KUNJUNGAN HORMAT KE UNIT PERUNDANGAN & TADBIR URUS MADA

Bagi tahun 2025, Jabatan Company Secretarial & Legal Bina Darulaman Berhad (BDB) berhasrat untuk menjalinkan serta mengembangkan hubungan strategik di dalam bidang perundangan bersama agensi kerajaan, syarikat atau firma guaman di Negeri Kedah.

Untuk tujuan itu, delegasi daripada Jabatan Company Secretarial & Legal terdiri daripada Puan Noor Shakinah Samian dan Cik Noor Farzana Ahmad Zamri telah mengadakan kunjungan hormat ke Unit Perundangan & Tadbir Urus Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada 20 Februari 2025.

Kedatangan mereka disambut oleh Ketua Unit Perundangan & Tadbir Urus MADA, Puan Siti Noor Mardiana Shahrom.

Dalam pertemuan tersebut, delegasi daripada BDB mengucapkan ucapan tahniah di atas penubuhan Unit Perundangan & Tadbir Urus MADA yang baru diwujudkan pada Mei 2024.

Di samping itu juga, kedua-dua pihak membincangkan mengenai kerjasama strategik yang boleh dilaksanakan bersama serta berkongsi pandangan dan juga pengetahuan terutamanya melibatkan bidang perundangan pada masa akan datang.

BDB SERTAI KARNIVAL TVET POLICC 2025

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menyertai Reruai Karnival TVET POLICC 2025 yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi pada 14 hingga 16 Februari 2025 yang lalu.

Penyertaan BDB pada karnival tersebut adalah bagi bersama-sama  menjalin kerjasama strategik di antara pihak industri dan agensi dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Dalam masa yang sama, pihak Politeknik Sultanah Bahiyah (PSB), Kulim, Kedah telah menjemput BDB untuk menjalinkan kolaborasi strategik dalam agenda pemerkasaan TVET bagi bidang kejuruteraan awam.

Untuk tujuan itu, Chief People Officer, Encik Mohd Taufik Abdullah telah mewakili BDB untuk menerima surat hasrat bersempena karnival tersebut yang telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Di samping itu juga, Mohd Taufik turut diberi kesempatan menjadi tetamu khas untuk program podcast bersempena karnival berkenaan yang bersiaran secara langsung yang membincangkan mengenai peranan yang boleh dimainkan BDB dalam bidang TVET.

MUTIARA PERLIS SDN BHD (MUTIARA PERLIS) DAN BINA DARULAMAN BERHAD (BDB) MEMETERAI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) BAGI PEMBANGUNAN KEMUDAHAN MARITIM STRATEGIK DI UTARA MALAYSIA

Mutiara Perlis, pemilik-pemaju Perlis Sanglang Port (PSP), bersama Bina Darulaman Berhad (BDB) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) yang melambangkan kerjasama strategik dalam pembangunan kemudahan maritim mampan di wilayah utara Malaysia.

Langkah ini menjadi tonggak penting ke arah usaha bersama untuk meningkatkan kecekapan logistik dan memperkukuh hubungan ekonomi di kawasan tersebut.

MOU ini ditandatangani oleh YM Raja Shahreen Raja Othman, Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, dan Encik Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad, Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis.

MOU ini memfokuskan kepada pembinaan tiga (3) kemudahan utama di PSP, iaitu:

• Pangkalan Bekalan Langkawi untuk perkhidmatan kapal RORO antara Langkawi dan tanah besar.

• Pangkalan Bekalan Langkasuka untuk menyokong operasi medan minyak dan gas di rantau ini.

• Terminal Kargo Pukal untuk produk kering dan cecair.

MAJLIS BERSAMA PENDUDUK TAMAN AMAN PERDANA, SERDANG

Bina Darulaman Berhad (BDB) bersama BDB Kedah Holdings Sdn. Bhd. dan Majlis Daerah Bandar Baharu telah menganjurkan Majlis Bersama Penduduk Taman Aman Perdana, Serdang yang dirasmikan oleh YB TS. Dr. Mohd Suffian Yusoff, ADUN Bandar Baharu.

