BDB MENJADI ENTITI PERTAMA MALAYSIA YANG DIIKTIRAF DI BAWAH PROGRAM SIJIL PEMULIHARAAN HUTAN (FCC)

Bina Darulaman Berhad (BDB) mencipta sejarah apabila menjadi entiti pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan dan terpilih untuk berdaftar dalam program Sijil Pemuliharaan Hutan (FCC) yang dibangunkan oleh Malaysia Forest Fund (MFF), agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, YM Raja Shahreen Raja Othman menyatakan melalui anak syarikat milik penuhnya, Darulaman Sanctuary Sdn. Bhd., BDB menjadikan Darulaman Sanctuary yang terletak di Lubuk Semilang, Langkawi sebagai model contoh untuk pemuliharaan hutan serta perlindungan flora dan fauna di Malaysia.

Pengiktirafan ini telah menarik perhatian ByteDance System Sdn. Bhd. yang bersetuju menyumbang sebanyak RM176,380.00, manakala BDB Infra Sdn. Bhd. turut menyumbang RM700,000.00 bagi tujuan yang sama. Program FCC menawarkan potongan cukai kepada penyumbang, sekaligus menyokong agenda kelestarian negara.

Majlis Menandatangani Perjanjian Pemuliharaan antara BDB, MFF, ByteDance System Sdn. Bhd. dan BDB Infra telah disaksikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur. Turut hadir adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Nor Yahati Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif MFF, Dato’ Mohamed Shah Redza Hussein.

10 SEKOLAH TERPILIH TERIMA SUMBANGAN BDB MASTER & CHARITY GOLF TOURNAMENT

Sebanyak 10 buah sekolah di negeri Kedah telah terpilih untuk menerima sumbangan bernilai RM10,000 hasil daripada kutipan yang dikumpul pada perlawanan amal bersempena kejohanan BDB Masters & Charity Golf 2024 lalu.

Oleh yang demikian, Jabatan Komunikasi Korporat dengan kerjasama Jabatan Government Liaison dan BDB Darulaman Golf Resort Berhad  telah menyampaikan sumbangan tersebut kepada wakil 10 sekolah berkenaan sepanjang Februari lalu.

Untuk tujuan tersebut, wakil daripada Jabatan Komunikasi Korporat iaitu Puan Nazira Abdul dan Puan Hanan ‘Izzati Mansor bersama wakil Jabatan Government Liaison, Puan Siti Nurziella Ahamd Tajuddin telah hadir ke salah satu sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Kampong Setar bagi menyampaikan sumbangan tersebut.

Kehadiran delegasi daripada Bina Darulaman Berhad tersebut disambut oleh Guru Besar sekolah berkenaan iaitu Encik Mohd Islakh Abdul Kadir dan sumbang telah diserahkan kepada beliau mewakili pihak sekolah berkenaan.

Antara sekolah-sekolah lain yang menerima sumbangan tersebut ialah Sekolah Kebangsaan Labu Besar, Sekolah Menengah Kebangsaan Labu Besar, Sekolah Kebangsaan Seri Muda, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Seri Indera Putera, Sekolah Kebangsaan Tebengau, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Bendahara, Sekolah Kebangsaan Seri Mahawangsa, Sekolah Menengah Kebangsaan Bongor dan Sekolah Model Khas Baling.

KUNJUNGAN HORMAT KE UNIT PERUNDANGAN & TADBIR URUS MADA

Bagi tahun 2025, Jabatan Company Secretarial & Legal Bina Darulaman Berhad (BDB) berhasrat untuk menjalinkan serta mengembangkan hubungan strategik di dalam bidang perundangan bersama agensi kerajaan, syarikat atau firma guaman di Negeri Kedah.

Untuk tujuan itu, delegasi daripada Jabatan Company Secretarial & Legal terdiri daripada Puan Noor Shakinah Samian dan Cik Noor Farzana Ahmad Zamri telah mengadakan kunjungan hormat ke Unit Perundangan & Tadbir Urus Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada 20 Februari 2025.

Kedatangan mereka disambut oleh Ketua Unit Perundangan & Tadbir Urus MADA, Puan Siti Noor Mardiana Shahrom.

