PROGRAM KITAR SEMULA SIRI KEDUA BDB INFRA CATAT PENINGKATAN

Program Kitar Semula Siri Kedua anjuran Jabatan ESG Bina Darulaman Berhad (BDB) di BDB Infra Sdn. Bhd. pada 23 Oktober 2025 mendapat sambutan yang sangat menggalakkan apabila berjaya mengumpul sebanyak 207.7-kilogram (kg) bahan kitar semula.

Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 83.3 kg berbanding siri pertama yang diadakan pada Julai lalu, yang mencatatkan kutipan sebanyak 124.4 kg.

Antara bahan yang dikumpul termasuk plastik, kertas & kadbod, besi, PET, tin aluminium, serta minyak masak terpakai hasil komitmen warga kerja BDB Infra dalam menyokong amalan hijau di tempat kerja.

Program ini berjaya mencapai objektif utamanya iaitu memupuk kesedaran dan tanggungjawab terhadap alam sekitar, selain menjadi langkah positif ke arah merealisasikan matlamat kelestarian ESG Kumpulan BDB.

LAWATAN KERJA JABATAN BOMBA PENYELAMAT MALAYSIA KE DARULAMAN PARK

Darulaman Park telah menerima kunjungan kerja daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang diketuai Timbalan Ketua Pengarah Pembangunannya, YAS Othman Abdullah dan diiringi oleh Pengarah JBPM Negeri Kedah, YS PKPjB Awang Hidzel Awang Bujang pada 23 Oktober 2025.

Kehadiran delegasi JBPM disambut oleh Ketua Jabatan Government Liaison, Encik Aswat Abu Bakar dan wakil daripada BDB Leisure Sdn. Bhd. iaitu Encik Muhammad Hanif Mohamad Ismail.

Lawatan tersebut diadakan bagi meninjau lokasi dan membuat persiapan awal sempena penganjuran Hari Inovasi Bomba Peringkat Kebangsaan, yang dijadualkan berlangsung di Darulaman Park pada 22 November depan.

Delegasi JBPM turut meninjau fasiliti dan kemudahan di sekitar Darulaman Park, termasuk kawasan tumpuan pengunjung serta lokasi strategik bagi penganjuran aktiviti dan pameran.

BDB menyambut baik pemilihan Darulaman Park sebagai lokasi acara berprestij ini dan akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak JBPM bagi memastikan kelancaran dan kejayaan penganjuran Hari Inovasi Bomba nanti.

KUNJUNGAN HORMAT KE PEJABAT MALAYSIAN INVESTMENT DEVELOPMENT AUTHORITY (MIDA) KEDAH, PUAN NAZLIZAN ABDULLAH

Bina Darulaman Berhad (BDB) dalam usaha untuk mengembangkan portfolio perniagaannya telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Malaysian Investment Development Authority (MIDA) Kedah dan bertemu dengan Pengarahnya, Puan Nazlizan Abdullah, pada 22 Oktober 2025.

Pertemuan tersebut diketuai oleh Penasihat Projek Khas BDB, Encik Tahir Md Zin serta turut disertai oleh Ketua Jabatan Government Liaison, Encik Aswat Abu Bakar adalah bertujuan untuk membuka ruang perbincangan dua hala yang produktif mengenai potensi pelaburan dan pembangunan strategik yang wujud di Kedah.

Di samping itu juga, ia sedikit sebanyak dapat membantu BDB dalam meneroka peluang kolaborasi terutamanya dalam sektor hartanah, pelancongan dan perindustrian di mana MIDA Kedah dapat memainkan peranan sebagai agensi pemudah cara dan juga rakan strategik penting dalam memperluas potensi pelaburan dan meneroka projek bernilai tambah yang dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

KUNJUNGAN HORMAT KEPADA YBHG. DATO’ MD SILMI BIN ABD RAHMAN, PENGURUS BESAR PKNEPs

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YBhg. Dato’ Md Silmi bin Abd Rahman, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Perlis (PKNEPs) pada 22 Oktober 2025.

Delegasi BDB diketuai oleh Pengerusi, Pmgr. Sr Che Had Dhali serta turut disertai oleh Chief Support Officer, Encik Abdul Shukor Abdul Rahman, Penasihat Projek Khas BDB, Encik Tahir Md Zin, Ketua Projek Perlis, Encik Ts. Shuhaimi Ismail serta pengurusan kanan syarikat yang lain.

Kunjungan ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua agensi yang terlibat secara langsung dalam pembangunan di kedua-dua negeri iaitu Perlis dan Kedah di mana ia memberikan peluang untuk membincangkan peluang kerjasama baharu yang boleh memberi manfaat bersama khususnya dalam bidang pembangunan hartanah, pelancongan dan infrastruktur.

Ia secara tidak langsung dapat membolehkan BDB untuk terus mengembangkan sayap dengan lebih lebar di Perlis sekaligus memacu agenda pembangunan mampan di peringkat negeri berkenaan.

BDB CHAIRMAN’S GOLF TOURNAMENT 2025

Kejohanan BDB Chairman’s Cup 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Jitra, Kedah 20 Oktober 2025.

