ALOR SETAR, 2 Nov (Bernama) — Kumpulan Bina Darulaman Berhad
(BDB) hari ini mengumumkan pelantikan Che Abdul Khalid Md Din
sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BDB yang baharu berkuat
kuasa mulai 1 November, 2025.

BDB dalam satu kenyataan berkata Che Abdul Khalid
berpengalaman luas melebihi tiga dekad dalam sektor
pembinaan dan pembangunan hartanah dengan rekod prestasi
cemerlang dalam kepimpinan strategik dan pengurusan operasi.
“Sebelum menyertai Kumpulan BDB, beliau merupakan Ketua
Pegawai Operasi (COO) di Kulim Technology Park Corporation Sdn
Bhd (KTPC) daripada 1 Nov, 2021 hingga 31 Okt lepas.

“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memainkan
peranan penting dalam merancang dan melaksanakan strategi
korporat, menyelia fungsi utama seperti jualan dan perancangan
strategik, pembangunan tanah, serta pengurusan hartanah,”
katanya.

BDB berkata Che Abdul Khalid juga aktif dalam menarik pelaburan
langsung asing dan domestik bagi Taman Teknologi Tinggi Kulim,
di bawah kepimpinannya, KTPC mencatat prestasi pelaburan
memberangsangkan dengan nilai pelaburan mencecah RM10.7
bilion (2022), RM20.1 bilion (2023) dan RM32.4 bilion (2024)
Selain itu, beliau akan mengetuai pelaksanaan projek-projek
mengurus keseluruhan proses daripada reka bentuk dan
pelaksanaan perjanjian sehingga penyerahan projek akhir kepada
pelanggan.

“Che Abdul Khalid akan turut memimpin perkhidmatan
pengurusan projek untuk pelabur, menyelia pembangunan
kawasan perindustrian baharu, serta mengetuai misi
perdagangan dan pelaburan antarabangsa bagi KTPC.
“Sebelum dilantik sebagai COO, beliau pernah berkhidmat sebagai
Pengurus Besar KTPC dari April, 2019 hingga Nov, 2021 dan telah
memegang jawatan Pengarah Eksekutif KTPC Resort Development
Berhad sejak 2010,” katanya.

Dalam pada itu, Che Abdul Khalid pernah memegang jawatan
Pengurus Besar Pertabina Technical Services Sdn Bhd (2008-2018),
Darulaman Realty Sdn Bhd (DRSB), BDB Land Sdn Bhd dan Kedah
Holdings Sdn Bhd (2006-2008) dan bertanggungjawab terhadap
operasi dan prestasi kewangan syarikat.

“Pelantikan ini dilihat akan memperkukuh kepimpinan Kumpulan
BDB, seterusnya memacu pelaksanaan strategi pertumbuhan
syarikat dalam sektor-sektor utama di Kedah, selaras dengan
aspirasi Kumpulan BDB untuk terus menjadi peneraju dalam
pembangunan mampan dan berimpak tinggi,” katanya.
— BERNAMA

https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news_bajet.php/news.php?id=2486249

Share:

More Posts

Bina Darulaman Berhad © All Rights Reserved 2022