KUALA LUMPUR 28 Okt – Bina Darulaman Bhd (BDB) yang majoritinya dimiliki oleh kerajaan negeri Kedah, melantik Che Abdul Khalid Md Din sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharu berkuat kuasa 1 November ini.

Menurut pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Che Abdul Khalid akan menggantikan YM Raja Shahreen Raja Othman, yang tempoh kontrak tetapnya akan tamat pada akhir bulan ini. Bina Darulaman memaklumkan, Che Abdul Khalid mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam
pembangunan hartanah dan pembinaan.

Beliau kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Kulim Technology Park Corp Sdn Bhd (KTPC), milik Perbadanan Pembangunan Negeri Kedah (KSDC) sejak November 2021, dan akan menamatkan perkhidmatan di situ pada 31 Oktober ini.

“Che Abdul Khalid aktif dalam usaha menarik pelaburan langsung asing dan domestik ke Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech Park), menyumbang kepada pencapaian pelaburan mengagumkan sebanyak RM10.7 bilion pada 2022, RM20.1 bilion pada 2023 dan RM32.4 bilion pada 2024.

“Beliau turut mengetuai perancangan strategik bagi semua projek Bina dan Pajakan (Build and Lease), menguruskan keseluruhan proses daripada reka bentuk, pelaksanaan perjanjian hingga penyerahan projek akhir kepada pelanggan,” menurut syarikat itu.

Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Pengurus Besar KTPC dari April 2019 sebelum dinaikkan ke jawatan COO (kini dikenali sebagai BDB Land Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Bina Darulaman) dan Kedah Holdings Sdn Bhd antara tahun 2006 hingga 2008.

Che Abdul Khalid kini merupakan Pengarah KSDC Insurance Brokers Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, jawatan yang disandangnya sejak Ogos 2023. Saham Bina Darulaman meningkat empat sen atau 16.67 peratus kepada 28 sen pada Isnin, menjadikan nilai pasaran syarikat itu sebanyak RM83.38 juta. – DagangNews.com

https://www.dagangnews.com/article/terkini/che-abdul-khalid-diumumkan-sebagai-ceo-baharu-bina-darulaman-mulai-1-nov-2025-59958

Share:

More Posts

Bina Darulaman Berhad © All Rights Reserved 2022