Majlis ini turut menyaksikan seramai 119 orang pembeli Taman Aman Perdana menerima kunci sebaik sahaja projek ini berjaya memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Majlis turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Bandar Baharu merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Bandar Baharu, Encik Mohd Noor Bin Ismail serta barisan Pengurusan Kanan BDB dan Kedah Holdings Sdn. Bhd.

Penawaran projek perumahan yang mampu dimiliki seperti Taman Aman Perdana ini merupakan antara manifestasi komitmen Kerajaan Negeri Kedah dalam merealisasikan Pelan Pembangunan Kedah 2035 (Kedah2035) dan The Greater Kedah yang menyasarkan pembinaan 15,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 15 tahun.

TEA-TALK SESSION BDB LAND BERSAMA EJEN HARTANAH DAN PIHAK BANK

 

BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land) telah menganjurkan satu acara khas iaitu Tea-Talk Session bersama para ejen hartanah dan juga pihak bank di Negeri Kedah pada 23 Januari 2025 di Dewan Bunga Raya, Darulaman Golf & Country Club, Jitra, Kedah.

Sesi tersebut dikendalikan oleh Ketua Pemasaran dan Jualan BDB Land, Puan Wan Nur Irnieyza Diana Wan Zahari di mana beliau memperkenalkan produk-produk perumahan yang ditawarkan oleh BDB Land sepanjang tahun ini.

Beliau turut memberikan pemakluman berkenaan projek yang kini sedang dibangunkan bagi membolehkan maklumat awal diberikan terlebih dahulu sebelum ia siap sepenuhnya kelak.

Dalam masa yang sama, sesi berkenaan juga merupakan platform untuk terus ⁠memperkukuh hubungan yang telah terjalin dengan lebih erat di antara BDB Land dan juga ejen hartanah serta pihak bank.

 

HUBUNGAN STRATEGIK DAN KOLABORATIF ANTARA BDB INFRA DAN JKR DAERAH KUALA MUDA

BDB Infra Sdn. Bhd. (BDB Infra) telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Muda. Ini merupakan salah satu usaha dalam mengukuhkan hubungan strategik dan kolaboratif antara kedua-dua organisasi.

Pertemuan ini bertujuan untuk membina kefahaman yang lebih mendalam dan mengeratkan kerjasama dalam konteks pembangunan infrastruktur di Negeri Kedah.

Delegasi BDB Infra diketuai oleh Encik Samshul Anor Ahmad, turut disertai oleh Encik Ahmad Nazri Md Daud, Encik Khalil Karia serta rakan sepasukan dari Kulim Kedah Premix Plant; Encik Aizat, Encik Yamin, dan Encik Fairus. Turut hadir, Jurutera Daerah JKR Daerah Kuala Muda; Mohamad Azmi Yaakob.

Kunjungan hormat ini merupakan komitmen BDB untuk mengembangkan hubungan professional dengan agensi kerajaan tempatan.

Menerusi pertemuan ini juga, kedua-dua pihak berpeluang untuk berbincang strategi pembangunan infrastruktur yang lebih efisien dan bersepadu, seterusnya menyumbang kepada kemajuan Daerah Kuala Muda.

 

SESI LIBAT URUS SUMBER MANUSIA MENGENAI KEMASKINI KOD ETIKA & TATAKELAKUAN

Pada 16 Januari 2025, Jabatan Sumber Manusia telah mengadakan sesi libat urus mengenai kemaskini kod etika dan tatakelakuan di Centre of Learning, Menara BDB, Alor Setar, Kedah.

Sesi tersebut melibatkan penyertaan C-Suites, ketua-ketua anak syarikat dan juga ketua jabatan Kumpulan BDB dan bertujuan untuk memberikan maklumat terbaru mengenai urusan dan hal ehwal sumber manusia serta meningkatkan kesedaran berhubung kod etika dan tatakelakuan Kumpulan BDB.