Dalam pertemuan tersebut, delegasi daripada BDB mengucapkan ucapan tahniah di atas penubuhan Unit Perundangan & Tadbir Urus MADA yang baru diwujudkan pada Mei 2024.

Di samping itu juga, kedua-dua pihak membincangkan mengenai kerjasama strategik yang boleh dilaksanakan bersama serta berkongsi pandangan dan juga pengetahuan terutamanya melibatkan bidang perundangan pada masa akan datang.

BDB SERTAI KARNIVAL TVET POLICC 2025

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menyertai Reruai Karnival TVET POLICC 2025 yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi pada 14 hingga 16 Februari 2025 yang lalu.

Penyertaan BDB pada karnival tersebut adalah bagi bersama-sama  menjalin kerjasama strategik di antara pihak industri dan agensi dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Dalam masa yang sama, pihak Politeknik Sultanah Bahiyah (PSB), Kulim, Kedah telah menjemput BDB untuk menjalinkan kolaborasi strategik dalam agenda pemerkasaan TVET bagi bidang kejuruteraan awam.

Untuk tujuan itu, Chief People Officer, Encik Mohd Taufik Abdullah telah mewakili BDB untuk menerima surat hasrat bersempena karnival tersebut yang telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Di samping itu juga, Mohd Taufik turut diberi kesempatan menjadi tetamu khas untuk program podcast bersempena karnival berkenaan yang bersiaran secara langsung yang membincangkan mengenai peranan yang boleh dimainkan BDB dalam bidang TVET.

MUTIARA PERLIS SDN BHD (MUTIARA PERLIS) DAN BINA DARULAMAN BERHAD (BDB) MEMETERAI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) BAGI PEMBANGUNAN KEMUDAHAN MARITIM STRATEGIK DI UTARA MALAYSIA

Mutiara Perlis, pemilik-pemaju Perlis Sanglang Port (PSP), bersama Bina Darulaman Berhad (BDB) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) yang melambangkan kerjasama strategik dalam pembangunan kemudahan maritim mampan di wilayah utara Malaysia.

Langkah ini menjadi tonggak penting ke arah usaha bersama untuk meningkatkan kecekapan logistik dan memperkukuh hubungan ekonomi di kawasan tersebut.

MOU ini ditandatangani oleh YM Raja Shahreen Raja Othman, Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, dan Encik Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad, Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis.

MOU ini memfokuskan kepada pembinaan tiga (3) kemudahan utama di PSP, iaitu:

• Pangkalan Bekalan Langkawi untuk perkhidmatan kapal RORO antara Langkawi dan tanah besar.

• Pangkalan Bekalan Langkasuka untuk menyokong operasi medan minyak dan gas di rantau ini.

• Terminal Kargo Pukal untuk produk kering dan cecair.

MAJLIS BERSAMA PENDUDUK TAMAN AMAN PERDANA, SERDANG

Bina Darulaman Berhad (BDB) bersama BDB Kedah Holdings Sdn. Bhd. dan Majlis Daerah Bandar Baharu telah menganjurkan Majlis Bersama Penduduk Taman Aman Perdana, Serdang yang dirasmikan oleh YB TS. Dr. Mohd Suffian Yusoff, ADUN Bandar Baharu.

Majlis ini turut menyaksikan seramai 119 orang pembeli Taman Aman Perdana menerima kunci sebaik sahaja projek ini berjaya memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Majlis turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Bandar Baharu merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Bandar Baharu, Encik Mohd Noor Bin Ismail serta barisan Pengurusan Kanan BDB dan Kedah Holdings Sdn. Bhd.

Penawaran projek perumahan yang mampu dimiliki seperti Taman Aman Perdana ini merupakan antara manifestasi komitmen Kerajaan Negeri Kedah dalam merealisasikan Pelan Pembangunan Kedah 2035 (Kedah2035) dan The Greater Kedah yang menyasarkan pembinaan 15,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 15 tahun.

TEA-TALK SESSION BDB LAND BERSAMA EJEN HARTANAH DAN PIHAK BANK

 

BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land) telah menganjurkan satu acara khas iaitu Tea-Talk Session bersama para ejen hartanah dan juga pihak bank di Negeri Kedah pada 23 Januari 2025 di Dewan Bunga Raya, Darulaman Golf & Country Club, Jitra, Kedah.