Seramai 88 orang peserta telah mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut di mana Syazwan Yusof muncul sebagai juara keseluruhan manakala Sazali Zakaria dan Asyraf Ibrahim pula masing-masing memenangi Kategori Medal A dan Medal B serta Othman Ahmad mengungguli kategori Senior.

Para pemenang turut membawa pulang trofi dan juga hadiah kemenangan masing-masing di mana hadiah keseluruhan berjumlah RM5,800.00 yang disampaikan oleh Pengerusi BDB, Pmgr. Sr Che Had Dhali.

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan setinggi-tinggi penghargaan kepada para peserta yang menyertai kejohanan tersebut.

 

BDB TERIMA ANUGERAH JAYA PUTERA

Bina Darulaman Berhad (BDB) menerima Anugerah Khas iaitu Anugerah Jaya Putera sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan SMK Tunku Seri Indera Putera, Ayer Hitam sebagai penghargaan atas sumbangan dan keprihatinan terhadap kebajikan pelajar yang memerlukan.

Anugerah disampaikan oleh Encik Nesar Ahmad Khan Rafi Ahmad Khan, Timbalan Pengerusi Kumpulan Penggerak PIBKS Daerah Kubang Pasu, dan diterima oleh Encik Aswat Abu Bakar, Ketua Jabatan Government Liaison.

Pengiktirafan ini susulan sumbangan zakat BDB sebanyak RM1,000 kepada sekolah berkenaan pada Mac 2025, di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat BDB yang turut melibatkan 10 sekolah di seluruh Kedah.

BDB & KLPK TELITI PELUANG USAHASAMA BERSAMA

Bina Darulaman Berhad (BDB) baru-baru ini mengadakan lawatan tapak bersama Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah Sdn. Bhd. (KLPK) di kawasan projek sekitar Pokok Sena, Kedah.

Lawatan yang diadakan pada 9 Oktober 2025 bertujuan meneroka potensi kerjasama antara kedua-dua pihak khususnya dalam bidang pembangunan tanah dan perladangan di kawasan berkenaan yang boleh memberikan manfaat kepada BDB dan KLPK.

Hadir bagi pihak BDB ialah Ketua Pegawai Operasi (COO), Encik Mohd Sobri Hussein dan disertai oleh wakil Pejabat COO, Encik Nuramali Ahmad Zainy, Encik Safrizuan Saad dan Encik Tahir Md Zin manakala dari KLPK pula ialah Pengurus Besar, Encik Abdul Roni Abu Bakar dan Penolong Pengurus Pembangunan Perniagaan, Encik Sani Putra.

BDB DAN RESTORAN THONG NE THAE BINCANG PELUANG KERJASAMA BAHARU

Bina Darulaman Berhad (BDB) baru-baru ini mengadakan perbincangan bersama pengurusan Restoran Thong Ne Thae bagi meneroka potensi kerjasama dalam sektor makanan dan minuman (F&B) serta pelancongan.

Sesi perbincangan tersebut diadakan pada 8 Oktober 2025 di Kampung Batu Kawan, Pulau Pinang, diikuti lawatan tapak pada 9 Oktober 2025 di BDB Glass Hall, Jitra, Kedah bagi membincangkan peluang kerjasama strategik antara kedua-dua pihak

BDB diketuai oleh COO, Encik Mohd Sobri Hussein, bersama wakil Pejabat COO dan BDB Leisure Sdn. Bhd., manakala pihak Restoran Thong Ne Thae diwakili oleh Dato’ Ramdzan Affendi Dato’ Hj. Abd Subahan, Puan Ang Afifah, dan Encik Rushdee Ameir Musa.

Pertemuan ini membuka ruang bagi potensi kolaborasi dalam bidang hospitaliti, F&B dan pelancongan, khususnya di Darulaman Park, Jitra, dalam usaha memperkasa sektor pelancongan dan komuniti tempatan.

 

BDB TEROKA PELUANG BAHARU BERSAMA JAMBATAN KEDUA SDN. BHD.

Bina Darulaman Berhad (BDB) dalam usaha memperkukuh jaringan strategik apabila mengadakan sesi perbincangan bersama Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) pada 8 Oktober 2025 di Kompleks Plaza Tol, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Batu Kawan, Pulau Pinang.

Sesi perbincangan itu menyaksikan kedua-dua pihak untuk berbincang mengenai peluang kerjasama perniagaan khususnya dalam bidang pembangunan dan perkhidmatan yang dapat memanfaatkan kepakaran masing-masing.

Di samping itu, perbincangan berkenaan turut membuka ruang untuk menilai potensi sinergi terutamanya dalam bidang pembangunan hartanah, pelancongan, serta pengurusan aset dan infrastruktur.

Delegasi BDB diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi, Encik Mohd Sobri Hussein serta diiringi oleh Encik Nuramali Ahmad Zainy dan Encik Safrizuan Saad manakala dari BDB Leisure Sdn Bhd diwakili oleh Encik Muhammad Hanif Mohamad Ismail dan Cik Nur Hidayatul Hanini Abd Mutalib.

Pihak JKSB pula diwakili oleh Ketua Divisyen Operasinya, Encik Hussin Mohammad, Ketua Sumber Manusia dan Pentadbiran, Dr. Muhammad Hafiz Hamzah dan Ketua Komunikasi Korporat, Puan Hani Sophia Hilmi.