
Program Alor Setar Car Free Saturday yang julung kali berlangsung di Dataran Medan Bandar, Alor Setar menerima sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat, sekali gus menandakan permulaan inisiatif bulanan ke arah mengurangkan jejak karbon serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam suasana bandar yang lebih tenang tanpa kenderaan.
Program anjuran Majlis Bandaraya Alor Setar ini bertujuan mengurangkan pencemaran udara dan bunyi, di samping menggalakkan aktiviti sihat seperti jogging, berbasikal serta pelbagai pengisian komuniti.


Majlis Perasmian Alor Setar Car Free Saturday telah disempurnakan oleh Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin bersama Tunku Puan Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff. Turut mengiringi adalah Menteri Besar Kedah, YAB Muhammad Sanusi Md Nor bersama isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh; Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya serta Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali.
Sebagai antara penyumbang utama dalam menjayakan program ini, Bina Darulaman Berhad (BDB) tampil dengan penyertaan pameran melalui BDB Energy, BDB Land serta Sales Marketing Task Force.

Kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Encik Che Abdul Khalid Md Din, bukan sahaja memeriahkan suasana, malah mencerminkan komitmen kukuh BDB dalam menyokong agenda pembangunan bandar lestari serta memperluas keterlibatan bersama komuniti melalui platform berimpak tinggi seperti ini.
Pelaksanaan program ini diharap dapat terus memperkukuh amalan gaya hidup sihat, memupuk semangat komuniti serta menyokong aspirasi pembangunan bandar lestari di Negeri Kedah.
