PROGRAM SUMBANGAN BERBUKA PUASA KEPADA KAKITANGAN YANG BERTUGAS

Jabatan Sumber Manusia turut tidak melupakan kakitangan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) yang bertugas sehingga ke malam hari dengan memberi sumbangan juadah berbuka puasa di Tapak Projek Jalan Sungai Korok dan Jalan Panchur, Pokok Sena, Kedah pada 25 Mac 2025.

Sumbangan tersebut diserahkan kepada pasukan pembinaan jalan, BDB Construction & Maintenance Sdn. Bhd. dengan bertujuan untuk memudahkan urusan berbuka puasa serta dapat meningkatkan semangat warga kerja Kumpulan BDB tatkala sedang menjalankan tugas.

Tahniah diucapkan kepada Jabatan Sumber Manusia dan BDB Construction & Maintenance Sdn. Bhd.

PROGRAM SINGGAH SAHUR BDB INFRA 2025

Jabatan Sumber Manusia tidak melupakan warga kerja Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) yang sentiasa komited dalam menjalankan tugas terutamanya di bulan Ramadan.

Untuk itu, Chief of People, Encik Mohd Taufik Abdullah bersama pasukan Jabatan Sumber Manusia telah turun padang ke Tapak Projek Jalan Kuala Kedah pada 24 Mac 2025 bagi menjayakan program Singgah Sahur BDB Infra 2025.

Dalam program tersebut, juadah sahur disediakan dan diagihkan kepada pasukan pembinaan jalan, BDB Construction & Maintenance Sdn. Bhd. yang sedang menjalankan tugas sehingga waktu pagi hari.

Ini merupakan inisiatif syarikat dalam menghargai pengorbanan dan ketekunan meraka menjalankan tugas masing-masing demi untuk memberikan keselesaan kepada rakyat di Negeri Kedah.

ANGGOTA POLIS BANTUAN BDB LAND SDN. BHD. TERIMA SIJIL PENGHARGAAN BERSEMPENA SAMBUTAN HARI POLIS KE-218 NEGERI KEDAH

Bersempena sambutan Hari Polis ke-218 Negeri Kedah, dua anggota polis bantuan (AP) BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land) iaitu Sarjan AP BDB Land, Muhammad Khairul Izwan Zakaria dan Lans Korperal AP BDB Land, Azli Fitri Ahmad telah terpilih untuk menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Negeri Kedah.

Sijil penghargaan tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Negeri Kedah, DCP Adzli Abu Shah pada majlis yang berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Alor Setar.

Kedua-dua mereka terpilih di atas ketekunan dan kewibawaan dalam mempamerkan mutu perkhidmatan yang cemerlang serta dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh komited dan dedikasi.

Di samping itu juga, Azli Fitri juga telah berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan yang kurang baik sewaktu membuat rondaan berdasarkan laporan awam yang telah dibuat yang mana kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Tahniah diucapkan kepada kedua mereka. Semoga dengan penganugerahan sijil tersebut akan terus menjadi inspirasi dalam menjalankan tugas dengan lebih tekun dan cekap pada masa akan datang.

BDB AGIH JUADAH BERBUKA PUASA KEPADA BERNAMA

Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) telah mengadakan agihan juadah berbuka puasa kepada warga kerja Bernama di Wisma Bernama, Kuala Lumpur pada 21 Mac 2025.

Sumbangan juadah berbuka puasa ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada jasa para petugas media yang sentiasa berkhidmat tanpa mengira waktu termasuklah di bulan Ramadan.

Melalui inisiatif ini, Kumpulan BDB mengharapkan dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dengan rakan-rakan media yang sering memberi kerjasama dalam menyebarkan maklumat mengenai projek pembangunan dan pencapaian Kumpulan BDB kepada masyarakat.

Diharapkan dengan sumbangan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban para petugas Bernama yang bertugas mengejar liputan berita dalam keadaan berpuasa serta mengukuhkan lagi jalinan ukhuwah antara Kumpulan BDB dan Bernama selaku penyampai maklumat utama negara.

MAJLIS BERBUKA PUASA KUMPULAN BINA DARULAMAN BERHAD 2025 / 1446H

Bagi meraikan ketibaan bulan Ramadan dan juga warga kerja Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Majlis Berbuka Puasa Kumpulan BDB yang merupakan acara tahunan ini telah diadakan dengan penuh suasana penuh harmoni dan kesyukuran.

Majlis berkenaan telah telah berlangsung pada 20 Mac 2025 bertempat di Darulaman Golf & Country Club, Jitra dan telah dihadiri lebih 300 warga kerja Kumpulan BDB.

Majlis tersebut dimulakan dengan ucapan oleh Pengerusi BDB, Sr Haji Che Had Dhali dan seterusnya diikuti dengan penyerahan sumbangan Zakat Wakalah dan Fisabilillah yang berjumlah hampir RM48,000 kepada 59 warga kerja dan ahli keluarga yang layak sebagai tanda keprihatinan Kumpulan BDB sempena menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

Majlis turut diserikan dengan kehadirian Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, YM Raja Shahreen Raja Othman dan juga ahli-ahli Lembaga Pengarah BDB yang turut serta memberikan sokongan dan menyantuni warga kerja Kumpulan BDB.

