUDDIN BAKI CAWANGAN UTARA

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menerima kunjungan rasmi daripada peserta National Professional Qualification for Educational Leaders (NPQEL) 2025, Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Kementerian Pendidikan Malaysia, sempena Program Lawatan Penandaarasan Institusi Swasta (LPIS) yang berlangsung di Aras 4, COL, Menara BDB pada 15 Mei 2025.

Program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta NPQEL mengenai amalan tadbir urus korporat dan operasi institusi swasta melalui perkongsian pengalaman secara langsung bersama pihak industri.

Majlis dirasmikan dengan ucapan daripada Pengarah Eksekutif BDB, YM Raja Shahreen Raja Othman yang berkongsi pandangan tentang pelaksanaan tadbir urus korporat di BDB, disusuli dengan ucapan wakil dari Kumpulan 5 NPQEL 2025, En. Balakrishnan Thopasamy. Turut hadir, Ketua Koordinator Institut Aminuddin Baki, Tuan Haji Ismail Ibrahim.

Kolaborasi ini mencerminkan komitmen BDB dalam menyokong pembangunan kepimpinan pendidikan negara menerusi perkongsian ilmu dan pengalaman industri.

MAJLIS PRA-PELANCARAN DARULAMAN SAUJANA, HOSBA

Majlis Pelancaran Darulaman Saujana, Hosba telah diadakan pada 10 dan 17 Mei 2025 bertempat di Pejabat Pengurusan BDB Land, Jitra, Kedah.

Majlis tersebut adalah untuk memperkenalkan dua produk perumahan terbaharu BDB Land iaitu Lily, rumah teres setingkat dan Rafflesia, rumah kluster setingkat yang kini telah mula dibuka untuk pembelian.

Majlis tersebut dihadiri oleh kakitangan BDB Land, ejen-ejen perumahan dan juga orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat tambahan mengenai kedua-dua produk berkenaan.

BDB HADIR FORUM EKONOMI THAILAND-MALAYSIA 2025

Bina Darulaman Berhad (BDB) diketuai oleh Pengarah Eksekutif, YM Raja Shahreen Raja Othman dan diiringi oleh Chief Support Officer, Encik Abdul Shukor Abdul Rahman telah menghadiri Forum Ekonomi Thailand-Malaysia 2025 yang diadakan di Imperial Lexis Kuala Lumpur pada 9 Mei 2025.

Dengan Bertemakan ‘Towards Seamless Connectivity: A Thailand-Malaysia Dialogue on Economic Integration and Partnerships’ forum tersebut menjadi platform bagi BDB untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang kerjasama serantau, prospek pelaburan dan peluang perniagaan rentas sempadan yang wujud antara Thailand dan Malaysia.

Diharapkan pada masa akan datang, BDB akan mengorak langkah untuk meneroka peluang perniagaan baharu rentas sempadan antara Thailand dan Malaysia.

MAJLIS BACAAN YAASIN SEMPENA PEMBUKAAN SEMULA BILIK BUNGA RAYA @ DGCC

Majlis bacaan Yasin dan doa selamat telah berlangsung pada 8 Mei 2025 dengan penuh keberkatan bersempena dengan pembukaan semula Bilik Bunga Raya, ruang serbaguna yang kini berwajah baharu di Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Jitra, Kedah.

Selepas dinaik taraf dengan imej yang lebih moden serta kelengkapan yang lebih lengkap, Bilik Bunga Raya kini bersedia untuk menerima pelbagai jenis majlis dan aktiviti dalam suasana yang lebih selesa dan eksklusif dengan boleh memuatkan 50 orang tetamu pada satu-satu masa.

Semoga dengan pembukaan semula Bilik Bunga Raya ini akan terus menjadikan DGCC sebagai salah satu event space pilihan di Kedah.

