BDB PEROLEH KONTRAK PENYELENGGARAAN JALAN NEGERI KEDAH BERNILAI RM251.65 JUTA

Bina Darulaman Berhad (BDB) mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, BDB Infra Sdn Bhd telah memperoleh kontrak penyelenggaraan jalan negeri bernilai RM251.65 juta daripada Kerajaan Negeri Kedah.
Kontrak bagi tempoh 60 bulan (lima tahun) ini melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Zon 1 yang merangkumi daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap dan Pokok Sena.
Majlis Penyerahan Dokumen Surat Setuju Terima bagi kontrak ini telah diadakan di Pejabat Kewangan Negeri, Wisma Darul Aman, Alor Setar pada 17 Mei 2026. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Dr. Nadzman Bin Mustaffa, DSDK., SDK., AMK., BCK., Pegawai Kewangan Negeri Kedah, dan turut dihadiri oleh Ketua BDB Infra Sdn. Bhd., Encik Zakba Shafie.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Che Abdul Khalid Md Din berkata penganugerahan kontrak ini mencerminkan keyakinan berterusan Kerajaan Negeri Kedah terhadap keupayaan dan kredibiliti BDB Infra dalam melaksanakan projek penyelenggaraan infrastruktur secara cekap, berkualiti dan konsisten.
Menurut beliau, penganugerahan ini merupakan satu pengiktirafan bermakna kepada Kumpulan BDB atas pengalaman serta rekod prestasi kukuh dalam sektor penyelenggaraan dan pembinaan jalan raya.
BDB komited memastikan projek ini dilaksanakan mengikut spesifikasi dan standard yang ditetapkan demi menjamin keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya di negeri Kedah.
Kontrak ini dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan serta prestasi kewangan Kumpulan BDB bagi tempoh kewangan 2026 hingga 2031, sekali gus memperkukuh keyakinan pemegang taruh dan pelabur terhadap prospek pertumbuhan syarikat.
Sebagai kontraktor Gred G7 dengan pengalaman lebih 50 tahun, BDB Infra terus memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan infrastruktur negeri serta memacu pertumbuhan mampan Kumpulan BDB.

BDB SERTAI PAMERAN DI ALOR SETAR CAR FREE SATURDAY

Program Alor Setar Car Free Saturday yang julung kali berlangsung di Dataran Medan Bandar, Alor Setar menerima sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat, sekali gus menandakan permulaan inisiatif bulanan ke arah mengurangkan jejak karbon serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam suasana bandar yang lebih tenang tanpa kenderaan.
Program anjuran Majlis Bandaraya Alor Setar ini bertujuan mengurangkan pencemaran udara dan bunyi, di samping menggalakkan aktiviti sihat seperti jogging, berbasikal serta pelbagai pengisian komuniti.
Majlis Perasmian Alor Setar Car Free Saturday telah disempurnakan oleh Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin bersama Tunku Puan Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff. Turut mengiringi adalah Menteri Besar Kedah, YAB Muhammad Sanusi Md Nor bersama isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh; Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya serta Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali.
Sebagai antara penyumbang utama dalam menjayakan program ini, Bina Darulaman Berhad (BDB) tampil dengan penyertaan pameran melalui BDB Energy, BDB Land serta Sales Marketing Task Force.
Kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Encik Che Abdul Khalid Md Din, bukan sahaja memeriahkan suasana, malah mencerminkan komitmen kukuh BDB dalam menyokong agenda pembangunan bandar lestari serta memperluas keterlibatan bersama komuniti melalui platform berimpak tinggi seperti ini.
Pelaksanaan program ini diharap dapat terus memperkukuh amalan gaya hidup sihat, memupuk semangat komuniti serta menyokong aspirasi pembangunan bandar lestari di Negeri Kedah.

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN (AGM) KUMPULAN BINA DARULAMAN BERHAD (BDB) KE-31

    
Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) ke-31 telah berlangsung di Hotel Jerai, Alor Setar, Kedah, dengan kehadiran Ahli Lembaga Pengarah, pemegang saham, tetamu jemputan serta barisan pengurusan kanan syarikat.
Mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam tersebut dihadiri oleh Ahli-Ahli Lembaga Pengarah BDB yang diketuai oleh Dato’ Mohd Sahil Zabidi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Encik Che Khalid Md Din, para pemegang saham, tetamu jemputan serta pengurusan kanan Kumpulan BDB.
Agenda mesyuarat merangkumi pembentangan Laporan Tahunan 2025, diikuti perbincangan beberapa resolusi serta sesi soal jawab bersama pemegang saham. Proses pengundian turut dilaksanakan bagi resolusi yang dibentangkan, sebelum keputusan diumumkan kepada para pemegang saham.
Dalam pembentangannya, Ketua Pegawai Eksekutif menegaskan bahawa tahun 2026 disasarkan sebagai tempoh untuk memperkukuh perniagaan teras dan meningkatkan kecekapan operasi bagi mengembalikan keuntungan serta membina asas pertumbuhan jangka panjang yang lebih mampan.
Fokus strategik tersebut merangkumi pengukuhan empat segmen utama kumpulan iaitu pembinaan jalan dan kuari, hartanah, kejuruteraan dan pembinaan (E&C), serta leisure sebagai pemacu utama pemulihan dan pertumbuhan berterusan.
“Pengukuhan ini bukan sahaja bertujuan mengembalikan BDB ke landasan keuntungan, malah memastikan asas perniagaan yang lebih kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang,” ujar beliau.
Secara keseluruhannya, AGM ini menjadi platform penting dalam memperkukuh ketelusan, tadbir urus korporat serta meningkatkan keyakinan pemegang saham terhadap hala tuju dan strategi masa depan BDB.

