PENYERAHAN BUKU NOTA 2023 BDB KEPADA PENGAWAL KESELAMATAN LAPANGAN TERBANG SULTAN ABDUL HALIM, ALOR SETAR

PENYERAHAN BUKU NOTA 2023 BDB KEPADA PENGAWAL KESELAMATAN LAPANGAN TERBANG SULTAN ABDUL HALIM, ALOR SETAR

Sempena tahun baru, Bina Darulaman Berhad (BDB) mengambil inisiatif dengan menyerahkan 27 buah buku nota kepada anggota-anggota Pengawal Keselamatan Penerbangan (Bahagian AVSEC) yang bertugas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada hari ini.
Ini adalah sebahagian daripada penghargaan BDB kepada anggota-anggota yang bertugas menguruskan penyelarasan latihan dalam bidang keselamatan penerbangan khususnya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.
Sesi penyerahan buku nota telah disempurnakan oleh Eksekutif Komunikasi Korporat Kumpulan, Muhammad Syaheer Luqman M. Zahir kepada Polis Bantuan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Sarjan Ariff Ahmad.
Pemberian buku nota 2023 BDB ini merupakan sebahagian daripada inisiatif BDB dalam memperkukuhkan lagi hubungan akrab bersama anggota-anggota keselamatan yang bertugas di lapangan terbang tersebut.

 

JASAMU DIKENANG

JASAMU DIKENANG

Bina Darulaman Berhad (BDB) telah meraikan 17 Pengawal Keselamatan daripada BDB HQ, BDB Infra, BDB Land dan BDB Leisure yang akan menamatkan perkhidmatan pada 31 Disember 2022 ini.
Turut hadir ialah Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan, Sajahan Abdul Waheed dan Ketua Bahagian Sumber Manusia BDB Land, Rosmin Said.
Dalam ucapan penghargaan dari Sajahan, beliau menyatakan bahawa kesemua pengawal memiliki sifat tanggungjawab, amanah serta mempunyai kesungguhan yang tinggi dalam melaksanakan tugas sehingga ke hari terakhir perkhidmatan.
Sajahan juga telah menyampaikan saguhati daripada BDB kepada semua pengawal sebagai tanda penghargaan di atas kesungguhan mereka menjalankan tugas di sini.
Seluruh warga BDB merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada para pengawal keselamatan di atas sumbangan dan komitmen yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan.
Semoga anda semua sentiasa berada dalam keadaan yang sihat bagi terus berkhidmat dan berbakti kepada bangsa, agama, dan negara.

SELAMAT MAJU JAYA KEPADA NUR ALHANA BASHIR

SELAMAT MAJU JAYA KEPADA NUR ALHANA BASHIR

Seluruh warga kerja Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Nur Alhana Bashir di atas khidmat bakti serta sokongan padu sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ketua Sumber Manusia Sektor Perniagaan di BDB. Nur Alhana mula bertugas di BDB pada 15 Julai 2014 dan menamatkan tugas pada 16 Disember 2022.

Satu majlis ringkas diadakan bagi meraikan jasa serta pengorbanan Nur Alhana sepanjang menjalankan tugas di sini. Turut hadir ke majlis ringkas ini adalah Khairulmuna Abd Ghani, Ketua Jabatan Setiausaha Kumpulan dan Sajahan Abdul Waheed, Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan.
Semoga Nur Alhana sentiasa diberi anugerah kesihatan, kebahagiaan dan kejayaan yang berpanjangan.

KUMPULAN BDB SUMBANG WANG TUNAI KEPADA MASJID AT-TAQWA UNTUK MEMBAIKPULIH MASJID

KUMPULAN BDB SUMBANG WANG TUNAI KEPADA MASJID AT-TAQWA UNTUK MEMBAIKPULIH MASJID

Prihatin dengan keadaan semasa Masjid At-Taqwa, Taman PKNK Alor Setar, Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) tampil menghulurkan sumbangan untuk menampung kos baik pulih dan penambahbaikan masjid berkenaan.

Sumbangan berbentuk wang tunai berjumlah RM 2,500 telah disumbangkan oleh Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan BDB, Sajahan Abdul Waheed kepada wakil Badan Kebajikan Islam Taman PKNK (BAKIS), Tuan Haji Ahmad Haji Awang.

Penyerahan sumbangan tersebut turut dihadiri oleh ahli jawatankuasa BAKIS dan Eksekutif Komunikasi Korporat Kumpulan, Danial Harith Ahmad Shariffudin dan Hanan ‘Izzati Mansor.

Sajahan berkata, Kumpulan BDB berharap dengan pemberian sumbangan ini sedikit-sebanyak dapat membantu BAKIS dalam menaiktaraf dan memperbaiki keadaan semasa masjid terutamanya masalah serangga perosak.

“Insya Allah sebagai anak syarikat kerajaan negeri Kedah, Kumpulan BDB sentiasa komited dan akan sedaya upaya membantu umat Islam di negeri ini untuk beribadat dengan selesa.

“Diharapkan kerja-kerja baik pulih ini dapat disegerakan dan sekaligus akan memberi keselesaan kepada ahli kariah di seluruh kawasan perumahan di sini untuk beribadat,” ujar beliau.

LAWATAN DARI POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MU’ADZAM SHAH JITRA KE BDB

LAWATAN DARI POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MU’ADZAM SHAH JITRA KE BDB

Seramai 33 pelajar termasuk pensyarah dari Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) telah mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Bina Darulaman Berhad (BDB) pada 4 Disember 2022.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, YM Raja Shahreen Raja Othman, Ketua Jabatan Setiausaha Kumpulan, Khairulmuna Abd Ghani dan Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan, Sajahan Abdul Waheed.
Dalam sesi lawatan tersebut, kesemua tetamu telah diberi penerangan mengenai latar belakang syarikat. Dalam masa yang sama, Khairulmuna memberi pendedahan dan kefahaman kepada para pelajar berhubung peranan ahli lembaga pengarah, modal dan ekuiti, pelantikan setiausaha syarikat dan tadbir urus korporat syarikat.
Pada akhir majlis, turut berlangsung sesi bertukar cenderahati antara kedua-dua pihak.