BDB KPI WORKSHOP & CHALLENGE SESSION 2025

BDB KPI Workshop & Challenge Session 2025 telah berlangsung pada 8 dan 9 Disember 2025 di BDB Glass Hall, Darulaman Park, Jitra. Program ini disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Encik Che Abdul Khalid Md Din bersama 83 anggota pengurusan dari seluruh Kumpulan BDB.

Penganjuran bengkel ini bertujuan memastikan setiap Unit Perniagaan Strategik dan Jabatan menetapkan Bidang Hasil Utama (KRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang lebih jelas dan selaras dengan peranan masing-masing. Pendekatan tersebut penting untuk mengukuhkan budaya akauntabiliti, pemilikan tugasan dan penyampaian hasil kerja secara berkesan.

Melalui sesi perbincangan dan challenge session, KRA dan KPI yang dibentangkan telah diperhalusi bagi memastikan ia bersifat realistik, jelas dan menyokong keperluan operasi serta hala tuju strategik Kumpulan BDB.

Secara keseluruhannya, bengkel ini berperanan memperkukuh pemantauan prestasi organisasi, selain memastikan sasaran Pelan Perniagaan 2026 dapat dipantau dengan lebih sistematik dan pelaksanaan Belanjawan 2026 Kumpulan BDB dapat dicapai secara konsisten serta teratur.

 

SEDEKAD BDB MASTERS: TERUS MENDOMINASI KEJOHANAN GOLF AMATUR DI WILAYAH UTARA

Kejohanan BDB Masters 2025 menutup tirai edisi ke-10 dengan penyertaan lebih 150 pemain di Darulaman Golf & Country Club (DGCC), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai kejohanan golf amatur utama di Wilayah Utara.

Sedekad kejohanan golf di bawah jenama BDB Masters ini menjadikan ia antara acara paling dinantikan, malah kejohanan ini sememangnya jenama penting dalam memperkukuh imej korporat Kumpulan BDB.

Lima kategori dipertandingkan dengan tawaran hadiah termasuk dua kereta bagi pukulan Hole in One. Turut hadir ialah Pengerusi BDB, Pmgr. Sr. Che Had Dhali, Pengerusi BDB Darulaman Golf Resort Berhad, Dato’ Haji Abdul Rahman Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Che Abdul Khalid Md Din.

Tahniah kepada Kall Danish yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan catatan 220 pukulan. Terima kasih kepada semua peserta dan jumpa lagi pada BDB Masters tahun hadapan!

 

DARULAMAN SANCTUARY PERKUKUH PERANAN MASYARAKAT DALAM PEMULIHARAAN HUTAN

Darulaman Sanctuary Sdn. Bhd., anak syarikat penuh Bina Darulaman Berhad (BDB), terus memperkukuh penglibatan masyarakat dalam pemuliharaan hutan melalui program komuniti dan penanaman pokok sempena Mini Temasya di Darulaman Sanctuary pada 29 November 2025 di Lubuk Semilang, Langkawi.

Program ini menampilkan pelbagai aktiviti berteraskan warisan, seni dan pendidikan alam sekitar, termasuk pameran keris, pameran Busana Melayu Tradisional, Nature & Art Harmony, aktiviti Survival Kids Adventure, demonstrasi pemakaian sampin, pasar seni dan makanan komuniti, serta persembahan muzik dan silat.

Sebanyak 400 pokok baharu turut ditanam, menjadikan 700 pokok ditanam sejak Jun lalu, selaras dengan sasaran jangka panjang untuk mencapai 2,000 pokok.

BDB komited meneruskan usaha pemuliharaan alam sekitar melalui kerjasama strategik bersama komuniti, industri dan agensi kerajaan demi manfaat generasi akan datang.

SESI PERBINCANGAN BERSAMA TIMBALAN SETIAUSAHA KERAJAAN (PENGURUSAN) NEGERI KEDAH SERTA PEGAWAI DAERAH PENDANG

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah mengadakan sesi perbincangan bersama Y.Bhg. Dato’ Dr. Nadzman Bin Mustaffa, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman, serta Encik Nasrun bin Dato’ Mohd Sheriff, Pegawai Daerah Pendang, di Pejabat Daerah dan Tanah Pendang.

Delegasi BDB diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Che Abdul Khalid Md Din, bersama barisan pengurusan syarikat.

Sesi ini memberi ruang untuk berkongsi pandangan dan meneroka peluang kerjasama yang dapat menyokong agenda pembangunan negeri serta mengukuhkan hubungan kerja antara BDB, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

KUNJUNGAN HORMAT DELIGASI BDB KEPADA DATUK BANDAR ALOR SETAR

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah mengadakan sesi perbincangan bersama Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya, Datuk Bandar Alor Setar, bertempat di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Delegasi BDB diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Che Abdul Khalid Md Din, bersama barisan pengurusan syarikat. Sesi ini memberi ruang untuk membincangkan peranan BDB dalam menyokong inisiatif pembangunan bandar serta kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

BDB komited untuk terus bekerjasama dengan MBAS dalam usaha memperkukuh pembangunan dan kesejahteraan komuniti setempat.