AMAN SETERRA SANCTUARY DILANCARKAN SEBAGAI SANCTUARY PERSARAAN ANTARABANGSA BERINSPIRASIKAN ISLAM PERTAMA DI DUNIA

Pada 17 April 2025, telah berlangsungnya Majlis Pertukaran Perjanjian Usahasama Merangkap Perjanjian Pemegang Saham antara Aman Lagenda Sdn. Bhd. dan Seterra Holdings Sdn. Bhd di Menara BDB, Alor Setar, Kedah.

Majlis tersebut adalah bertujuan mengumumkan kerjasama untuk membangunkan Aman Seterra Sanctuary, Sanctuary Persaraan Antarabangsa berinspirasikan Islam Pertama di dunia.

Terletak di Kuala Temoyong, Langkawi, Kedah, projek ini selari dengan perkembangan Ekonomi Perak iaitu sektor ekonomi baharu berskala global yang dijangka akan menghasilkan pendapatan melebihi USD 9.1 trilion menjelang 2029.

Aman Seterra Sanctuary akan dibangunkan di kawasan seluas 12.42 ekar dan bakal menjadi Perkampungan Persaraan pertama seumpamanya di Malaysia yang mengintegrasikan konsep kediaman bebas, bantuan penjagaan, dan penjagaan jangka panjang bagi memenuhi keperluan pesara dari seluruh dunia.

Majlis pertukaran perjanjian ini disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, YM Raja Shahreen Raja Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Seterra Group of Companies, Encik Rashidi Yahaya, disaksikan oleh Pengerusi BDB, Sr. Haji Che Had Dhali dan Pengerusi Kumpulan Seterra Group of Companies, Tuan Haji Yusof Ahamad.

MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI BDB 2025

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) tidak melepaskan peluang untuk menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 yang telah diadakan di Lobi & Foyer Menara BDB, Alor Setar, Kedah pada 17 April 2025.

Majlis tersebut berlangsung dengan suasana yang cukup meriah di mana dianggarkan seramai 3,000 orang tetamu yang terdiri daripada warga kerja, para pelanggan dan juga rakan-rakan korporat Kumpulan BDB.

Objektif utama penganjuran majlis tahunan BDB berkenaan adalah dengan bertujuan untuk meraikan serta mengeratkan hubungan dan ukhwah serta dalam masa yang sama meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama semua tetamu yang hadir.

Majlis yang berlangsung dengan suasana penuh meriah itu turut dihadiri oleh Pengerusi BDB, Sr. Haji Che Had Dhali dan Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, YM Raja Shahreen Raja Othman, Ahli-ahli Lembaga Pengarah BDB serta dan juga tetamu-tetamu kehormat.

Bersempena majlis berkenaan, Raja Shahreen menzahirkan rasa syukur dan menzahirkan penghargaan kepada semua warga kerja serta tetamu yang hadir di mana beliau berharap agar hubungan erat yang telah terjalin ini akan terus berkekalan buat selama-lamanya.

Sekali lagi, Kumpulan BDB ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan Majlis Rumah Terbuka Raya Aidilfitri 2025 berlangsung dengan jayanya.

Tidak lupa juga kepada semua tetamu yang hadir tidak kira daripada agensi-agensi kerajaan Negeri Kedah mahupun Persekutuan, Pihak-pihak Berkuasa Tempatan dan syarikat-syarikat swasta kerana sudi meluangkan masa untuk hadir dan memeriahkan majlis tersebut.

MALAYSIA MENGORAK LANGKAH KE DALAM EKONOMI PERAK DI EKSPO DUNIA 2025, OSAKA

Bina Darulaman Berhad (BDB) membuat penampilan sulungnya di Pavilion Malaysia di World Expo 2025 yang berlangsung di Osaka, Jepun dengan menyuarakan serta memperjuangkan peranan Malaysia dalam Ekonomi Perak yang dijangka akan menghasilkan pendapatan melebihi USD 9.1 trilion menjelang 2029.

Pada forum yang dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, YM Raja Shahreen Raja Othman memperkenalkan Aman Seterra, iaitu sanctuary persaraan antarabangsa berinspirasikan Islam pertama seumpamanya di Langkawi.

