
Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) ke-31 telah berlangsung di Hotel Jerai, Alor Setar, Kedah, dengan kehadiran Ahli Lembaga Pengarah, pemegang saham, tetamu jemputan serta barisan pengurusan kanan syarikat.
Mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam tersebut dihadiri oleh Ahli-Ahli Lembaga Pengarah BDB yang diketuai oleh Dato’ Mohd Sahil Zabidi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Encik Che Khalid Md Din, para pemegang saham, tetamu jemputan serta pengurusan kanan Kumpulan BDB.

Agenda mesyuarat merangkumi pembentangan Laporan Tahunan 2025, diikuti perbincangan beberapa resolusi serta sesi soal jawab bersama pemegang saham. Proses pengundian turut dilaksanakan bagi resolusi yang dibentangkan, sebelum keputusan diumumkan kepada para pemegang saham.

Dalam pembentangannya, Ketua Pegawai Eksekutif menegaskan bahawa tahun 2026 disasarkan sebagai tempoh untuk memperkukuh perniagaan teras dan meningkatkan kecekapan operasi bagi mengembalikan keuntungan serta membina asas pertumbuhan jangka panjang yang lebih mampan.

Fokus strategik tersebut merangkumi pengukuhan empat segmen utama kumpulan iaitu pembinaan jalan dan kuari, hartanah, kejuruteraan dan pembinaan (E&C), serta leisure sebagai pemacu utama pemulihan dan pertumbuhan berterusan.

“Pengukuhan ini bukan sahaja bertujuan mengembalikan BDB ke landasan keuntungan, malah memastikan asas perniagaan yang lebih kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang,” ujar beliau.
Secara keseluruhannya, AGM ini menjadi platform penting dalam memperkukuh ketelusan, tadbir urus korporat serta meningkatkan keyakinan pemegang saham terhadap hala tuju dan strategi masa depan BDB.
