LATIHAN KESEDARAN SISTEM PENGURUSAN ANTI-RASUAH (ABMS) ISO 37001:2025

Unit Integriti dan Tadbir Urus Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menganjurkan Latihan Kesedaran Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) ISO 37001:2025 pada 24 hingga 26 Jun 2025 di Aras 4, COL, Menara BDB.

Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan BDB dalam memperkukuh tadbir urus korporat serta memupuk budaya integriti dan ketelusan di semua peringkat organisasi.

Latihan itu juga bertujuan meningkatkan kefahaman warga kerja terhadap prinsip-prinsip anti-rasuah selaras dengan piawaian ISO 37001, di samping memperkukuh pematuhan organisasi terhadap Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Melalui program tersebut, peserta dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk mengenal pasti, mencegah dan melaporkan sebarang bentuk rasuah atau salah laku, sekaligus menyokong dasar toleransi sifar organisasi terhadap rasuah.

Komitmen berkenaan mencerminkan usaha berterusan BDB untuk menegakkan budaya kerja yang beretika, bertanggungjawab dan telus dalam setiap aspek operasi.

KUNJUNGAN HORMAT KE PEJABAT PENGARAH KEMENTERIAN PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA NEGERI KEDAH

Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Operasinya, Encik Mohd Sobri Hussein telah mengadakan kunjungan hormat ke Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Kedah, Encik Mohd Shahril Harun.

Kunjungan tersebut turut dihadiri oleh Encik Nuramali Ahmad Zaini dan Encik Safrizuan Saad serta wakil daripada BDB Leisure Sdn. Bhd., Encik Muhammad Hanif Mohamad Ismail yang berlangsung pada 23 Jun 2025 bertempat di Pejabat MOTAC, Alor Setar, Kedah.

Dalam pertemuan tersebut, pelbagai topik dibincangkan antaranya adalah untuk memperkukuhkan kerjasama antara pihak-pihak, sekali gus membuka peluang untuk berkongsi pandangan serta menyelaraskan matlamat bersama.

Selain itu, ia turut menjadi platform untuk merancang dan mengurus pelancongan di negeri Kedah terutamanya melibatkan BDB Leisure bersempena Tahun Melawat Kedah dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

 

BDB JALIN KERJASAMA DENGAN BYTEDANCE MULAKAN INISIATIF PEMULIHARAAN HUTAN DI BAWAH PROGRAM FCC LANGKAWI

Bina Darulaman Berhad (BDB) bersama ByteDance System Sdn. Bhd. (TikTok Malaysia) memulakan inisiatif pemuliharaan hutan di bawah Program FCC melalui penanaman 300 anak pokok di Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang, Langkawi.

ByteDance menyumbang RM176,380.00 untuk projek penghutanan semula dan pemulihan ekosistem dalam komitmen dua tahun (2025-2026). Majlis ini disertai lebih 120 sukarelawan daripada komuniti setempat, pelajar, belia, NGO dan agensi kerajaan.

BDB turut merancang pembinaan ‘Canopy Walk’ sepanjang 205 meter untuk ekopelancongan pendidikan yang dijangka siap suku keempat 2025.

Inisiatif ini mencerminkan visi BDB yang mengintegrasikan pertumbuhan ekonomi dengan pemuliharaan alam semula jadi.

CORRUPTION RISK ASSESSMENT (CRA) WORKSHOP

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menganjurkan Corruption Risk Assessment (CRA) Workshop yang dikendalikan oleh Hatta Hash Consultancy pada 18 dan 19 Jun 2025 bertempat di BDB Glass Hall, Darulaman Park, Jitra.

Penyertaan barisan pengurusan kanan BDB dalam sesi ini membuktikan komitmen dari peringkat tertinggi (top-down commitment) dalam memperkukuh integriti, ketelusan dan tadbir urus korporat selaras dengan amalan terbaik industri.

Inisiatif berterusan daripada Unit Integriti dan Tadbir Urus BDB itu dilihat mampu meningkatkan lagi tata kelola dan juga tadbir urus bukan sahaja daripada pihak pengurusan tertinggi tetapi juga berterusan ke peringkat bawah.

