NIGHT LEBA-RUN @ DARULAMAN PARK

Bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Jitra Runnaz dengan kerjasama BDB Leisure Sdn. Bhd. menganjurkan acara larian Night Leba-Run yang berlangsung di Darulaman Park, Jitra pada 16 April 2025.

Lebih 30 orang peserta menyertai larian santai tersebut yang diadakan bertujuan untuk merapatkan hubungan dan dalam masa yang sama menyihatkan badan selepas menyambut hari raya sebelum ini.

Semoga dengan penganjuran acara seperti ini dapat menghidupkan lagi aktiviti sukan pada waktu malam di Darulaman Park dan dalam masa yang sama mempromosikan gaya hidup sihat di Perbandaran Bandar Darulaman.

MAJLIS BERBUKA PUASA YB SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI KEDAH BERSAMA PEGAWAI TADBIR NEGERI KEDAH

BDB Glass Hall, Darulaman Park, Jitra, Kedah bertuah apabila menjadi lokasi pilihan bagi penganjuran Majlis Berbuka Puasa YB Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Haji Norizan Khazali Bersama Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS) pada 26 Mac 2025.

Majlis tersebut diadakan bagi menghargai komitemen yang telah dipamerkan oleh semua pegawai KCS di semua peringkat bahagian, jabatan, daerah mahupun negeri.

Ia adalah kerana sepanjang tahun 2025 terutamanya di dalam bulan Ramadan, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan dan ini dapat dilihat banyak peranan serta komitmen yang telah diberikan oleh semua pegawai KCS.

Banyak program yang diatur telah mendapat kerjasama yang amat baik daripada pihak KCS dan ini menunjukkan bahawa Pegawai Tadbir atau Pegawai Kanan Kerajaan Negeri sentiasa memikul tugas dan peranan tidak kira waktu dan masa. Ini adalah satu kebanggaan kepada semua di atas usaha semua.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Kedah, Dato’ Muhammad Arof Darus; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Dr. Nadzman Mustaffa; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Dato’ Abd Ghani @ Zulkifli Zainudin dan Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang telah memilih BDB Glass Hall sebagai lokasi penganjuran majlis berkenaan.

Kredit foto : FB Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah

 

PROGRAM SUMBANGAN BERBUKA PUASA KEPADA KAKITANGAN YANG BERTUGAS

Jabatan Sumber Manusia turut tidak melupakan kakitangan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) yang bertugas sehingga ke malam hari dengan memberi sumbangan juadah berbuka puasa di Tapak Projek Jalan Sungai Korok dan Jalan Panchur, Pokok Sena, Kedah pada 25 Mac 2025.

Sumbangan tersebut diserahkan kepada pasukan pembinaan jalan, BDB Construction & Maintenance Sdn. Bhd. dengan bertujuan untuk memudahkan urusan berbuka puasa serta dapat meningkatkan semangat warga kerja Kumpulan BDB tatkala sedang menjalankan tugas.

Tahniah diucapkan kepada Jabatan Sumber Manusia dan BDB Construction & Maintenance Sdn. Bhd.

PROGRAM SINGGAH SAHUR BDB INFRA 2025

Jabatan Sumber Manusia tidak melupakan warga kerja Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) yang sentiasa komited dalam menjalankan tugas terutamanya di bulan Ramadan.

Untuk itu, Chief of People, Encik Mohd Taufik Abdullah bersama pasukan Jabatan Sumber Manusia telah turun padang ke Tapak Projek Jalan Kuala Kedah pada 24 Mac 2025 bagi menjayakan program Singgah Sahur BDB Infra 2025.

Dalam program tersebut, juadah sahur disediakan dan diagihkan kepada pasukan pembinaan jalan, BDB Construction & Maintenance Sdn. Bhd. yang sedang menjalankan tugas sehingga waktu pagi hari.

Ini merupakan inisiatif syarikat dalam menghargai pengorbanan dan ketekunan meraka menjalankan tugas masing-masing demi untuk memberikan keselesaan kepada rakyat di Negeri Kedah.

ANGGOTA POLIS BANTUAN BDB LAND SDN. BHD. TERIMA SIJIL PENGHARGAAN BERSEMPENA SAMBUTAN HARI POLIS KE-218 NEGERI KEDAH

Bersempena sambutan Hari Polis ke-218 Negeri Kedah, dua anggota polis bantuan (AP) BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land) iaitu Sarjan AP BDB Land, Muhammad Khairul Izwan Zakaria dan Lans Korperal AP BDB Land, Azli Fitri Ahmad telah terpilih untuk menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Negeri Kedah.

Sijil penghargaan tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Negeri Kedah, DCP Adzli Abu Shah pada majlis yang berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Alor Setar.

Kedua-dua mereka terpilih di atas ketekunan dan kewibawaan dalam mempamerkan mutu perkhidmatan yang cemerlang serta dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh komited dan dedikasi.

Di samping itu juga, Azli Fitri juga telah berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan yang kurang baik sewaktu membuat rondaan berdasarkan laporan awam yang telah dibuat yang mana kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Tahniah diucapkan kepada kedua mereka. Semoga dengan penganugerahan sijil tersebut akan terus menjadi inspirasi dalam menjalankan tugas dengan lebih tekun dan cekap pada masa akan datang.