Sesi tazkirah yang merupakan santapan rohani serta menambahkan keberkatan majlis turut diadakan dan disampaikan oleh Ustaz Mohd Rizal Zainon sebelum diteruskan dengan jamuan berbuka puasa, solat berjemaah Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih.

Terima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan majlis. Semoga majlis seumpama ini dapat terus memperkukuh ukhwah dalam kalangan warga kerja Kumpulan BDB dan diteruskan pada masa akan datang.

MOREY RUN RAMADAN

Seperti tahun-tahun sebelum ini, BDB Leisure Sdn. Bhd. (BDB Leisure) dan Jitra Runnaz bekerjasama menganjurkan Jitra Runnaz Morey Run yang merupakan acara larian yang diadakan pada waktu malam di bulan Ramadan.

Program larian tersebut diadakan sebanyak tiga kali sepanjang bulan Ramada iaitu pada 5, 12 dan 19 Mac 2025 di bermula di Darulaman Park dan di sekitar kawasan Perbandaran Bandar Darulaman.

Jitra Runnaz Morey Run ini juga adalah acara santai yang cukup istimewa terutamanya kepada mereka yang mementingkan penjagaan kesihatan termasuklah pada bulan Ramadan dan dalam masa yang sama dapat mengeratkan ukhuwah antara para peserta.

Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan mendapat lebih penyertaan daripada masyarakat setempat dan juga rakyat Negeri Kedah.

JELAJAH RAMADAN RTM 2025

Radio Televisyen Malaysia (RTM) atau Jabatan Penyiaran Malaysia telah memilih Darulaman Park, Jitra, Kedah sebagai lokasi bagi penganjuran Jelajah Ramadan RTM 2025 yang telah berlangsung pada 13 Mac 2025.

Pelbagai acara menarik telah berlangsung antaranya kehadiran barisan penceramah dan personaliti istimewa, edaran bubur lambuk, potluck santai dan tazkirah ringkas.

Di samping itu juga, para pengunjung turut dapat beramah mesra bersama 34 orang penyampai radio stesen RTM yang turut hadir memeriahkan Jelajah Ramadan RTM 2025 berkenaan.

MAJLIS IFTAR BDB BERSAMA MEDIA KEDAH

Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan telah menganjurkan majlis berbuka puasa bersama Kelab Media Elite Kedah (KMEK) yang berlangsung di Classic Cafe, Darulaman Golf & Country Club, Jitra Kedah.

Majlis yang dihadiri lebih 40 orang pengamal media ini merupakan sebagai tanda penghargaan atas kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh rakan-rakan media di Kedah, disamping mengeratkan lagi hubungan di antara kedua belah pihak.

Dalam majlis yang sama, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan BDB, Encik Fadzli Ramlan juga dapat bertemu bersama Ahli-Ahli Jawatankuasa penggal baharu KMEK bagi membincangkan peluang meluaskan hubungan kolaborasi bersama BDB untuk masa hadapan.

PEMBENTANGAN CADANGAN PEMBANGUNAN DI ARAU, PERLIS BERSAMA MBI PERLIS

 

Ketua Projek Perlis Bina Darulaman Berhad (BDB), Encik Shuhaimi Ismail bersama delegasi yang disertai oleh Encik Fauzi Mustapha dan Puan Khariah Ismail telah mengadakan pembentangan dan perbincangan bersama MBI Perlis pada 11 Mac 2025 di Kangar, Perlis.

Pembentangan itu adalah mengenai cadangan pembangunan bersama yang boleh dibangunkan antara BDB dan MBI Perlis di Arau, Perlis.

Hadir pada pembentangan tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif MBI Perlis, Tuan Haji Zulkafli Ahmad dan juga Penolong Pengurus Pembangunan Hartanah, Encik Ahmad Hishamudin Johari.

Pembentangan tersebut diterima baik oleh pihak MBI Perlis dan perbincangan seterusnya akan diadakan bagi membolehkan kerjasama berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang.

SKUAD JOM RONDA X MAGGI DI TASIK DARULAMAN

Darulaman Park, Jitra, Kedah terpilih sebagai salah satu destinasi pilihan bagi Skuad Jom Ronda x Maggi untuk hadir mengedarkan Bubur Lambuk Maggi serta menjalankan aktiviti bersama para pengunjung yang hadir.

Dalam program tersebut juga, skuad Jom Ronda x Maggi turut memberikan sampel kepada para pengunjung yang bertuah pada hari berkenaan.

Sambutan dan kerjasama yang diberikan oleh para pengunjung juga turut memuaskan.

Terima kasih diucapkan buat Skuad Jom Ronda x Maggi.