SOROTAN SESI LIBAT URUS BDB BERSAMA PEMEGANG TARUH DI LANGKAWI

11 Februari 2026 |Komitmen berterusan Bina Darulaman Berhad (BDB) dalam memperkukuh jaringan strategik diteruskan menerusi beberapa siri sesi libat urus yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Che Abdul Khalid Md Din, di Langkawi.

1. Kunjungan Rasmi MIDA ke Darulaman Sanctuary

BDB menerima kunjungan rasmi daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang diketuai oleh Pengarah MIDA Kedah/Perlis, Puan Nazlizan Abdullah ke Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang. Perbincangan memfokuskan potensi sokongan insentif dan geran strategik MIDA sebagai pemacu pembangunan kemudahan penginapan pada fasa seterusnya, sekali gus memperkukuh daya tarikan eko-pelancongan di lokasi tersebut.

2. Sesi Libat Urus Bersama Pejabat Daerah & Tanah Langkawi

Delegasi BDB turut mengadakan pertemuan bersama Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Pejabat Daerah & Tanah Langkawi, Tuan Haji Zulkifli Abdullah. Sesi ini bertujuan menyelaras agenda pembangunan serta memperkemas urusan berkaitan projek-projek BDB di Langkawi agar dapat dilaksanakan secara lebih efisien dan strategik.

3. Lawatan Operasi ke Kuari Gemi Puncak, Ulu Melaka

CEO Kumpulan BDB bersama Ahli Lembaga Pengarah BDB Infra Sdn. Bhd., Dato’ Haji Abdul Bari Abdullah turut turun padang meninjau operasi Kuari Gemi Puncak. Lawatan ini bagi menilai tahap kesiapsiagaan operasi serta memastikan keupayaan pengeluaran memenuhi permintaan produk kuari yang semakin berkembang di Langkawi.

Rangkaian sesi libat urus ini mencerminkan pendekatan proaktif BDB dalam memperkukuh kerjasama, mempercepat pelaksanaan projek serta menyokong pertumbuhan ekonomi setempat di Langkawi.

KUNJUNGAN HORMAT KE PEJABAT PEGAWAI DAERAH LANGKAWI

 

11 Februari 2026 | Bina Darulaman Berhad (BDB) mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Pegawai Daerah Langkawi, bertemu Encik Mohamad Subhi Abdullah. Delegasi diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Che Abdul Khalid Md Din, bersama Ahli Lembaga Pengarah BDB Infra Sdn. Bhd, Dato’ Haji Abdul Bari Abdullah dan Ketua Projek Aman Nusa, Langkawi Encik Shafizan Ahmad.

Pertemuan tersebut menjadi platform untuk bertukar pandangan dan memberi penerangan mengenai projek pembangunan yang telah dan akan dilaksanakan BDB di Langkawi, termasuk pembangunan perumahan Aman Nusa, Kuah dan destinasi eko-pelancongan di Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang.

Diharapkan hubungan dua hala ini dapat memperkukuh kerjasama strategik antara Pejabat Daerah & Tanah Langkawi sebagai pihak berkuasa tempatan dan BDB, selaras dengan agenda pembangunan ekonomi dan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat Langkawi.

MAJLIS PRA-PELANCARAN DARULAMAN FUN PARK

Darulaman Fun Park, tarikan terbaharu di Darulaman Park, Jitra telah mula dibuka sepenuhnya selepas Majlis Pra-Pelancaran yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Encik Che Abdul Khalid Md Din pada 6 Februari 2026.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Divisyen Leisure BDB, Encik Nuramali Ahmad Zainy serta barisan pengurusan kanan Fiestania Ventures Sdn. Bhd., iaitu Encik Chu Tuan Lai, Puan Jesslyn Leng dan Encik Ong Khar Hong.
Dibangunkan menerusi kerjasama BDB Leisure Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh BDB, bersama Fiestania Ventures Sdn. Bhd., Darulaman Fun Park menawarkan pengalaman riadah dan hiburan yang lebih ceria, segar dan penuh warna-warni untuk semua peringkat usia.

Terletak di atas kawasan seluas 0.45 ekar, taman tema mini ini menampilkan pelbagai tarikan interaktif termasuk Pink Sand Beach yang dijangka menjadi spot kegemaran pengunjung, selain Merry Go Round, Kereta Api Mini, Trampolin serta beberapa sudut bergambar menarik yang memang sesuai kepada mereka yang ingin mengambil gambar Outfit of the Day (OOTD).