SESI ‘TOWNHALL’ BDB INFRA

Pada 17 Jun 2025, BDB Infra telah mengadakan sesi townhall di Kuari Bukit Perak, Pendang, diketuai Pengurus Besar, Encik Zakba Shafie bersama Chief People Officer, Encik Mohd Taufik Abdullah.

 Sesi ini bertujuan menyampaikan hala tuju strategik dan operasi terkini syarikat serta pendekatan baharu ke arah kecekapan, produktiviti dan kos efektif. Turut dikongsi ialah perkembangan projek semasa dan akan datang.

Sesi turut membuka ruang soal jawab bagi mengukuhkan komunikasi dua hala antara pengurusan dan warga kerja ke arah kecemerlangan BDB Infra.

LAWATAN KE BAHAGIAN KESELAMATAN KEBAKARAN JABATAN BOMBA & PENYELAMAT MALAYSIA NEGERI KEDAH

Pada 16 Jun 2025, empat wakil Jawatankuasa Keselamatan Bina Darulaman Berhad (BDB) telah mengadakan lawatan dan pertemuan ke Bahagian Keselamatan Kebakaran (BKK) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Negeri Kedah

Pertemuan tersebut adalah untuk membincangkan mengenai keselamatan kebakaran di bangunan Menara BDB dan seterusnya untuk mendapatkan rujukan daripada pegawai JBPM Negeri Kedah berkaitan pembaharuan Perakuan Bomba Menara BDB pada bulan hadapan.

Diharapkan dengan lawatan tersebut dapat memberikan maklumat yang diperlukan bagi membolehkan proses pembaharuan Perakuan Bomba Menara BDB dapat berjalan dengan lancar.

BDB LAND SERTAI PAMERAN HARTANAH BERSEMPENA BENGKEL KECEMERLANGAN PENGURUSAN KEWANGAN DAN PENDIDIKAN, JABATAN KASTAM

Pasukan Jualan dan Pemasaran BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land) telah menyertai Pameran Hartanah bersempena Bengkel Kecemerlangan Pengurusan Kewangan dan Pendidikan, Jabatan Kastam pada 16 Jun 2025 di Alor Setar, Kedah.

Pada pameran tersebut, pelbagai produk perumahan BDB Land Sdn. Bhd. seperti Nada, Aluna dan Lyra di Perbandaran Bandar Darulaman, Jitra, Taman Azalea, Pendang dan juga produk terbaru di Perbandaran Darulaman Saujana Hosba, iaitu Lily dan Rafflesia telah diperkenalkan.

Pameran tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para peserta yang hadir pada bengkel tersebut dan diharapkan ia dapat membantu meningkatkan penjualan produk perumahan BDB Land dan juga Kedah Holdings Sdn. Bhd.

 

KUNJUNGAN HORMAT KE PEJABAT EXCO PELANCONGAN, KEBUDAYAAN & KEUSAHAWANAN KEDAH

Delegasi Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawan Kedah, YB. Dato’ Haji Mohd Salleh Saidin di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada 12 Jun 2025.

Delegasi Kumpulan BDB terdiri daripada Head of Government Liaison, Encik Aswat Abu Bakar, wakil Pejabat Ketua Pegawai Operasi Kumpulan BDB, Encik Safrizuan Saad serta wakil daripada BDB Leisure Sdn. Bhd. (BDB Leisure), Encik Muhammad Hanif Mohamad Ismail dan Cik Nur Hidayatul Hanini Abd Mutalib.

Dalam kunjungan tersebut, delegasi Kumpulan BDB telah membentangkan mengenai peranan BDB Leisure yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam pengurusan pelbagai kemudahan meliputi hiburan, aktiviti sukan, serta rekreasi dalam dan luaran di Darulaman Park, Jitra.

Turut dibincangkan ialah berkenaan cadangan penambahbaikan infrastruktur serta pelaksanaan program-program berimpak tinggi bersempena Tahun Melawat Kedah dan sebagai kesinambungan untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026.