SOROTAN SESI LIBAT URUS BDB BERSAMA PEMEGANG TARUH DI LANGKAWI

11 Februari 2026 |Komitmen berterusan Bina Darulaman Berhad (BDB) dalam memperkukuh jaringan strategik diteruskan menerusi beberapa siri sesi libat urus yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Che Abdul Khalid Md Din, di Langkawi.

1. Kunjungan Rasmi MIDA ke Darulaman Sanctuary

BDB menerima kunjungan rasmi daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang diketuai oleh Pengarah MIDA Kedah/Perlis, Puan Nazlizan Abdullah ke Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang. Perbincangan memfokuskan potensi sokongan insentif dan geran strategik MIDA sebagai pemacu pembangunan kemudahan penginapan pada fasa seterusnya, sekali gus memperkukuh daya tarikan eko-pelancongan di lokasi tersebut.

2. Sesi Libat Urus Bersama Pejabat Daerah & Tanah Langkawi

Delegasi BDB turut mengadakan pertemuan bersama Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Pejabat Daerah & Tanah Langkawi, Tuan Haji Zulkifli Abdullah. Sesi ini bertujuan menyelaras agenda pembangunan serta memperkemas urusan berkaitan projek-projek BDB di Langkawi agar dapat dilaksanakan secara lebih efisien dan strategik.

3. Lawatan Operasi ke Kuari Gemi Puncak, Ulu Melaka

CEO Kumpulan BDB bersama Ahli Lembaga Pengarah BDB Infra Sdn. Bhd., Dato’ Haji Abdul Bari Abdullah turut turun padang meninjau operasi Kuari Gemi Puncak. Lawatan ini bagi menilai tahap kesiapsiagaan operasi serta memastikan keupayaan pengeluaran memenuhi permintaan produk kuari yang semakin berkembang di Langkawi.

Rangkaian sesi libat urus ini mencerminkan pendekatan proaktif BDB dalam memperkukuh kerjasama, mempercepat pelaksanaan projek serta menyokong pertumbuhan ekonomi setempat di Langkawi.

KUNJUNGAN HORMAT KE PEJABAT PEGAWAI DAERAH LANGKAWI

 

11 Februari 2026 | Bina Darulaman Berhad (BDB) mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Pegawai Daerah Langkawi, bertemu Encik Mohamad Subhi Abdullah. Delegasi diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Che Abdul Khalid Md Din, bersama Ahli Lembaga Pengarah BDB Infra Sdn. Bhd, Dato’ Haji Abdul Bari Abdullah dan Ketua Projek Aman Nusa, Langkawi Encik Shafizan Ahmad.

Pertemuan tersebut menjadi platform untuk bertukar pandangan dan memberi penerangan mengenai projek pembangunan yang telah dan akan dilaksanakan BDB di Langkawi, termasuk pembangunan perumahan Aman Nusa, Kuah dan destinasi eko-pelancongan di Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang.

Diharapkan hubungan dua hala ini dapat memperkukuh kerjasama strategik antara Pejabat Daerah & Tanah Langkawi sebagai pihak berkuasa tempatan dan BDB, selaras dengan agenda pembangunan ekonomi dan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat Langkawi.

MAJLIS PRA-PELANCARAN DARULAMAN FUN PARK

Darulaman Fun Park, tarikan terbaharu di Darulaman Park, Jitra telah mula dibuka sepenuhnya selepas Majlis Pra-Pelancaran yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Encik Che Abdul Khalid Md Din pada 6 Februari 2026.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Divisyen Leisure BDB, Encik Nuramali Ahmad Zainy serta barisan pengurusan kanan Fiestania Ventures Sdn. Bhd., iaitu Encik Chu Tuan Lai, Puan Jesslyn Leng dan Encik Ong Khar Hong.
Dibangunkan menerusi kerjasama BDB Leisure Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh BDB, bersama Fiestania Ventures Sdn. Bhd., Darulaman Fun Park menawarkan pengalaman riadah dan hiburan yang lebih ceria, segar dan penuh warna-warni untuk semua peringkat usia.

Terletak di atas kawasan seluas 0.45 ekar, taman tema mini ini menampilkan pelbagai tarikan interaktif termasuk Pink Sand Beach yang dijangka menjadi spot kegemaran pengunjung, selain Merry Go Round, Kereta Api Mini, Trampolin serta beberapa sudut bergambar menarik yang memang sesuai kepada mereka yang ingin mengambil gambar Outfit of the Day (OOTD).