LAWATAN RASMI KE KUARI BUKIT PERAK PERKUKUH KERJASAMA INFRASTRUKTUR NEGERI

  
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Negeri Kedah, YB Dato’ Mohammad Yusoff @ Munir Haji Zakaria bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Pedu, YB Haji Mohd Radzi Md Amin, telah mengadakan lawatan rasmi ke Kuari Bukit Perak, Pendang.
Ketibaan disambut oleh Ketua BDB Infra Sdn. Bhd., Encik Zakba Shafie, barisan pengurusan kanan syarikat serta Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya Daerah Padang Terap/Pokok Sena, Encik Ir. Ts. Shamsul Abd Manaf.
Lawatan ini memberi pendedahan menyeluruh mengenai operasi industri kuari batu dan pengeluaran premix, termasuk proses serta produk yang menyokong pembinaan jalan dan pembangunan di seluruh Negeri Kedah.
Sebagai peneraju industri kuari batu dan penghasilan premix, BDB Infra terus komited mengamalkan operasi yang mampan, selamat dan berkualiti tinggi, di samping memperkukuh hubungan strategik jangka panjang bersama Kerajaan Negeri Kedah dan agensi berkaitan.

MAJLIS AMANAT TAHUN BAHARU 2026 KUMPULAN BDB PERKUKUH HALA TUJU STRATEGIK

 

Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) telah diadakan buat julung kalinya dengan tema Strengthening Core & Shaping a Future bertempat di Dewan Gemilang, Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Jitra, Kedah, dan disertai oleh seramai 124 orang warga kerja Kumpulan BDB.

Majlis dimulakan dengan sesi BDB 2026 Rollout & Strategy Direction yang disampaikan oleh Chief Business Strategy Officer, Encik Mohd Hudzaifah Mohamad Sam, yang menggariskan hala tuju serta strategi perniagaan Kumpulan bagi tahun 2026.

Sesi seterusnya ialah Leadership Address oleh Ketua-ketua Anak Syarikat dan Segmen Kumpulan BDB, iaitu Encik Zaki Zainol Abidin (BDB Synergy Sdn. Bhd.), Encik Zakba Shafie (BDB Infra Sdn. Bhd.), Encik Helmi Azarudin Harun (Segmen Hartanah) dan Encik Nuramali Ahmad Zainy (Segmen Leisure), yang berkongsi prestasi semasa serta perancangan strategik organisasi masing-masing bagi tahun 2026.

Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian Amanat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Encik Che Abdul Khalid Md Din, yang menekankan penyusunan semula keutamaan perniagaan dengan fokus kepada pengukuhan perniagaan teras serta pengoptimuman aset sedia ada bagi meningkatkan penjanaan pendapatan.

Beliau turut menegaskan kepentingan Petunjuk Prestasi Utama dan Bidang Keberhasilan Utama sebagai asas pengukuran prestasi yang konsisten dan berkesan, di samping mengingatkan warga kerja tentang kepentingan memperkukuh hubungan serta libat urus strategik bersama para pemegang taruh.

Diharapkan amanat dan perkongsian strategik ini dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan prestasi, produktiviti dan kecemerlangan warga kerja, seterusnya memperkukuh pencapaian Kumpulan BDB bagi tahun 2026 dan masa hadapan.

SAMBUTAN AMBANG TAHUN BARU 2026 – EXPERIENCE KEDAH

Bina Darulaman Berhad (BDB) amat berbesar hati dan berterima kasih kepercayaan Kerajaan Negeri Kedah memilih Darulaman Park, Bandar Darulaman, Jitra sebagai destinasi pilihan Sambutan Tahun Baru 2026 Experience Kedah.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, YB Dato’ Haji Mohd Salleh Saidin.

Turut hadir Pegawai Daerah Kubang Pasu, Dato’ Muhamad Mahazi Haji Ibrahim; Pengurus Besar Kedah Tourism, Encik Mohd Zaidi Omar; serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad, Encik Che Abdul Khalid Md Din.

Penganjuran majlis ini mencerminkan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri, agensi pelancongan dan sektor korporat dalam menyokong agenda pelancongan negeri serta pembangunan sosioekonomi Negeri Kedah.

Dalam program yang sama, BDB Land Sdn. Bhd. dan Kedah Holdings Sdn. Bhd. turut membuka pameran bagi mempromosi  produk perumahan yang dibangunkan terutamanya di Bandar Darulaman, Jitra dan Darulaman Saujana, Hosba.

Antara produk perumahan yang menjadi tumpuan ialah Aluna dan Nada di Bandar Darulaman, Lily dan Rafflesia di Darulaman Saujana serta Taman Azalea, Pendang.

