KUNJUNGAN HORMAT DAN TAKLIMAT OPERASI BDB KEPADA PEGAWAI DAERAH KOTA SETAR

 
Bina Darulaman Berhad (BDB) telah mengadakan sesi kunjungan hormat dan taklimat berkenaan operasi syarikat kepada Encik Azmin bin Zainol Abidin, SDK., A.M.K., B.C.K., Pegawai Daerah Kota Setar, bertempat di Pejabat Daerah dan Tanah Kota Setar.
Delegasi BDB diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Che Abdul Khalid Md Din.
Sesi ini memberi penerangan mengenai struktur operasi Kumpulan BDB, termasuk peranan syarikat serta anak-anak syarikat di bawah Kumpulan BDB, di samping aktiviti perniagaan yang dijalankan.
Di samping itu, sesi tersebut turut menjadi platform untuk bertukar pandangan serta memperkukuh hubungan strategik antara BDB dan Pejabat Daerah Kota Setar dalam usaha menyokong agenda pembangunan daerah, menarik pelaburan serta memacu pembangunan sosioekonomi yang mampan di Negeri Kedah.

KUNJUNGAN HORMAT DAN TAKLIMAT OPERASI BDB KEPADA TIMBALAN SETIAUSAHA KERAJAAN (PENGURUSAN) / KETUA PEGAWAI DIGITAL (CDO) NEGERI KEDAH

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah mengadakan sesi kunjungan hormat dan taklimat berkenaan operasi syarikat kepada Yang Berbahagia Dato’ Muhamad Mahazi bin Haji Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) merangkap Ketua Pegawai Digital (CDO) Negeri Kedah pada 23 Jun 2026 di Wisma Darul Aman.
Delegasi BDB diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Che Abdul Khalid Md Din dan turut disertai oleh Ketua Pembangunan Perniagaan, Encik Ts. Zawawi Wahab.
Sesi ini memberi penerangan mengenai struktur operasi Kumpulan BDB, termasuk peranan syarikat serta anak-anak syarikat di bawah Kumpulan BDB, di samping aktiviti perniagaan yang dijalankan.
Di samping itu, sesi tersebut turut menjadi platform untuk bertukar pandangan dan memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha menyokong agenda pendigitalan serta pembangunan Negeri Kedah.

MAJLIS PERASMIAN STML GREEN CARNIVAL 2026 DI UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

 
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Encik Che Abdul Khalid Md Din, telah dijemput menyampaikan Ucapan Perasmian dan Ucaptama sempena majlis perasmian STML Green Carnival 2026 anjuran Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM), bertempat di Dewan Seminar C, UUM Sintok pada 23 Jun 2026.
Ucaptama bertajuk “The Future of Sustainability in Education” ini merupakan sebahagian daripada pengisian utama program bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2026 Negeri Kedah, yang memberi fokus kepada kelestarian, pendigitalan dan pembangunan mampan dalam pendidikan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Strategi Perniagaan BDB, Encik Mohd Hudzaifah Mohamad Sam, serta Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan bin Abdul Rahim, Dekan STML, UUM, bersama wakil-wakil universiti, agensi kerajaan serta mahasiswa UUM.
Penyertaan BDB dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong agenda kelestarian serta turut serta dalam pembangunan modal insan, selaras dengan aspirasi Negeri Kedah ke arah masa depan yang lebih mampan.

LAWATAN TAPAK KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF SADA KE PROJEK LOJI KOMPAK LRA PADANG SAGA DAN PENYERAHAN PROJEK LOJI KOMPAK LRA BUKIT KEMBOJA

  
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA), Encik Radzuan Othman, bersama Ketua Pegawai Operasi SADA, Ir. Saiful Azlan Mat Radhi serta barisan pengurusan kanan SADA telah mengadakan lawatan tapak ke Projek Loji Kompak di Loji Rawatan Air (LRA) Padang Saga yang sedang dilaksanakan oleh BDB Synergy Sdn. Bhd (BDB Synergy).
Delegasi SADA telah diberikan taklimat menyeluruh mengenai perkembangan semasa projek oleh Pengurus Kanan Projek, Encik Azharain Ahmad dan Pengarah Projek, Encik Zaki Zainol Abidin. Taklimat tersebut merangkumi kemajuan pembinaan, pencapaian semasa serta perancangan pelaksanaan bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Pihak pengurusan tertinggi SADA menyatakan kepuasan terhadap prestasi projek yang menunjukkan perkembangan positif dan mematuhi perancangan yang telah ditetapkan.
Turut berlangsung ialah taklimat berkenaan Projek Loji Kompak LRA Bukit Kemboja yang telah berjaya disiapkan dan diserahkan kepada SADA untuk operasi. Projek ini dijangka terus memperkukuh kecekapan sistem bekalan air serta memberi manfaat kepada pengguna di kawasan terlibat.
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan SADA dan Bina Darulaman Berhad (BDB), khususnya menerusi BDB Synergy, dalam memastikan pembangunan infrastruktur bekalan air dilaksanakan secara cekap, berkualiti dan mampan demi kesejahteraan rakyat Kedah.