Aman Seterra memenuhi keperluan dari seluruh dunia dan dalam masa yang sama turut menyediakan perkhidmatan kepada pesara dan juga warga emas tempatan dengan mengintegrasikan konsep kediaman bebas, bantuan penjagaan, dan penjagaan jangka panjang.

Di samping itu juga, ia menggabungkan seni bina mesra alam, taman komuniti dan kemudahan gaya resort pada harga berpatutan, meletakkan Langkawi sebagai syurga persaraan untuk pesara di peringkat global terutamanya dari Jepun, Australia, Singapura, UK dan Eropah.

Inisiatif itu juga adalah untuk menjadikan Malaysia bertindak serta menjadi peneraju di dalam industri persaraan dan penjagaan warga emas di rantau ini.

DGCC TUAN RUMAH KEJOHANAN GOLF MSSD KOTA SETAR & KUBANG PASU

Selepas menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Golf Majlis Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Kota Setar dan Pendang pada tahun lalu, Darulaman Golf & Country Club (DGCC) sekali lagi bertuah apabila diberi kepercayaan sebagai destinasi pilihan bagi Kejohanan Golf MSSD Kota Setar dan Kubang Pasu 2025.

Kejohanan tersebut berlangsung pada 23 April 2025 menyaksikan penyertaan lebih 50 orang peserta yang mana mereka bersaing untuk menjadi juara bagi peringkat daerah masing-masing.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak penganjur kerana memilih DGCC sebagai lokasi rasmi bagi kejohanan berkenaan.

Tahniah juga diucapkan kepada semua peserta yang telah menunjukkan komitmen dan semangat kesukanan yang membanggakan.

NIGHT LEBA-RUN @ DARULAMAN PARK

Bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Jitra Runnaz dengan kerjasama BDB Leisure Sdn. Bhd. menganjurkan acara larian Night Leba-Run yang berlangsung di Darulaman Park, Jitra pada 16 April 2025.

Lebih 30 orang peserta menyertai larian santai tersebut yang diadakan bertujuan untuk merapatkan hubungan dan dalam masa yang sama menyihatkan badan selepas menyambut hari raya sebelum ini.

Semoga dengan penganjuran acara seperti ini dapat menghidupkan lagi aktiviti sukan pada waktu malam di Darulaman Park dan dalam masa yang sama mempromosikan gaya hidup sihat di Perbandaran Bandar Darulaman.

MAJLIS BERBUKA PUASA YB SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI KEDAH BERSAMA PEGAWAI TADBIR NEGERI KEDAH

BDB Glass Hall, Darulaman Park, Jitra, Kedah bertuah apabila menjadi lokasi pilihan bagi penganjuran Majlis Berbuka Puasa YB Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Haji Norizan Khazali Bersama Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS) pada 26 Mac 2025.

Majlis tersebut diadakan bagi menghargai komitemen yang telah dipamerkan oleh semua pegawai KCS di semua peringkat bahagian, jabatan, daerah mahupun negeri.

Ia adalah kerana sepanjang tahun 2025 terutamanya di dalam bulan Ramadan, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan dan ini dapat dilihat banyak peranan serta komitmen yang telah diberikan oleh semua pegawai KCS.

Banyak program yang diatur telah mendapat kerjasama yang amat baik daripada pihak KCS dan ini menunjukkan bahawa Pegawai Tadbir atau Pegawai Kanan Kerajaan Negeri sentiasa memikul tugas dan peranan tidak kira waktu dan masa. Ini adalah satu kebanggaan kepada semua di atas usaha semua.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Kedah, Dato’ Muhammad Arof Darus; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Dr. Nadzman Mustaffa; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Dato’ Abd Ghani @ Zulkifli Zainudin dan Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang telah memilih BDB Glass Hall sebagai lokasi penganjuran majlis berkenaan.

Kredit foto : FB Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah