LANGKAWI – Tarikan baharu berkonsepkan ekopelancongan pendidikan akan dibangunkan di Darulaman Sanctuary sebagai sebahagian usaha jangka panjang pemuliharaan hutan di kawasan berkenaan.
Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Raja Shahreen Raja Othman berkata, antara komponen utama projek berkenaan adalah pembinaan ‘Canopy Walk’ sepanjang 205 meter yang akan dilaksanakan dalam dua fasa.
Menurutnya, pembangunan fasa pertama dijangka siap menjelang suku keempat tahun ini.
“Canopy Walk bukan sahaja dijangka menjadi tarikan baharu pencinta alam semula jadi dan pelancong, malah berperanan penting menyokong aktiviti pemuliharaan hutan secara berterusan,” katanya.
Raja Shahreen berkata, kawasan khas untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan juga akan dibangunkan bagi memberi ruang kepada pelajar dan penyelidik menjalankan kajian berkaitan biodiversiti unik di kawasan tersebut.
“BDB telah memulakan perbincangan dengan beberapa universiti awam bagi mendapatkan kerjasama dalam menjayakan inisiatif ini,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif tersebut mencerminkan aspirasi BDB sebagai pemaju bertanggungjawab yang mengintegrasikan pertumbuhan ekonomi dengan pemuliharaan alam semula jadi.
“Kami harap lebih ramai pihak turut serta dalam usaha melindungi hutan dan menyokong pendekatan pembangunan lebih holistik dan lestari demi kelestarian hutan di Malaysia,” ujar beliau.
Raja Shahreen berkata demikian sempena program penanaman 300 anak pokok di Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang, di sini.
Inisiatif pemuliharaan hutan dan biodiversiti di bawah program FCC itu dilaksanakan dengan kerjasama BDB dan Bytedance System Sdn Bhd (TikTok Malaysia).
ByteDance menyumbang dana sebanyak RM176,380 bagi menyokong projek penghutanan semula dan pemulihan ekosistem melalui komitmen selama dua tahun bermula tahun ini.
Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan BDB, Mohd Nasir Ismail bersama Pengarah BDB Greentech Sdn Bhd, Azlan Jamil mengetuai majlis penanaman pokok yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MFF, Datuk Shah Redza Hussein.
Ia turut disertai lebih 120 sukarelawan terdiri daripada komuniti setempat, pelajar sekolah, belia, badan bukan kerajaan serta agensi kerajaan.
Sebanyak 300 anak pokok hutan tropika terdiri daripada sembilan spesies ditanam termasuk merbau, merawan, kelat paya, resak, penaga, keriang dot, sentul dan buah koetjaperist.
Program tersebut turut dibantu Jabatan Perhutanan Kedah yang bertindak sebagai rakan kongsi teknikal.
Menurut Raja Shahreen lagi, inisiatif tersebut merupakan langkah signifikan dalam usaha pemuliharaan alam semula jadi oleh sektor korporat.
“BDB akan terus komited memenuhi keperluan Protokol FCC, kerana penanaman pokok merupakan salah satu komponen utama yang menjadi penanda aras dalam usaha konservasi.
“Inisiatif ini dijangka beri impak positif jangka panjang bukan sahaja kepada ekosistem tempatan, malah menyumbang kepada kesejahteraan alam semula jadi global dan agenda kelestarian negara,” ujarnya.
Tambah beliau, sebagai syarikat infrastruktur pilihan di Wilayah Utara, BDB percaya pembangunan dan pemuliharaan alam semula jadi harus bergerak seiring dan seimbang.
Sementara itu, Azlan dalam ucapannya menegaskan, setiap usaha dan pokok yang ditanam adalah demi manfaat masa depan.
“Apa yang dilaksanakan hari ini bukan untuk kepentingan kita, tetapi untuk generasi akan datang,” katanya.