BDB JALIN KERJASAMA DENGAN BYTEDANCE MULAKAN INISIATIF PEMULIHARAAN HUTAN DI BAWAH PROGRAM FCC LANGKAWI

Bina Darulaman Berhad (BDB) bersama ByteDance System Sdn. Bhd. (TikTok Malaysia) memulakan inisiatif pemuliharaan hutan di bawah Program FCC melalui penanaman 300 anak pokok di Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang, Langkawi.

ByteDance menyumbang RM176,380.00 untuk projek penghutanan semula dan pemulihan ekosistem dalam komitmen dua tahun (2025-2026). Majlis ini disertai lebih 120 sukarelawan daripada komuniti setempat, pelajar, belia, NGO dan agensi kerajaan.

BDB turut merancang pembinaan ‘Canopy Walk’ sepanjang 205 meter untuk ekopelancongan pendidikan yang dijangka siap suku keempat 2025.

Inisiatif ini mencerminkan visi BDB yang mengintegrasikan pertumbuhan ekonomi dengan pemuliharaan alam semula jadi.

CORRUPTION RISK ASSESSMENT (CRA) WORKSHOP

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menganjurkan Corruption Risk Assessment (CRA) Workshop yang dikendalikan oleh Hatta Hash Consultancy pada 18 dan 19 Jun 2025 bertempat di BDB Glass Hall, Darulaman Park, Jitra.

Penyertaan barisan pengurusan kanan BDB dalam sesi ini membuktikan komitmen dari peringkat tertinggi (top-down commitment) dalam memperkukuh integriti, ketelusan dan tadbir urus korporat selaras dengan amalan terbaik industri.

Inisiatif berterusan daripada Unit Integriti dan Tadbir Urus BDB itu dilihat mampu meningkatkan lagi tata kelola dan juga tadbir urus bukan sahaja daripada pihak pengurusan tertinggi tetapi juga berterusan ke peringkat bawah.

SESI ‘TOWNHALL’ BDB INFRA

Pada 17 Jun 2025, BDB Infra telah mengadakan sesi townhall di Kuari Bukit Perak, Pendang, diketuai Pengurus Besar, Encik Zakba Shafie bersama Chief People Officer, Encik Mohd Taufik Abdullah.

 Sesi ini bertujuan menyampaikan hala tuju strategik dan operasi terkini syarikat serta pendekatan baharu ke arah kecekapan, produktiviti dan kos efektif. Turut dikongsi ialah perkembangan projek semasa dan akan datang.

Sesi turut membuka ruang soal jawab bagi mengukuhkan komunikasi dua hala antara pengurusan dan warga kerja ke arah kecemerlangan BDB Infra.

LAWATAN KE BAHAGIAN KESELAMATAN KEBAKARAN JABATAN BOMBA & PENYELAMAT MALAYSIA NEGERI KEDAH

Pada 16 Jun 2025, empat wakil Jawatankuasa Keselamatan Bina Darulaman Berhad (BDB) telah mengadakan lawatan dan pertemuan ke Bahagian Keselamatan Kebakaran (BKK) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Negeri Kedah

Pertemuan tersebut adalah untuk membincangkan mengenai keselamatan kebakaran di bangunan Menara BDB dan seterusnya untuk mendapatkan rujukan daripada pegawai JBPM Negeri Kedah berkaitan pembaharuan Perakuan Bomba Menara BDB pada bulan hadapan.

Diharapkan dengan lawatan tersebut dapat memberikan maklumat yang diperlukan bagi membolehkan proses pembaharuan Perakuan Bomba Menara BDB dapat berjalan dengan lancar.

BDB LAND SERTAI PAMERAN HARTANAH BERSEMPENA BENGKEL KECEMERLANGAN PENGURUSAN KEWANGAN DAN PENDIDIKAN, JABATAN KASTAM

Pasukan Jualan dan Pemasaran BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land) telah menyertai Pameran Hartanah bersempena Bengkel Kecemerlangan Pengurusan Kewangan dan Pendidikan, Jabatan Kastam pada 16 Jun 2025 di Alor Setar, Kedah.

Pada pameran tersebut, pelbagai produk perumahan BDB Land Sdn. Bhd. seperti Nada, Aluna dan Lyra di Perbandaran Bandar Darulaman, Jitra, Taman Azalea, Pendang dan juga produk terbaru di Perbandaran Darulaman Saujana Hosba, iaitu Lily dan Rafflesia telah diperkenalkan.

Pameran tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para peserta yang hadir pada bengkel tersebut dan diharapkan ia dapat membantu meningkatkan penjualan produk perumahan BDB Land dan juga Kedah Holdings Sdn. Bhd.

 

KUNJUNGAN HORMAT KE PEJABAT EXCO PELANCONGAN, KEBUDAYAAN & KEUSAHAWANAN KEDAH

Delegasi Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawan Kedah, YB. Dato’ Haji Mohd Salleh Saidin di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada 12 Jun 2025.