BDB AGIH JUADAH BERBUKA PUASA KEPADA BERNAMA

Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) telah mengadakan agihan juadah berbuka puasa kepada warga kerja Bernama di Wisma Bernama, Kuala Lumpur pada 21 Mac 2025.

Sumbangan juadah berbuka puasa ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada jasa para petugas media yang sentiasa berkhidmat tanpa mengira waktu termasuklah di bulan Ramadan.

Melalui inisiatif ini, Kumpulan BDB mengharapkan dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dengan rakan-rakan media yang sering memberi kerjasama dalam menyebarkan maklumat mengenai projek pembangunan dan pencapaian Kumpulan BDB kepada masyarakat.

Diharapkan dengan sumbangan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban para petugas Bernama yang bertugas mengejar liputan berita dalam keadaan berpuasa serta mengukuhkan lagi jalinan ukhuwah antara Kumpulan BDB dan Bernama selaku penyampai maklumat utama negara.

MAJLIS BERBUKA PUASA KUMPULAN BINA DARULAMAN BERHAD 2025 / 1446H

Bagi meraikan ketibaan bulan Ramadan dan juga warga kerja Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Majlis Berbuka Puasa Kumpulan BDB yang merupakan acara tahunan ini telah diadakan dengan penuh suasana penuh harmoni dan kesyukuran.

Majlis berkenaan telah telah berlangsung pada 20 Mac 2025 bertempat di Darulaman Golf & Country Club, Jitra dan telah dihadiri lebih 300 warga kerja Kumpulan BDB.

Majlis tersebut dimulakan dengan ucapan oleh Pengerusi BDB, Sr Haji Che Had Dhali dan seterusnya diikuti dengan penyerahan sumbangan Zakat Wakalah dan Fisabilillah yang berjumlah hampir RM48,000 kepada 59 warga kerja dan ahli keluarga yang layak sebagai tanda keprihatinan Kumpulan BDB sempena menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

Majlis turut diserikan dengan kehadirian Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, YM Raja Shahreen Raja Othman dan juga ahli-ahli Lembaga Pengarah BDB yang turut serta memberikan sokongan dan menyantuni warga kerja Kumpulan BDB.

Sesi tazkirah yang merupakan santapan rohani serta menambahkan keberkatan majlis turut diadakan dan disampaikan oleh Ustaz Mohd Rizal Zainon sebelum diteruskan dengan jamuan berbuka puasa, solat berjemaah Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih.

Terima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan majlis. Semoga majlis seumpama ini dapat terus memperkukuh ukhwah dalam kalangan warga kerja Kumpulan BDB dan diteruskan pada masa akan datang.

MOREY RUN RAMADAN

Seperti tahun-tahun sebelum ini, BDB Leisure Sdn. Bhd. (BDB Leisure) dan Jitra Runnaz bekerjasama menganjurkan Jitra Runnaz Morey Run yang merupakan acara larian yang diadakan pada waktu malam di bulan Ramadan.

Program larian tersebut diadakan sebanyak tiga kali sepanjang bulan Ramada iaitu pada 5, 12 dan 19 Mac 2025 di bermula di Darulaman Park dan di sekitar kawasan Perbandaran Bandar Darulaman.

Jitra Runnaz Morey Run ini juga adalah acara santai yang cukup istimewa terutamanya kepada mereka yang mementingkan penjagaan kesihatan termasuklah pada bulan Ramadan dan dalam masa yang sama dapat mengeratkan ukhuwah antara para peserta.

Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan mendapat lebih penyertaan daripada masyarakat setempat dan juga rakyat Negeri Kedah.

JELAJAH RAMADAN RTM 2025

Radio Televisyen Malaysia (RTM) atau Jabatan Penyiaran Malaysia telah memilih Darulaman Park, Jitra, Kedah sebagai lokasi bagi penganjuran Jelajah Ramadan RTM 2025 yang telah berlangsung pada 13 Mac 2025.

Pelbagai acara menarik telah berlangsung antaranya kehadiran barisan penceramah dan personaliti istimewa, edaran bubur lambuk, potluck santai dan tazkirah ringkas.

Di samping itu juga, para pengunjung turut dapat beramah mesra bersama 34 orang penyampai radio stesen RTM yang turut hadir memeriahkan Jelajah Ramadan RTM 2025 berkenaan.

MAJLIS IFTAR BDB BERSAMA MEDIA KEDAH

Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan telah menganjurkan majlis berbuka puasa bersama Kelab Media Elite Kedah (KMEK) yang berlangsung di Classic Cafe, Darulaman Golf & Country Club, Jitra Kedah.

Majlis yang dihadiri lebih 40 orang pengamal media ini merupakan sebagai tanda penghargaan atas kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh rakan-rakan media di Kedah, disamping mengeratkan lagi hubungan di antara kedua belah pihak.

Dalam majlis yang sama, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan BDB, Encik Fadzli Ramlan juga dapat bertemu bersama Ahli-Ahli Jawatankuasa penggal baharu KMEK bagi membincangkan peluang meluaskan hubungan kolaborasi bersama BDB untuk masa hadapan.