MAJLIS TAKLIMAT PRESTASI KUMPULAN BDB BAGI SUKU PERTAMA TAHUN 2026

Majlis Taklimat Prestasi Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) bagi Suku Pertama Tahun 2026 telah berlangsung di The Tent, Darulaman Park, Jitra dengan penyertaan seramai 204 warga kerja.
Majlis ini merupakan kesinambungan daripada Amanat Tahun Baharu dan berperanan sebagai platform untuk membentangkan prestasi semasa anak-anak syarikat serta hala tuju strategik bagi tahun 2026.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Chief Business Strategy Officer, Encik Mohd Hudzaifah Mohamad Sam yang menekankan kepentingan sesi ini dalam memastikan kesinambungan momentum prestasi Kumpulan BDB.
Sesi taklimat diteruskan oleh Ketua-Ketua Anak Syarikat dan Segmen, iaitu Encik Zakba Shafie (BDB Infra Sdn. Bhd.), Encik Shuhaimi Ismail (BDB Synergy Sdn. Bhd.), Encik Helmi Azarudin Harun (Segmen Hartanah), Tuan Syed Saful Yusri Syed Fuzi (BDB Energy Sdn. Bhd.) serta Encik Nuramali Ahmad Zainy (Segmen Leisure), yang berkongsi pencapaian semasa serta perancangan bagi suku pertama dan seterusnya tahun 2026.
  
Turut dibentangkan ialah prestasi kewangan keseluruhan oleh Ketua Pegawai Kewangan, Encik Mohd Nasir Ismail, diikuti taklimat Petunjuk Prestasi Utama (KPI) oleh Performance Management Unit.
Majlis diakhiri dengan ucapan penutup oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Encik Che Abdul Khalid Md Din yang menegaskan kepentingan mengekalkan momentum positif, memberi fokus kepada pencapaian sasaran, memperkukuh tanggungjawab dan akauntabiliti serta mempererat kerjasama sebagai satu pasukan.
Sesi ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti dan kecemerlangan warga kerja, sekali gus memperkukuh prestasi Kumpulan BDB bagi suku-suku seterusnya pada tahun 2026.

MAJLIS HARI RAYA AIDILFITRI KUMPULAN BDB 2026 PERKUKUH SILATURAHIM

Majlis Hari Raya Aidilfitri Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) 2026 berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran warga kerja yang bersama-sama memeriahkan sambutan tersebut.
  
Penganjuran secara dalaman ini meneruskan tradisi tahunan BDB dalam memperkukuh hubungan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan antara warga kerja dan pihak pengurusan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Encik Che Abdul Khalid Md Din bersama barisan pengurusan kanan. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja serta berharap semangat kebersamaan yang terjalin dapat terus menjadi pemangkin kepada kecemerlangan organisasi.
Selain itu, seramai 50 pemenang cabutan bertuah telah membawa pulang pelbagai hadiah menarik, manakala Jabatan Komunikasi Korporat dinobatkan sebagai pemenang pertandingan Gambar Raya Paling Menarik, diikuti oleh BDB Leisure Sdn. Bhd. dan Sales & Marketing Task Force.
Kumpulan BDB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini serta kepada seluruh warga kerja yang hadir, sekali gus menjadikan sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna.

KUNJUNGAN HORMAT UTILITI INFRA DARULAMAN SDN. BHD. KE BINA DARULAMAN BERHAD

2 April 2026 | Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Encik Che Abdul Khalid Md Din telah menerima kunjungan hormat daripada Utiliti Infra Darulaman Sdn. Bhd. (UiDA) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Ir. Ahmad Taufik Radzi.

Pertemuan ini memberi ruang kepada perkongsian peranan UiDA dalam penyediaan infrastruktur utiliti, selaras dengan keperluan projek pembinaan dan hartanah yang dilaksanakan oleh Kumpulan BDB di Negeri Kedah.

Sesi ini turut membuka peluang untuk meneroka potensi kerjasama strategik bagi memastikan perancangan serta pelaksanaan infrastruktur utiliti yang lebih teratur, cekap dan mampan.

Diharapkan hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak dapat terus diperkukuh dalam menyokong agenda pembangunan negeri serta kesejahteraan komuniti.