PERBINCANGAN BERSAMA BAHAGIAN PERANCANG EKONOMI NEGERI KEDAH (BPEN)

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah mengadakan sesi perbincangan bersama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah (BPEN) pada 18 November 2025 bertempat di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Delegasi BDB diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Che Abdul Khalid Md Din bersama barisan pengurusan syarikat. Sesi ini turut dihadiri oleh Pengarah BPEN, Encik Junaidi Abdul Rani.

Pertemuan ini memberi ruang untuk membincangkan peranan BDB dalam menyokong agenda pembangunan negeri selaras dengan perancangan BPEN.

KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA MIDA KEDAH / PERLIS, AURELIUS HOSPITAL ALOR SETAR & SURUHANJAYA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA NEGERI KEDAH

BDB menyambut kunjungan hormat daripada wakil agensi di Menara BDB, Alor Setar pada 16 November 2026. Kehadiran mereka disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Che Abdul Khalid Md Din, bersama Chief People Officer, Encik Mohd Taufik Abdullah:
• Puan Nazlizan Abdullah, Pengarah MIDA Kedah/Perlis – membincangkan peluang pelaburan dan kerjasama strategik di Negeri Kedah;
• Dr. Ahmad Syamir Abdullah, CEO Aurelius Hospital Alor Setar – meneroka kerjasama dalam sektor kesihatan dan perkhidmatan komuniti;
• Encik Zairulnahar Zakaria, Pengarah MCMC Negeri Kedah – meninjau peluang pendigitalan dan pembangunan ekosistem digital di negeri ini.
Sesi ini menjadi platform penting bagi BDB dan agensi berkaitan untuk bertukar pandangan, memperkukuh jaringan strategik, dan menyokong pembangunan mampan demi manfaat rakyat Kedah.

PERTEMUAN KHAS BERSAMA KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF PERBADANAN KEMAJUAN NEGERI KEDAH (PKNK)

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menghadiri pertemuan khas bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Dato’ Wira Haji Isahak Murat, di Wisma PKNK, Alor Setar.

Delegasi BDB diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Che Abdul Khalid Md Din, bersama barisan pengurusan kanan syarikat. Pertemuan ini memberi ruang membincangkan pencapaian semasa dan hala tuju strategik bagi memperkukuh prestasi kumpulan di bawah PKNK.

Kredit gambar: Facebook Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK)

KUNJUNGAN HORMAT BDB KEPADA YAB DATO’ SERI MENTERI BESAR KEDAH

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah mengadakan kunjungan hormat kepada YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah, bertempat di Wisma Darul Aman.

Delegasi BDB diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Che Abdul Khalid Md Din. Turut serta, Ketua Pegawai Kewangan, Encik Mohd Nasir Ismail serta Company Secretary & Head of Legal BDB, Puan Khairulmuna Abd Ghani.

Kunjungan ini bertujuan mengeratkan hubungan kerja antara Kerajaan Negeri dan Kumpulan BDB serta membincangkan pelbagai inisiatif kerjasama dan pembangunan strategik secara menyeluruh.

BDB SAHUT CABARAN KEJOHANAN E-SPORT CEO PKNK

Bina Darulaman Berhad (BDB) turut memeriahkan suasana sempena sambutan 60 Tahun Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dengan menyertai Kejohanan E-Sport CEO PKNK 2025 yang berlangsung meriah di Ukir Mall, Alor Setar pada 30 Oktober lalu.

Dalam kejohanan ini, BDB menghantar satu pasukan bagi kategori Mobile Legends dan enam pemain individu untuk kategori FC26 sekaligus membuktikan semangat juang warga BDB bukan hanya di lapangan kerja, tapi juga di medan maya.

Walaupun pasukan Mobile Legends BDB terpaksa akur di peringkat kumpulan, dua wakil FC26 menunjukkan taring apabila mara ke pusingan kedua, menempatkan diri antara empat terbaik dalam kumpulan masing-masing dengan aksi dan kelincahan permainan mereka yang mencuri tumpuan.

Sayangnya, perjuangan mereka terhenti di pusingan kedua selepas bertemu lawan hebat. Namun semangat juang dan keberanian mereka tetap wajar dipuji.

Tahniah kepada semua wakil BDB yang tampil penuh semangat, membuktikan bahawa semangat kompetitif warga BDB tak pernah luntur sama ada di padang sebenar atau di arena digital.