Sesi tersebut dikendalikan oleh Ketua Pemasaran dan Jualan BDB Land, Puan Wan Nur Irnieyza Diana Wan Zahari di mana beliau memperkenalkan produk-produk perumahan yang ditawarkan oleh BDB Land sepanjang tahun ini.

Beliau turut memberikan pemakluman berkenaan projek yang kini sedang dibangunkan bagi membolehkan maklumat awal diberikan terlebih dahulu sebelum ia siap sepenuhnya kelak.

Dalam masa yang sama, sesi berkenaan juga merupakan platform untuk terus ⁠memperkukuh hubungan yang telah terjalin dengan lebih erat di antara BDB Land dan juga ejen hartanah serta pihak bank.

 

HUBUNGAN STRATEGIK DAN KOLABORATIF ANTARA BDB INFRA DAN JKR DAERAH KUALA MUDA

BDB Infra Sdn. Bhd. (BDB Infra) telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Muda. Ini merupakan salah satu usaha dalam mengukuhkan hubungan strategik dan kolaboratif antara kedua-dua organisasi.

Pertemuan ini bertujuan untuk membina kefahaman yang lebih mendalam dan mengeratkan kerjasama dalam konteks pembangunan infrastruktur di Negeri Kedah.

Delegasi BDB Infra diketuai oleh Encik Samshul Anor Ahmad, turut disertai oleh Encik Ahmad Nazri Md Daud, Encik Khalil Karia serta rakan sepasukan dari Kulim Kedah Premix Plant; Encik Aizat, Encik Yamin, dan Encik Fairus. Turut hadir, Jurutera Daerah JKR Daerah Kuala Muda; Mohamad Azmi Yaakob.

Kunjungan hormat ini merupakan komitmen BDB untuk mengembangkan hubungan professional dengan agensi kerajaan tempatan.

Menerusi pertemuan ini juga, kedua-dua pihak berpeluang untuk berbincang strategi pembangunan infrastruktur yang lebih efisien dan bersepadu, seterusnya menyumbang kepada kemajuan Daerah Kuala Muda.

 

SESI LIBAT URUS SUMBER MANUSIA MENGENAI KEMASKINI KOD ETIKA & TATAKELAKUAN

Pada 16 Januari 2025, Jabatan Sumber Manusia telah mengadakan sesi libat urus mengenai kemaskini kod etika dan tatakelakuan di Centre of Learning, Menara BDB, Alor Setar, Kedah.

Sesi tersebut melibatkan penyertaan C-Suites, ketua-ketua anak syarikat dan juga ketua jabatan Kumpulan BDB dan bertujuan untuk memberikan maklumat terbaru mengenai urusan dan hal ehwal sumber manusia serta meningkatkan kesedaran berhubung kod etika dan tatakelakuan Kumpulan BDB.

160 PEMAIN AMATUR BERAKSI DI KEJOHANAN BDB MASTERS & CHARITY GOLF 2024

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menganjurkan Kejohanan BDB Masters & Charity Golf 2024 yang berlangsung selama tiga hari di Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Kedah. Kejohanan ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 160 pemain golf amatur dari seluruh tanah air dengan 90 peratus peserta adalah dari luar Kedah.

Pada asalnya, kejohanan ini dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 8 Disember 2024 namun telah ditangguhkan ke 3 hingga 5 Januari 2025 berikutan bencana banjir yang melanda kawasan Jitra dan sekitarnya.

Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, YM Raja Shahreen Raja Othman. Turut hadir adalah Pengerusi BDB Darulaman Golf Resort Berhad, YBhg. Dato’ Haji Abdul Rahman Abdullah serta barisan pengurusan kanan Kumpulan BDB.

Muhammad Farez Mohd Azihan telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan catatan 214 pukulan, menewaskan Nor Haqeim Nor Hadi dan Shakiran Johari yang mencatatkan 217 pukulan. Kejohanan ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000 dan hadiah istimewa “Hole In One” berupa dua buah kereta Proton (X50 dan S70) bernilai lebih RM180,000.

Turut berlangsung merupakan perlawanan amal “Charity Golf 2024”, menyaksikan kutipan sumbangan bernilai RM10,000 diberikan kepada 10 buah sekolah terpilih di Kedah.