Delegasi Kumpulan BDB terdiri daripada Head of Government Liaison, Encik Aswat Abu Bakar, wakil Pejabat Ketua Pegawai Operasi Kumpulan BDB, Encik Safrizuan Saad serta wakil daripada BDB Leisure Sdn. Bhd. (BDB Leisure), Encik Muhammad Hanif Mohamad Ismail dan Cik Nur Hidayatul Hanini Abd Mutalib.

Dalam kunjungan tersebut, delegasi Kumpulan BDB telah membentangkan mengenai peranan BDB Leisure yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam pengurusan pelbagai kemudahan meliputi hiburan, aktiviti sukan, serta rekreasi dalam dan luaran di Darulaman Park, Jitra.

Turut dibincangkan ialah berkenaan cadangan penambahbaikan infrastruktur serta pelaksanaan program-program berimpak tinggi bersempena Tahun Melawat Kedah dan sebagai kesinambungan untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026.

KENDURI BDB 2025 SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menganjurkan Kenduri BDB 2025 sempena Hari Raya Aidiladha pada 10 Jun 2025 bertempat di Darulaman Suites, Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Jitra, Kedah.

Majlis yang dilaksanakan secara gotong-royong itu menyaksikan warga kerja Kumpulan BDB bersama-sama memotong daging dan juga barangan masakan seawal jam 8.30 pagi.

Majlis tersebut juga turut dihadiri oleh Pengerusi BDB, Sr. Haji Che Had Dhali, Pengarah Eksekutif BDB, YM Raja Shahreen Raja Othman, Pengurusan Kanan serta warga kerja Kumpulan BDB yang lain.

Pihak pengurusan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga kerja Kumpulan BDB yang bertungkus-lumus yang terlibat dalam menjayakan kenduri ini.

BDB PACU PENGEMBANGAN STRATEGIK DI WILAYAH UTARA MENERUSI PROJEK BERIMPAK TINGGI

Bina Darulaman Berhad (BDB) terus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju utama dalam menjana pertumbuhan mampan di Wilayah Utara melalui pelaksanaan beberapa projek strategik berimpak tinggi dalam sektor infrastruktur, pembangunan hartanah dan ekonomi perak.
Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, BDB akan terus memperkasa perniagaan teras dengan memberi penekanan terhadap kecekapan pengurusan sumber bagi meningkatkan pendapatan dan keuntungan syarikat.
Antara pencapaian utama termasuk pelancaran Fasa 1 Perbandaran Darulaman Saujana di Hosba bernilai RM74.02 juta, kemajuan Loji Rawatan Air Pelubang yang hampir siap, serta prestasi konsisten Darulaman Park dan Darulaman Golf & Country Club.
Projek strategik baharu, Aman Seterra Sanctuary, Langkawi merupakan sanctuary persaraan antarabangsa berinspirasikan Islam pertama di dunia turut diumumkan hasil kerjasama dengan RUKUN Senior Living (Indonesia) dan Well Aging Japan Association (WAJA).
BDB juga memperluaskan peluang perniagaan ke luar Kedah melalui perjanjian persefahaman bersama Mutiara Perlis untuk pembangunan Pelabuhan Sanglang Perlis serta projek pembangunan hartanah di Arau dan kemudahan industri di Pelabuhan Darat Perlis.
Raja Shahreen berkata demikian semasa Mesyuarat Agung Tahunan BDB ke-30 di Hotel Raia, Alor Setar yang turut dihadiri Pengerusi BDB, PMgr. Sr. Haji Che Had Dhali bersama Ahli-Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan Kumpulan BDB.

BDB GLASS HALL MENJADI TUAN RUMAH KEPADA PICNIC MANIS

BDB Glass Hall mendapat kepercayaan daripada Flour Crown dan Lamanis apabila dipilih untuk menjadi tuan rumah kepada penganjuran acara Picnic Manis terbesar di Kedah.

Berlangsung pada 31 Mei 2025, acara tersebut telah berjaya mengumpulkan lebih 100 penggemar kek bukan sahaja dari Kedah tetapi juga dari Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

BDB Leisure Sdn. Bhd. amat menghargai kepercayaan yang diberikan terutamanya oleh pihak Lamanis yang terus menjadikan Darulaman Park sebagai destinasi pilihan bagi setiap acara yang dianjurkannya di Daerah Kubang Pasu.

BDB LAND SERTAI HARI KARNIVAL BANK RAKYAT @ UUM

Pasukan Jualan dan Pemasaran BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land) telah menyertai Hari Karnival Bank Rakyat yang berlangsung pada 27 Mei 2025 di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.

Karnival tersebut berlangsung selama sehari dan menjadi platform terbaik untuk memperkenal dan mempromosi produk perumahan terbaru iaitu Lily, rumah teres setingkat dan juga Rafflesia, rumah kluster setingkat yang telah pun mula dijual di Perbandaran Darulaman Saujana, Hosba yang terletak hanya 20-kilometer daripada UUM.

Semoga dengan usaha yang dijalankan oleh Pasukan Jualan dan Pemasaran BDB Land itu dapat membuahkan hasil terutamanya dari kalangan tenaga pengajar dan kakitangan UUM.