PROGRAM SINGGAH SAHUR 2026 HARGAI ANGGOTA BARISAN HADAPAN

16 Mac 2026 | Jabatan Sumber Manusia Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) meneruskan tradisi tahunan Ramadan menerusi penganjuran Program Singgah Sahur 2026 sebagai tanda penghargaan kepada warga kerja serta anggota barisan hadapan yang bertugas.
Program ini diketuai oleh Chief People Officer, Encik Mohd Taufik Abdullah bersama pasukan Jabatan Sumber Manusia yang turun padang ke sembilan lokasi sekitar Alor Setar dan Jitra bagi menyampaikan juadah sahur.
Seramai 60 penerima terdiri daripada anggota Polis Bantuan (AP) BDB serta pasukan beruniform termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) menerima sumbangan dalam program ini.
Antara lokasi terlibat termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, Balai Polis Trafik Alor Setar, APAM Anak Bukit, Balai JBPM Alor Setar dan Alor Semadom, serta beberapa lokasi operasi BDB di sekitar Bandar Darulaman, Darulaman Park, Menara BDB dan Taman Azalea, Pendang.
Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan BDB dalam menghargai pengorbanan anggota barisan hadapan yang sentiasa komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya sepanjang bulan Ramadan.

BDB SEMARAKKAN RAMADAN DENGAN PROGRAM BUBUR LAMBUK & MAJLIS BERBUKA PUASA

12 Mac 2026 | Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) terus menyemarakkan kedatangan bulan Ramadan tahun ini menerusi penganjuran dua program Ihya’ Ramadan iaitu Jom Kacau Bubur Lambuk dan Majlis Berbuka Puasa Kumpulan BDB yang berlangsung di Darulaman Golf & Country Club.
 Program Jom Kacau Bubur Lambuk merupakan hasil kerjasama antara Bank Rakyat Cawangan Mergong dan BDB, di mana kakitangan kedua-dua organisasi berganding bahu menyediakan juadah tradisi Ramadan tersebut. Inisiatif ini turut mencerminkan semangat kerjasama erat bersama pemegang taruh dalam menjayakan program berkenaan.
Melalui kerjasama tersebut, sebanyak 500 pek bubur lambuk berjaya disediakan dan seterusnya diagihkan kepada kakitangan Bank Rakyat Cawangan Mergong serta warga kerja Kumpulan BDB.
Pada masa yang sama, Majlis Berbuka Puasa Kumpulan BDB turut berlangsung secara sederhana namun penuh bermakna. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Encik Che Abdul Khalid Md Din, telah menyampaikan ucapan ringkas bersempena Ramadan kepada seluruh warga kerja yang hadir.
Majlis turut dihadiri oleh Ahli Mesyuarat EXCO, barisan pengurusan kanan, Ketua-Ketua Jabatan serta wakil anak-anak syarikat.
Bagi menambah keberkatan majlis, Ustaz Mohd Rizal Zainon telah mengetuai bacaan tahlil dan doa sebelum diteruskan dengan solat berjemaah Maghrib, Isyak serta solat sunat Tarawih.
Terima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan majlis ini. Semoga program seumpama ini terus memperkukuh ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kerja BDB.

MAJLIS IFTAR BDB BERSAMA MEDIA KEDAH 2026

10 Mac 2026 | Dalam usaha menyemarakkan semangat Ramadan, Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan telah menganjurkan Majlis Iftar bersama Kelab Media Elite Kedah (KMEK) yang berlangsung di Classic Cafe, Darulaman Golf & Country Club, Jitra, Kedah.
Majlis yang dihadiri kira-kira 50 orang pengamal media dan turut disertai oleh Ketua Pembangunan Perniagaan, Encik Ts. Zawawi Wahab ini merupakan tradisi tahunan BDB sebagai tanda penghargaan atas jalinan persahabatan yang telah sekian lama terjalin antara BDB dan KMEK, sekali gus mengeratkan lagi hubungan baik antara kedua-dua pihak.
Pada masa yang sama, majlis ini turut menjadi simbol penghargaan kepada rakan-rakan media atas kerjasama dan sokongan berterusan dalam membuat liputan berita berkaitan pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan oleh BDB.

KUNJUNGAN HORMAT YAYASAN SULTANAH BAHIYAH KE BINA DARULAMAN BERHAD

24 Februari 2026 | Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menerima kunjungan hormat daripada Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) yang diwakili oleh Pengurus Perhubungan Awam & Komunikasi Korporat merangkap Pemangku Pengurus Besar, Encik Muhammad Izzat Jamaludin.

Pertemuan ini memberi ruang kepada perkongsian peranan serta inisiatif semasa YSB dalam membantu masyarakat di Negeri Kedah, di samping meneroka potensi kerjasama strategik melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melibatkan bidang sosial, pendidikan dan kesihatan.

Diharapkan potensi kerjasama antara kedua-dua pihak dapat memperkukuh usaha dalam menjayakan inisiatif kebajikan dan pembangunan komuniti demi kesejahteraan masyarakat setempat di negeri ini.