160 PEMAIN AMATUR BERAKSI DI KEJOHANAN BDB MASTERS & CHARITY GOLF 2024

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menganjurkan Kejohanan BDB Masters & Charity Golf 2024 yang berlangsung selama tiga hari di Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Kedah. Kejohanan ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 160 pemain golf amatur dari seluruh tanah air dengan 90 peratus peserta adalah dari luar Kedah.

Pada asalnya, kejohanan ini dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 8 Disember 2024 namun telah ditangguhkan ke 3 hingga 5 Januari 2025 berikutan bencana banjir yang melanda kawasan Jitra dan sekitarnya.

Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, YM Raja Shahreen Raja Othman. Turut hadir adalah Pengerusi BDB Darulaman Golf Resort Berhad, YBhg. Dato’ Haji Abdul Rahman Abdullah serta barisan pengurusan kanan Kumpulan BDB.

Muhammad Farez Mohd Azihan telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan catatan 214 pukulan, menewaskan Nor Haqeim Nor Hadi dan Shakiran Johari yang mencatatkan 217 pukulan. Kejohanan ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000 dan hadiah istimewa “Hole In One” berupa dua buah kereta Proton (X50 dan S70) bernilai lebih RM180,000.

Turut berlangsung merupakan perlawanan amal “Charity Golf 2024”, menyaksikan kutipan sumbangan bernilai RM10,000 diberikan kepada 10 buah sekolah terpilih di Kedah.

BINA DARULAMAN BERHAD CATAT PRESTASI KEWANGAN TERBAIK UNTUK TAHUN KEWANGAN 2023

Bina Darulaman Berhad (BDB) mempamerkan prestasi yang cemerlang bagi tahun kewangan 2023 dengan mencatatkan pendapatan sebanyak RM313.1 juta yang mana ia merupakan yang tertinggi sejak tahun 2016.
Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, pencapaian tersebut turut menyaksikan BDB mencatatkan pendapatan melebihi RM300 juta buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun serta menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 35.3% berbanding RM231.4 juta pada tahun kewangan 2022.
Menurut beliau, segmen Kejuruteraan, Pembinaan & Kuari merupakan penyumbang utama kepada peningkatan tersebut selepas mendapat manfaat penuh daripada pemulihan daripada pandemik sebelum ini di mana anak syarikat milik penuh, BDB Infra Sdn. Bhd. telah memperoleh kontrak penyelenggaraan jalan negeri bernilai RM204 juta daripada Kerajaan Kedah serta kontrak RM34.1 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk sistem pengairan tertier di Kedah.
“Manakala dalam segmen hartanah pula menyaksikan pelancaran lima projek pembangunan di Bandar Darulaman, Jitra, Darulaman Saujana di Hosba, dan Aman Nusa, serta pembukaan semula Darulaman Sanctuary yang mana kedua-duanya di Langkawi.
“Dalam tempoh tersebut, Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) meningkat sebanyak 61.1% kepada RM14.5 juta, dipacu oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada operasi di Kuari Bukit Perak, Pendang dan Kuari Gemi Puncak, Langkawi serta sumbangan daripada projek usaha sama di Kubang Pasu dan Sungai Petani.
“Walaupun margin Untung Kasar menunjukkan jumlah yang lebih rendah iaitu 17.1% berbanding 20.8% pada tahun sebelumnya yang disebabkan oleh beberapa faktor seperti kenaikan kos bahan, kekurangan tenaga kerja, dan dasar baru gaji mininum namun begitu Keuntungan Selepas Cukai (PAT) meningkat sebanyak 121.4% kepada RM12.4 juta,” katanya.
Raja Shahreen berkata demikian pada sidang media bersempena Mesyuarat Agung Tahunan BDB ke-29 di Hotel Raia, Alor Setar, Kedah hari ini. Turut hadir Pengerusi BDB, PMgr. Sr. Haji Che Had Dhali, ahli-ahli Lembaga Pengarah BDB dan pengurusan kanan Kumpulan BDB.
Mengulas tentang perancangan syarikat bagi 2024 dan tahun seterusnya, Raja Shahreen menjelaskan bahawa BDB kekal berhati-hati dan optimis di tengah ketidakpastian pasaran serta menekankan kepada sustainability dan prinsip ESG.
BDB turut memberi lebih tumpuan dan penekanan kepada peningkatan ketahanan rantaian bekalan, peningkatan kemahiran tenaga kerja, dan pelaburan dalam penghasilan tenaga boleh diperbaharui untuk memperkasakan BDB bagi pertumbuhan pada masa depan.
Raja Shahreen menjelaskan, di bawah Belanjawan 2024, dengan peruntukan yang lebih tinggi untuk pembangunan infrastruktur, segmen ECQ dijangka boleh mendapat manfaat daripada projek-projek berimpak tinggi seperti di Kulim Hi-Tech Park serta projek bekalan air yang sedang berjalan di Kedah.
“Segmen hartanah turut menerima manfaat daripada inisiatif Kerajaan yang menyokong dan mesra kepada pembangunan mampu milik. Projek perumahan yang dibangunkan oleh BDB dibina di kawasan yang strategik dan padat dengan penduduk dan membolehkan BDB menerima manfaat tersebut.
Dalam segmen leisure pula, usaha sama yang dijalankan dalam pembangunan eko-pelancongan di Langkawi sejajar dengan hasrat dan sasaran yang ditetapkan Tourism Malaysia turut menyaksikan pertumbuhan jangka panjang yang meyakinkan.
“Dalam pada itu usaha sama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, merangkumi projek solar dan biomass yang selari dengan matlamat kelestarian Malaysia bakal menyaksikan kewujudan peluang perniagaan baru melibatkan pasaran kediaman, komersial dan Perindustrian,” ujarnya.

