
ALOR SETAR – Langkawi bakal mencipta sejarah sebagai lokasi projek persaraan antarabangsa pertama berinspirasikan Islam di dunia menerusi pelancaran Aman Seterra Sanctuary, yang akan dibangunkan oleh Aman Lagenda Sdn. Bhd, anak syarikat milik penuh Bina Darulaman Berhad (BDB), dengan kerjasama strategik Seterra Holdings Sdn. Bhd.
Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, projek yang akan dibina di kawasan strategik Kuala Temoyong, Langkawi itu menyasarkan golongan pesara dari dalam dan luar negara serta dijangka menjadi perintis kepada pembangunan komuniti persaraan mampan di Asia Tenggara.
Katanya, Aman Seterra Sanctuary bukan sahaja menepati keperluan warga emas, malah berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Kedah dan menjadikan Malaysia sebagai hab utama pelancongan persaraan serantau.
“Negara kini telah memasuki fasa ‘Masyarakat Menua’ bermula 2024, dan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan warga emas semakin meningkat.
“Aman Seterra Sanctuary akan tampil sebagai model perkampungan persaraan holistik dengan fasiliti penjagaan kesihatan, pemulihan, serta sokongan rohani,” katanya ketika sidang media pada majlis menandatangani perjanjian usahasama dan pemegang saham antara kedua-dua pihak di Menara BDB pada Khamis.
Majlis menandatangani perjanjian terbabit disaksikan oleh Pengerusi BDB, Sr Che Had Dhali, Pengerusi Kumpulan Seterra, M Yusof Ahamad, serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Seterra, Rashidi Yahaya.

Jelasnya, projek bernilai tinggi di atas tanah seluas 5.03 hektar itu bakal menampilkan kemudahan seperti pusat penjagaan dementia, gimnasium, studio yoga, perpustakaan, ruang karaoke, serta dapur komuniti, selain menyediakan pilihan kediaman seperti apartment, premium suites dan townhouse mesra warga emas.
“Dibina berkonsepkan seni bina hijau dan mesra alam, Aman Seterra turut menampilkan nilai-nilai Islamik dalam perkhidmatan yang ditawarkan, termasuk ruang solat, kaunseling rohani dan penjagaan beretika, sambil mengekalkan keterbukaan kepada semua agama,” katanya.
Tambah Raja Shahreen, projek ini berpotensi mewujudkan ratusan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk kesihatan, hospitaliti dan pengurusan, di samping merangsang ekonomi setempat.
“Ia juga mampu memperkukuh kedudukan Kedah sebagai hab ‘Ekonomi Perak’ dan menarik pelabur dari negara seperti Jepun, Australia, Singapura, United Kingdom dan Eropah,” katanya.
Menurutnya, beliau turut dijadualkan berucap pada sesi bicara bertajuk “Aman Seterra – Investing and Developing Malaysia’s First Retirement & Affordable Aged Care Village in Langkawi, Malaysia” di Pavilion Malaysia sempena Ekspo Dunia 2025 Osaka, Jepun pada 24 April ini.
“Projek ini bukan sekadar membina tempat tinggal, tetapi mencipta gaya hidup persaraan yang selesa, inklusif dan sejahtera – menjadikan Langkawi titik tumpuan baharu bagi pelancong dan pelabur dalam industri persaraan global,” katanya.