Bina Darulaman Berhad (BDB) mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, BDB Infra Sdn Bhd telah memperoleh kontrak penyelenggaraan jalan negeri bernilai RM251.65 juta daripada Kerajaan Negeri Kedah.
Kontrak bagi tempoh 60 bulan (lima tahun) ini melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Zon 1 yang merangkumi daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap dan Pokok Sena.
Majlis Penyerahan Dokumen Surat Setuju Terima bagi kontrak ini telah diadakan di Pejabat Kewangan Negeri, Wisma Darul Aman, Alor Setar pada 17 Mei 2026. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Dr. Nadzman Bin Mustaffa, DSDK., SDK., AMK., BCK., Pegawai Kewangan Negeri Kedah, dan turut dihadiri oleh Ketua BDB Infra Sdn. Bhd., Encik Zakba Shafie.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Che Abdul Khalid Md Din berkata penganugerahan kontrak ini mencerminkan keyakinan berterusan Kerajaan Negeri Kedah terhadap keupayaan dan kredibiliti BDB Infra dalam melaksanakan projek penyelenggaraan infrastruktur secara cekap, berkualiti dan konsisten.
Menurut beliau, penganugerahan ini merupakan satu pengiktirafan bermakna kepada Kumpulan BDB atas pengalaman serta rekod prestasi kukuh dalam sektor penyelenggaraan dan pembinaan jalan raya.
BDB komited memastikan projek ini dilaksanakan mengikut spesifikasi dan standard yang ditetapkan demi menjamin keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya di negeri Kedah.
Kontrak ini dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan serta prestasi kewangan Kumpulan BDB bagi tempoh kewangan 2026 hingga 2031, sekali gus memperkukuh keyakinan pemegang taruh dan pelabur terhadap prospek pertumbuhan syarikat.
Sebagai kontraktor Gred G7 dengan pengalaman lebih 50 tahun, BDB Infra terus memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan infrastruktur negeri serta memacu pertumbuhan mampan Kumpulan BDB.