#Kedah
#BinaDarulamanBerhad
#SpiritOfAchievement

MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI KUMPULAN BDB 2024

 

Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 di Lobi & Foyer Menara BDB, Alor Setar, Kedah baru-baru ini. Majlis yang diadakan ini merupakan satu tradisi tahunan bagi Kumpulan BDB untuk mengeratkan silaturahim bersama warga kerja, pelanggan dan rakan korporat.

Kumpulan BDB dengan rendah hati merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua tetamu kehormat, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan Kanan, warga kerja Kumpulan BDB serta ahli keluarga dianggarkan seramai 5,000 orang yang sudi hadir memeriahkan majlis tersebut.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan ini turut diserikan dengan pelbagai acara menarik termasuk ucapan Hari Raya daripada Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, YM Raja Shahreen Raja Othman. YM Raja Shahreen menyatakan penghargaan beliau kepada semua warga kerja serta tetamu yang hadir dan beliau juga berharap agar ikatan ukhuwah ini akan terus berkekalan.

Pada majlis yang sama, seramai 21 orang anak-anak yatim dari rumah Anak Yatim Amal Solehah (RAYAS), Pendang turut menghadiri majlis berkenaan sambil diiringi oleh tujuh orang pengurus di mana Kumpulan BDB turut berbesar hati memberikan duit raya kepada anak-anak yatim tersebut.

Selain itu juga, Penyampaian Hadiah Cover Hadapan Warta Bina Edisi Hari Raya yang telah dimenangi oleh Pejabat Ketua Pegawai Operasi, serta Penyampaian Hadiah Perhiasan Kiosk Terbaik yang telah dimenangi oleh BDB HQ dan BDB Darulaman Golf Resort Berhad (DGRB) turut dianjurkan bagi mengiktiraf usaha warga kerja dalam menghiaskan kiosk bersempena majlis berkenaan. Tidak lupa juga penyampaian duit raya kepada anak-anak warga kerja Kumpulan BDB turut diberikan sepanjang majlis berlangsung.

Kumpulan BDB ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2024 berlangsung dengan jayanya serta ingin merakamkan sepenuh penghargaan kepada semua tetamu yang hadir memeriahkan majlis berkenaan.

#Kedah
#BinaDarulamanBerhad
#SpiritOfAchievement