HUBUNGAN STRATEGIK DAN KOLABORATIF ANTARA BDB INFRA DAN JKR DAERAH KUALA MUDA

BDB Infra Sdn. Bhd. (BDB Infra) telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Muda. Ini merupakan salah satu usaha dalam mengukuhkan hubungan strategik dan kolaboratif antara kedua-dua organisasi.

Pertemuan ini bertujuan untuk membina kefahaman yang lebih mendalam dan mengeratkan kerjasama dalam konteks pembangunan infrastruktur di Negeri Kedah.

Delegasi BDB Infra diketuai oleh Encik Samshul Anor Ahmad, turut disertai oleh Encik Ahmad Nazri Md Daud, Encik Khalil Karia serta rakan sepasukan dari Kulim Kedah Premix Plant; Encik Aizat, Encik Yamin, dan Encik Fairus. Turut hadir, Jurutera Daerah JKR Daerah Kuala Muda; Mohamad Azmi Yaakob.

Kunjungan hormat ini merupakan komitmen BDB untuk mengembangkan hubungan professional dengan agensi kerajaan tempatan.

Menerusi pertemuan ini juga, kedua-dua pihak berpeluang untuk berbincang strategi pembangunan infrastruktur yang lebih efisien dan bersepadu, seterusnya menyumbang kepada kemajuan Daerah Kuala Muda.

 

SESI LIBAT URUS SUMBER MANUSIA MENGENAI KEMASKINI KOD ETIKA & TATAKELAKUAN

Pada 16 Januari 2025, Jabatan Sumber Manusia telah mengadakan sesi libat urus mengenai kemaskini kod etika dan tatakelakuan di Centre of Learning, Menara BDB, Alor Setar, Kedah.

Sesi tersebut melibatkan penyertaan C-Suites, ketua-ketua anak syarikat dan juga ketua jabatan Kumpulan BDB dan bertujuan untuk memberikan maklumat terbaru mengenai urusan dan hal ehwal sumber manusia serta meningkatkan kesedaran berhubung kod etika dan tatakelakuan Kumpulan BDB.

160 PEMAIN AMATUR BERAKSI DI KEJOHANAN BDB MASTERS & CHARITY GOLF 2024

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah menganjurkan Kejohanan BDB Masters & Charity Golf 2024 yang berlangsung selama tiga hari di Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Kedah. Kejohanan ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 160 pemain golf amatur dari seluruh tanah air dengan 90 peratus peserta adalah dari luar Kedah.

Pada asalnya, kejohanan ini dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 8 Disember 2024 namun telah ditangguhkan ke 3 hingga 5 Januari 2025 berikutan bencana banjir yang melanda kawasan Jitra dan sekitarnya.

Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, YM Raja Shahreen Raja Othman. Turut hadir adalah Pengerusi BDB Darulaman Golf Resort Berhad, YBhg. Dato’ Haji Abdul Rahman Abdullah serta barisan pengurusan kanan Kumpulan BDB.

Muhammad Farez Mohd Azihan telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan catatan 214 pukulan, menewaskan Nor Haqeim Nor Hadi dan Shakiran Johari yang mencatatkan 217 pukulan. Kejohanan ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000 dan hadiah istimewa “Hole In One” berupa dua buah kereta Proton (X50 dan S70) bernilai lebih RM180,000.

Turut berlangsung merupakan perlawanan amal “Charity Golf 2024”, menyaksikan kutipan sumbangan bernilai RM10,000 diberikan kepada 10 buah sekolah terpilih di Kedah.