SESI PERBINCANGAN BERSAMA TUAN DR. MOHD REZAL BIN DATO’ PADUKA HAJI RASLI, KETUA PENOLONG PEGAWAI DAERAH KANAN (PENGURUSAN TANAH)

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah mengadakan sesi perbincangan bersama Tuan Dr. Mohd Rezal bin Dato’ Paduka Haji Rasli, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan (Pengurusan Tanah), bertempat di Kompleks Pentadbiran Daerah Kubang Pasu, Jitra.
Delegasi BDB diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Che Abdul Khalid Md Din, bersama Chief Support Officer, Encik Abdul Shukor Abdul Rahman, serta kakitangan BDB yang terlibat.
Sesi ini menjadi platform untuk membincangkan perkara berkaitan pengurusan dan perancangan tanah melibatkan BDB, selaras dengan keperluan operasi syarikat serta peranan pihak berkuasa tempatan dalam menyokong agenda pembangunan daerah dan negeri.

SESI PERBINCANGAN BERSAMA SME CORPORATION KEDAH & PENGURUSAN DARULAMAN ASET SDN BHD (DASB)

Bina Darulaman Berhad (BDB) mengadakan dua sesi perbincangan penting bagi mengukuhkan kerjasama strategik bersama rakan-rakan utama di Kedah.

  1. Sesi bersama SME Corporation Kedah

Perbincangan oleh Pengarah SME Corp Kedah, Encik Mohamed Zulfikar Ibni Mohamed Nazri, dengan fokus kepada peluang penyewaan premis serta penjajaran operasi yang boleh menyokong pembangunan ekosistem PKS di negeri ini.

  1. Sesi bersama pengurusan Darulaman Aset Sdn Bhd (DASB)

Sesi bersama Puan Khamariah Mohd Fisol bersama barisan pegawai kanan DASB, menyentuh hal pembangunan strategik, pembangunan perniagaan dan pengurusan bangunan.

Delegasi BDB diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Che Abdul Khalid Md Din, bersama Chief People Officer, Encik Mohd Taufik Abdullah.

BDB KPI WORKSHOP & CHALLENGE SESSION 2025

BDB KPI Workshop & Challenge Session 2025 telah berlangsung pada 8 dan 9 Disember 2025 di BDB Glass Hall, Darulaman Park, Jitra. Program ini disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Encik Che Abdul Khalid Md Din bersama 83 anggota pengurusan dari seluruh Kumpulan BDB.

Penganjuran bengkel ini bertujuan memastikan setiap Unit Perniagaan Strategik dan Jabatan menetapkan Bidang Hasil Utama (KRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang lebih jelas dan selaras dengan peranan masing-masing. Pendekatan tersebut penting untuk mengukuhkan budaya akauntabiliti, pemilikan tugasan dan penyampaian hasil kerja secara berkesan.

Melalui sesi perbincangan dan challenge session, KRA dan KPI yang dibentangkan telah diperhalusi bagi memastikan ia bersifat realistik, jelas dan menyokong keperluan operasi serta hala tuju strategik Kumpulan BDB.

Secara keseluruhannya, bengkel ini berperanan memperkukuh pemantauan prestasi organisasi, selain memastikan sasaran Pelan Perniagaan 2026 dapat dipantau dengan lebih sistematik dan pelaksanaan Belanjawan 2026 Kumpulan BDB dapat dicapai secara konsisten serta teratur.

 

SEDEKAD BDB MASTERS: TERUS MENDOMINASI KEJOHANAN GOLF AMATUR DI WILAYAH UTARA

Kejohanan BDB Masters 2025 menutup tirai edisi ke-10 dengan penyertaan lebih 150 pemain di Darulaman Golf & Country Club (DGCC), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai kejohanan golf amatur utama di Wilayah Utara.

Sedekad kejohanan golf di bawah jenama BDB Masters ini menjadikan ia antara acara paling dinantikan, malah kejohanan ini sememangnya jenama penting dalam memperkukuh imej korporat Kumpulan BDB.

Lima kategori dipertandingkan dengan tawaran hadiah termasuk dua kereta bagi pukulan Hole in One. Turut hadir ialah Pengerusi BDB, Pmgr. Sr. Che Had Dhali, Pengerusi BDB Darulaman Golf Resort Berhad, Dato’ Haji Abdul Rahman Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Che Abdul Khalid Md Din.

Tahniah kepada Kall Danish yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan catatan 220 pukulan. Terima kasih kepada semua peserta dan jumpa lagi pada BDB Masters tahun hadapan!